Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Saya tak pernah kenal paderi Joshua Hilmy - Khairy

Anggota Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin menafikan dirinya mengenali Joshua Hilmy seperti didakwa seorang saksi dalam inkuiri Suhakam berhubung kehilangan paderi berkenaan dan isterinya, Ruth Hilmy.

Menurut Khairy, saksi berkenaan, Selvakumar Peace John Harris memaklumkan kepada inkuiri Suhakam bahawa beliau pernah menghantar beberapa emel kepada Joshua termasuklah ‘memberi amaran’ kepadanya agar meninggalkan negara ini.

"Saya menafikan segala tuduhan ini. Saya tidak pernah secara peribadi mengenali Joshua Hilmy, Ruth Hilmy mahupun Selvakumar Peace John Harris.

"Saya juga menafikan pernah menghantar apa-apa emel seperti yang didakwa atau berhubung dengannya menerusi mana-mana medium komunikasi.

"Kenyataan yang dikeluarkan oleh Selvakumar Peace John Harris adalah tidak benar sama sekali," kata Khairy dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Selvakumar mendakwa Khairy mengeluarkan 'amaran' kepada Joshua agar meninggalkan negara ini susulan aktiviti pembaptisan yang dilakukan paderi itu kepada beberapa pasangan Melayu beragama Islam pada tahun 2015.

Selvakumar yang merupakan pemilik rumah yang didiami pasangan itu di Kampung Tunku memberitahu panel inkuiri bahawa Khairy menghantar beberapa emel kepada Joshua dan antaranya menyebut: “lebih baik kamu tinggalkan negara”.

Bagaimanapun, Selvakumar turut menjelaskan bahawa Joshua tidak secara langsung menggunakan perkataan “amaran” namun itu adalah dakwaan dia sendiri, memandangkan Joshua pernah memberitahunya bahawa dia berasa tidak selamat.

Ketika ditanya Pesuruhjaya Suhakam, Hishamudin Yunus apakah respons Joshua setelah mendapat emel tersebut, Selvakumar mendakwa Joshua meluahkan hasratnya untuk berpindah dari rumahnya di Kampung Tunku.

“Dia (Joshua) beritahu nak pindah dari rumah di Kampung Tunku, dia tahu pihak berkuasa akan carinya dan bila dia beritahu Khairy telah “mengugutnya”, dia tahu tidak selamat,” dakwa Selvakumar.

Joshua memeluk agama Kristian selepas keluar daripada agama Islam dan berkahwin dengan Ruth pada 2004.

Menurut keluarga Ruth, wanita terbabit datang ke Malaysia pada 2000 untuk bekerja sebagai tukang jahit dan ketika itulah dia bertemu Joshua.

Tidak banyak diketahui mengenai kehilangan pasangan tersebut, melainkan kali pertama mereka dilihat pada 30 Nov 2016, dan dilaporkan hilang pada 6 Mac 2017.