Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Lepas Bukit Aman, esok Fadiah kena ke Dang Wangi pula

Selepas disoal siasat di Bukit Aman hari ini, peguam dan aktivis sosial, Fadiah Nadwa Fikri diminta sekali memberi keterangan kepada polis esok.

Kata Fadiah, dia dan empat individu lain akan hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada jam 1 petang esok untuk diambil kenyataannya berhubung himpunan aman di Kuala Lumpur pada malam Sabtu lalu.

"Esok, lima aktivis dipanggil berkaitan perhimpunan di Dataran Merdeka.

"Saya akan berada di sana (IPD Dang Wangi) dan akan disoal siasat lagi," katanya kepada media di Bukit Aman hari ini.

Untuk rekod himpunan aman tersebut diadakan sebagai reaksi kepada krisis politik dalam negara yang akhirnya menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang kira-kira dua setengah tahun sebelum mandat yang diterimanya berakhir.

Ia berlaku ekoran tindakan beberapa ahli parlimen PKR meninggalkan parti itu, diikuti pengumuman Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, meninggalkan PH.

Mereka kemudian bekerjasama dengan Umno dan PAS. Muhyiddin akhirnya dilantik menjadi perdana menteri kelapan.

Tentang himpunan di Sogo

Malaysiakini difahamkan, selain Fadiah, polis juga akan mengambil keterangan daripada aktivis pelajar, Nik Azura Nik Nasron; Liew Liang Hong; dan Wong Yan Ke, selain Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) A Sivarajan.

Wong dan Nik Azura turut hadir di Bukit Aman hari ini untuk menunjukkan sokongan mereka kepada Fadiah.

Sementara itu ditanya mengenai perkembangan terbaru siasatan kes itu, Wong menganggap ia sebagai cubaan untuk menghakis kuasa progresif.

"Kerajaan pintu belakang nampaknya melakukan pembersihan kuasa progresif.

"Apa yang mereka cuba lakukan ialah mencipta ketakutan pada masyarakat," katanya.

Justeru Wong menggesa belia di negara ini terus berjuang untuk demokrasi yang disifatkannya masih jauh perjalanannya.

Sementara itu aktivis PSM, E Nalini, membuat hantaran di Facebook memberitahu dia dan 13 yang lain dipanggil untuk disiasat polis Dang Wangi jam 3 petang esok.

Katanya ia berkaitan dengan perhimpunan di Sogo pada Ahad lalu.

"Polis patut menghentikan serta-merta sebarang usaha menakut-nakutkan sesiapa saja yang melaksanakan haknya untuk bersuara dan berhimpun," katanya.

Malaysiakini sudah menghubungi Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah untuk pengesahan.

[Baca berita penuh]