Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Annuar: Tangguh sidang parlimen prosedur biasa lepas tukar kerajaan

Umno mempertahankan keputusan meminda tarikh persidangan Dewan Rakyat kepada 18 Mei dan menganggap ia sebagai prosedur biasa bagi sebuah kerajaan baru.

Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa, berkata apabila berlaku perubahan kerajaan, bermakna agenda persidangan juga berubah termasuk pemilihan Speaker Dewan Rakyat yang baru.

"Kita harus faham, sewaktu Pakatan Harapan (PH) semasa mula bentuk kerajaan mereka tunggu lebih dua bulan sebelum bersidang.

"Notis yang kami terima sebelum ini bawah kerajaan PH. Sekarang bawah Perikatan Nasional. Setiap sidang urusannya berbeza, antaranya pemilihan speakar kalau pertukaran kerajaan.

"Kedua, soalan-soalan lisan dan bertulis yang mesti dihantar ikut notis-notis tertentu kepada parlimen. Ketiga, parlimen perlu menghantar soalan-soalan itu utk dijawab oleh kementerian yang berbangkit," katanya dalam sidang media di ibu pejabat parti itu, di Kuala Lumpur, hari ini.

Hari ini media melaporkan, sidang Dewan Rakyat yang pada mulanya dijadualkan bermula 9 Mac ini telah ditangguh ke 18 Mei, menurut Speaker Mohamad Ariff Md Yusof.

Menurut Berita Harian hari ini, Ariff berkata beliau telah menerima surat makluman berkenaan tarikh baru untuk sidang ketiga Parlimen ke-14 daripada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam.

“Surat sudah diterima malam tadi. Kenyataan akhbar akan dikeluarkan oleh Parlimen pagi ini.

“Tiada persidangan pada 9 Mac (Isnin). Tarikh baharu Istiadat Pembukaan Parlimen ialah 18 Mei 2020,” katanya seperti dipetik.

Dewan Rakyat pada mulanya dijadual bersidang bermula 9 Mac hingga 16 April, dengan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah merasmikannya.

Oleh itu jelas Annuar adalah mustahil bagi kerajaan Perikatan Nasional untuk terus bersidang pada 9 Mac mahupun April nanti.

"Jadi mustahil bila kerajaan Perikatan Nasional yang baru diwujudkan nak terus bersidang pada 9 Mac ataupun nak bersidang April.

"Saya dah hitung, ia mustahil, kenapa mustahil? Pertama, sudah tentu kerajaan baharu Perikatan Nasional mahu mengemukakan notis untuk buat pelantian speaker yang baru, maka saya meramalkan, menjangkakan, satu daripada agenda yang tak ada dalam notis sekarang adalah pemilihan speaker," katanya lagi.

Dalam pada itu Annuar berkata, Perikatan Nasional akan menubuhkan sekretariat membabitkan semua Setiausaha Agung parti bagi merangka pelan dan menyelaras hala tuju gabungan itu.

Katanya, setiausaha agung parti gabungan Perikatan Nasional sudah menerima arahan daripada pimpinan parti masing-masing berhubung perkara itu.

'Saya sendiri sudah mendapat arahan tertentu daripada pimpinan parti supaya menyegerakan urusan itu bagi menyediakan 'roadmap' Perikatan Nasional dan sebagainya.

"Sebelum ini pun sudah ada pertemuan tidak rasmi dalam kalangan setiausaha agung," jelasnya.

Katanya, sekretariat terbabit akan bermesyuarat seminggu sekali bagi membincangkan perkara berkaitan gabungan selain membantu memperkukuhkan jentera kerajaan.