Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Hari 87: Putera Saudi tak tandatangan keterangan SPRM atas faktor imuniti

LANGSUNG l Perbicaraan jenayah bekas perdana menteri Najib Razak melibatkan dakwaan penyalahgunaan dana dari SRC International Sdn Bhd memasuki hari 87 di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.

Malaysiakini membawakan anda laporan langsung prosiding.


LANGSUNG

5.15 petang: Prosiding ditangguhkan hari ini dan akan disambung semula jam 2.30 petang esok.

Peguam bela Muhammad Shafee Abdullah perlu hadir di Mahkamah Rayuan sebelah pagi esok.

Pasukan pembelaan dijangka memanggil Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya untuk tampil sebagai saksi.


4.50 petang: Putera Arab yang didakwa melalui peguamnya mengesahkan empat surat berhubung derma kerapa Najib Razak, tidak ada di dalam bilik di mana SPRM merakamkan kenyataan itu, Mahkamah Tinggi dimaklumkan.

Mahkamah Tinggi juga mendengar daripada pegawai SPRM Fikri Ab Rahim bahawa dia tidak pasti sama ada putera tersebut berada di dalam istana diraja di Riyadh di mana kenyataan SPRM direkodkan pada 29 Nov 2015.

Terdahulu, mahkamah mendengar bahawa SPRM merekodkan kenyataan yang ditandatangani oleh peguam putera Arab, Abdullah al-Koman, yang didakwa mengesahkan derma Arab kepada Najib.


4.31 petang: Prosiding disambung semula, dengan DPP V Sithambaram akan membuat pemeriksaan balas terhadap saksi pembelaan, pegawai SPRM Fikri Ab Rahim.


3.46 petang: Pasukan pembelaan Najib Razak memutuskan untuk tidak memanggil penasihat undang-undang MIC, Selva Mookiah untuk mengambil pendirian di kandang saksi.

Perkara itu dimaklukkan ketua pasukan pembelaan, Muhammad Shafee Abdullah memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ini.

Shafee berkata ia adalah kerana keterangan pegawai SPRM, Fikri Ab Rahim, yang merupakan sebahagian daripada pasukan SPRM yang pergi ke Riyadh, Arab Saudi, pada akhir November 2015, pada masa ini mencukupi.

Selva juga berada di Riyadh pada masa yang sama ketika pasukan SPRM mengambil kenyataan berhubung isu derma RM2.6 bilion yang melibatkan Najib.

Ketika penggulungan pemeriksaan balas Fikri, DPP V Sithambaram meminta penangguhan prosiding sehingga pihak pendakwa dapat melengkapkan pemeriksaan balas terhadap Fikri.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali kemudian membenarkan rehat setengah jam.


3.45 petang: Mahkamah diberitahu bahawa seorang putera Arab Saudi tidak menandatangani keterangan SPRM berhubung surat berkaitan derma kepada Najib atas sebab kekebalan (immunity).

Keterangan SPRM itu dikatakan mengesahkan ketelunan empat surat berkenaan derma Arab Saudi kepada Najib.

Pegawai SPRM yang bertanggungjawab dala soal antipengubahan wang haram, Fikri Ab Rahim, berkata demikian ketika pemeriksaan utama dengan peguam Muhammad Shafee Abdullah.

Menurut Fikri, dia termasuk dalam pasukan SPRM ke Riyadh, Arab Saudi, pada akhir Nov 2015, untuk menyiasat dakwaan derma RM2.6 bilion melibatkan Najib Razak.

Terdahulu, pegawai SPRM Mohd Nasharudin Amir, yang juga sebahagian dalam pasukan itu, berkata Putera Saud Abdul Aziz Malik Abdul Aziz al-Saud tidak menandatangani keterangan SPRM itu.

Nasharudin berkata, ia sebaliknya ditandatangani peguam Abdul Aziz, Abdullah al-Koman.

Fikri: Keterangan yang saya bacakan berkaitan dengan Putera Saud tetapi ditandatangani (Abdullah al-Koman).

Shafee:Kenapa Saud tak tandatangan?

Fikri: Kerana kekebalan mereka, kami tak boleh terus berhubung dan cuba ambil keterangan mereka (putera Arab Saudi).


