Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Kehilangan Joshua dan Ruth: Saksi dakwa polis larang lapor kedutaan Indonesia

Saksi keenam inkuiri kehilangan pasangan suami isteri Joshua Hilmy dan Ruth Hilmy, hari ini mendakwa pihak polis di Malaysia telah melarangnya untuk melaporkan kes kehilangan tersebut di Kedutaan Indonesia di Malaysia.

Saksi berkenaan, Ram Ram Elisabeth Sitepu, 48 – yang merupakan warganegara Indonesia dan adik kepada Ruth- berkata perkara itu telah dimaklumkan menerusi peguam yang mewakili keluarganya.

“Selepas dari situ pengacara (peguam) kami telefon, dia beritahu polis di Malaysia suruh jangan ke kedutaan dahulu, biar mereka (pihak polis) selesaikan isu itu dahulu.

“Namun selepas tunggu tiga tahun tiada ceritanya juga,” katanya semasa memberi keterangan kepada panel inkuiri di Ibu Pejabat Surahanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) di Kuala Lumpur hari ini.

Ram Ram terdahulu menjelaskan bahawa dia bersama Iman Sitepu- adiknya- telah ke Malaysia pada 28 Februari 2018 untuk ke balai polis Petaling Jaya bagi melaporkan kehilangan Ruth dan Joshua.

Mereka ditemani oleh rakan Joshua – yang dikenali sebagai Paderi Addy.

Malah sebelum itu, Ram Ram juga memberitahu bahawa dia telah ke rumah Ruth di Kampung Tunku, Petaling Jaya bersama Peter – pemilik rumah - untuk melihat keadaan rumah tersebut.

Jelasnya, dia melihat rumah dalam keadaan terbiar dan makanan di peti sejuk juga masih banyak namun semuanya sudah basi.

Sementara itu, Ram Ram juga memberitahu bahawa dia yakin ia merupakan kes kehilangan secara paksa.

Tambahnya sekiranya kakaknya hendak berpindah, dia pasti menghubunginya terlebih dahulu.

“Saya yakin bukan andaian dia memang hilang secara paksa.

“[…] kerana kami sering telefon, kalau dia nak pergi (pindah) pun, dia pasti akan telefon dan beritahu di mana khabar dia (Ruth). Ini sudah lebih 3 tahun tiada khabar,” katanya.

Selain itu, Ram Ram turut menyuarakan rasa kecewa kerana pihak berkuasa di Malaysia dilihat tidak memberi apa-apa perkembangan terhadap kehilangan pasangan tersebut.

“Saya rasa sangat kecewa kerana pihak polis tidak beri apa-apa perkembangan dalam siasatan Ruth dan Joshua dan sudah 3 tahun lebih.

“Ruth adalah manusia dan mempunyai keluarga di Indonesia yang merindui. Kalau Ruth bersalah, jatuhkan hukuman mengikut undang-undang,” katanya sambil menangis teresak-esak.

Untuk rekod, Joshua – yang berasal dari Taiping, Perak- memeluk agama Kristian selepas keluar daripada agama Islam dan berkahwin dengan Ruth –yang merupakan seorang warganegara Indonesia beragama Kristian-pada 2004.

Pendengaran hari ini dipengerusikan Pesuruhjaya Suhakam Hishamuddin Yunus bersama pesuruhjaya Jerald Joseph dan Madeline Berma.

Menurut keluarga Ruth, wanita terbabit datang ke Malaysia pada 2000 untuk bekerja sebagai tukang jahit dan ketika itulah dia bertemu Joshua.

Tidak banyak diketahui mengenai kehilangan pasangan tersebut, melainkan kali pertama mereka dilihat pada 30 Nov 2016, dan dilaporkan hilang pada 6 Mac 2017.