Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Badan Peguam gesa hormati hak kebebasan bersuara

Badan Peguam Malaysia menggesa pihak berkuasa menghormati kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan seperti yang termaktub dalam perlembagaan persekutuan.

Ini selepas aktivis Fadiah Nadwa Fikri disiasat polis di bawah Seksyen 4 (1) (a) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana memuat naik hantaran di media sosial bagi mengajak orang ramai menyertai perhimpunan aman di Dataran Merdeka pada 29 Feb.

Bekas Presiden Badan Peguam, Ambiga Sreenevasan dan aktivis Marina Mahathir juga kini disiasat polis kerana didakwa terlibat dalam perhimpunan itu.

"Kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

"Semua rakyat Malaysia berhak untuk kebebasan ini tanpa mengira pegangan politik dan ideologi mereka.

"Semua rakyat Malaysia mempunyai hak untuk menyuarakan pandangan dan kebimbangan mereka tentang senario politik yang berlaku," kata Presiden Badan Peguam Abdul Fareed Abdul Gafoor dalam satu kenyataan malam ini.

Beliau menggesa pihak polis melakukan tugas asal mereka dan bukan menyekat rakyat Malaysia daripada melaksanakan hak yang dijamin perlembagaan.

"Badan Peguam Malaysia menyeru pihak berkuasa menghormati hak rakyat Malaysia untuk menyuarakan pandangan dan kebimbangan mereka kepada iklim politik negara ini dengan cara yang teratur dan tanpa kekerasan.

"Pihak polis, dalam peranan mereka menjaga ketenteraman awam, harus memudahkan perhimpunan aman tersebut dan bukan bersikap skeptikal terhadap kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan yang sah sebagai ancaman kepada ketenteraman awam," katanya.