Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Afif: Saya orang parti, akan ikut keputusan parti

Bekas timbalan ketua pemuda PKR (AMK), Dr Afif Bahardin akan kekal dalam parti dan komited kepada Pakatan Harapan yang memenangi mandat untuk mentadbir Pulau Pinang dalam pilihan raya umum.

"Saya orang parti, saya akan mengikut keputusan parti. Jika saya dipecat, saya akan lihat apa yang perlu dilakukan," katanya kepada pemberita di Komtar, Pulau Pinang.

Afif merupakan antara penyokong bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali, yang pada minggu lalu, terlibat dalam gerakan menumbangkan PH.

Dikenali sekarang sebagai Langkah Sheraton, Azmin dan 10 ahli parlimen lain meninggalkan PKR untuk menyertai Bersatu, BN dan PAS menubuhkan kerajaan Perikatan Nasional.

Dua daripaa kumpulan Azmin kembali menyokong PH, sementara Azmin dan yang lain menyertai Bersatu untuk mengangkat Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

"Saya sudah lama bersama Azmin dan juga Presiden PKR, Anwar Ibrahim, penglibatan politik saya yang pertama adalah dalam PKR.

"Saya memenangi kerusi pertama saya di Seberang Jaya di bawah PKR dan saya komited untuk berkhidmat sebagai exco di bawah Ketua Menteri Chow Kon Yeow," katanya.

"Tidak ada persoalan mengenai kesetiaan dan komitmen saya terhadap Pulau Pinang," katanya.

"Jawatan dan mandat yang diberikan kepada saya bukan hak tetapi keistimewaan untuk melakukan yang terbaik kepada rakyat," tegas Afif.

Afif menghadiri pertemuan dengan kepimpinan PKR di Kuala Lumpur pada hari Ahad lalu, dan menyatakan pendiriannya mengenai situasi politik semasa.

Di sana, Afif bertemu dengan beberapa ahli PKR yang berang dan tidak berpuas hati dengan hubungannya dengan Azmin, tetapi berkata "ia perkara biasa dalam sebarang perjuangan".

Afif telah dikeluarkan surat tunjuk sebab pada bulan lalu dan telah menjawabnya Rabu lalu berhubung tuduhan mencetuskan kekecohan pada kongres tahunan parti pada Disember tahun lalu.

"Saya telah memberitahu kepimpinan bahawa saya bersedia untuk berdepan apa-apa tindakan, saya serahkan kepada kebijaksanaan mereka untuk memutuskan perkara itu," kata Afif.