3.13 petang: Pasukan SPRM yang mengunjungi Arab Saudi pada akhir November 2015, ketika itu dibawa oleh pihak berkuasa Timur Tengah untuk melakukan Umrah di Makkah.

Perkara itu dimaklumkan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semasa pemeriksaan utama oleh peguam Muhammad Shafee Abdullah, terhadap saksi permbelaan, pegawai SPRM, Fikri Ab Rahim.

Fikri adalah sebahagian daripada pasukan SPRM yang pergi ke Arab Saudi pada tahun itu sebagai sebahagian daripada penyiasatan mengenai isu derma RM2.6 bilion yang melibatkan Najib.

Individu lain yang berada dalam pasukan SPRM ketika itu ialah yang kini merupakan Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dan timbalan pendakwa raya ketika itu DPP Dzulkifli Ahmad.

Fikri berkata apabila tiba di Arab Saudi pada 28 Nov 2015, mereka mendapati bahawa pasukan mereka perlu melaksanakan Umrah terlebih dahulu sebelum mereka dapat merekodkan kenyataan dari putera Arab.

Putera Arab itu didakwa melalui peguamnya Abdullah al-Koman, menandatangani kenyataan SPRM oleh pasukan SPRM pada November 2015, yang didakwa mengesahkan empat surat berhubung sumbangan kepada Najib.

Fikri berkata bahawa pasukan itu dimaklumkan bahawa mereka hanya dapat melihat putera Arab selepas mereka melakukan Umrah kerana mereka adalah para tetamu Arab Saudi.

"Kami pergi ke Jeddah, ada pasukan polis yang membawa kami sebagai tetamu ke Makkah," katanya.


3.05 petang: Pegawai SPRM Fikri Ab Rahim dalam keterangannya berkata, dia mengambil keterangan CEO SRC International Nik Faisal Ariff Kamil pada 17 Oktober 2015 di Indonesia.

Saksi pembelaan itu berkata demikian ketika pemeriksaan utama dengan peguam Muhammad Shafee Abdullah.

Fikri berkata, SPRM berjaya bertemu Nik Faisal melalui peguam Selva Mookiah, yang pernah menjadi penasihat undang-undang MIC.

Selva Mookiah


2.42 petang: Perbicaraan di depan hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali bermula.

Selain Najib, turut dilihat di mahkamah adalah ketua pasukan pembelaan Muhammad Shafee Abdullah dan peguam-peguam lain, serta ketua DPP V Sithambaran dan pasukan pendakwaan.


Perbicaraan jenayah bekas perdana menteri Najib Razak melibatkan dakwaan penyalahgunaan dana dari SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta semakin hampir kepada penghujungnya.

Peguam Najib menyasarkan peringkat pembelaan akan diselesaikan pada Isnin ini.

Di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam, ketua pasukan pembelaan Muhammad Shafee Abdullah membayangkan pihaknya mungkin dapat menyelesaikan keterangan semua saksi mereka dalam prosiding isnin ini.

Oleh kerana Shafee perlu ke Mahkamah Rayuan di Putrajaya pagi ini, perbicaraan hari ini dijadual bermula agak lewat iaitu pada pukul 2.30 petang.

Pada perbicaraan hari ini, dijangka bekas penasihat undang-undang MIC Selva Mookiah akan memberi keterangan sebagai saksi.

Dia didakwa bersama-sama pasukan siasatan SPRM ke Riyadh, Arab Saudi pada akhir November 2015. Ia sebahagian daripada siasatan terhadap isu derma RM2.6 bilion melibatkan perdana menteri ketika itu, Najib Razak.

Semalam, peguam turut menyerahkan tiga keterangan SPRM kepada mahkamah, antaranya berkenaan dakwaan ahli perniagaan Jho Low bahawa dia tidak mengawal akaun bank Najib dan tiada kuasa untuk membuat keputusan dalam 1MDB dan subsidiarinya, SRC International.

Satu lagi keterangan SPRM ialah oleh Tan Kim Loong, yang dikatakan menjadi pemilik benifisiari untuk beberapa syarikat yang menyalurkan jutaan ringgit kepada Najib. Dalam keterangannya, Tan antara lain mendakwa dia tidak tahu siapa yang menerima wang itu.

[Berita lanjut menyusul]