Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

NGO Indonesia mungkin rujuk kehilangan paderi Joshua ke Jokowi

Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Indonesia bercadang untuk membawa isu kehilangan pasangan suami isteri Joshua Hilmy dan Ruth Hilmy kepada presiden negara itu, Joko Widodo.

Penyelaras Komisi Untuk Orang Hilang Dan Korban Tindak Kekerasan (KontraS), Yati Andriyani, berkata mereka sedang mempertimbangkan cadangan tersebut dan akan bertindak jika tiada perkembangan positif diperoleh daripada proses inkuiri Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) sekarang.

Buat masa ini, katanya, KontraS akan menunggu sehingga prosiding tersebut berakhir sebagai menghormati proses undang-undang di Malaysia.

"Jika tiada perkembangan, kami mungkin akan membawa isu ini langsung kepada presiden," katanya.

Yati ditemui di Ibu Pejabat Suhakam di Kuala Lumpur hari ini.

Untuk rekod, Suhakam kini menjalankan ikuiri bagi mendapatkan maklumat berhubung kehilangan pasangan terbabit.

Sehingga hari ini, tujuh saksi memberi keterangan kepada panel inkuiri yang dipengerusikan Hishamuddin Yunus, Jerald Joseph dan Madeline Berma.

Yati menambah bahawa Malaysia dan Indonesia perlu bekerjasama bagi menyelesaikan isu itu.

“Kami harap Malaysia dan Indonesia mengikuti perkembangan kes tersebut bukan hanya daripada keterangan saksi dari inkuiri, tapi beberapa informasi lain yang boleh didapati.

“Malaysia dan Indonesia juga perlu maklum bahawa kerajaan Malaysia dan Indonesia dilihat tidak berhasil kerana selepas selama tiga tahun tiada maklumat baru yang diperolehi,” katanya lagi.

Joshua - yang berasal dari Taiping, Perak- asalnya beragama Islam tetapi bertukar kepada Kristian dan berkahwin dengan Ruth pada 2004. Ruth memang beragama Kristian sejak awal.

Menurut keluarga Ruth, wanita terbabit datang ke Malaysia pada 2000 untuk bekerja sebagai tukang jahit dan ketika itulah dia bertemu Joshua.

Tidak banyak diketahui mengenai kehilangan pasangan tersebut, melainkan kali pertama mereka dilihat pada 30 Nov 2016, dan dilaporkan hilang pada 6 Mac 2017.