Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Azmin gesa polis tak siasat peserta himpunan aman

Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali menggesa pihak berkuasa membenarkan orang ramai menyatakan pandangan melalui demonstrasi aman, susulan laporan aktivis disiasat atas dakwaan terlibat dalam perhimpunan di Dataran Merdeka pada 29 Feb.

Beliau menegaskan bahawa hak semua rakyat Malaysia untuk membantah atau menyatakan pandangan mereka secara aman adalah tertakluk dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Terdapat banyak pandangan yang disuarakan mengenai perkembangan politik minggu lalu tetapi saya percaya bahawa perbezaan pandangan adalah penting untuk demokrasi yang sihat.

"Sehubungan itu, saya menggesa pihak berkuasa untuk membenarkan orang ramai menyatakan pandangan mereka dan tidak menyiasat mereka yang terlibat dengan protes aman.

"Bagaimanapun, saya faham bahawa pihak polis menjalankan kewajipan mereka untuk mengekalkan ketenteraman dan keselamatan awam," kata Azmin dalam satu kenyataan hari ini.

Azmin berkata beliau bersetuju dengan Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador yang menyeru penganjur perhimpunan itu untuk menghormati undang-undang dan memberi notis awal sebelum mengadakan perhimpunan seperti diperuntukkan di bawah Akta Perhimpunan Aman (PAA).

Aktivis Fadiah Nadwa Fikri sedang disiasat oleh polis di bawah seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 mengenai kenyataan di media sosialnya mengenai perhimpunan pada malam Sabtu.

Aktivis Marina Mahathir dan Ambiga Sreenevasan juga dilaporkan sedang disiasat oleh pihak polis kerana didakwa terlibat dalam perhimpunan itu.