Saksi dakwa KJ pernah beritahu paderi Joshua tinggalkan negara
INKUIRI SUHAKAM | Saksi kelima inkuiri kehilangan pasangan suami isteri Joshua Hilmy dan Ruth Hilmy, hari ini membuat dakwaan mengejutkan berkenaan 'amaran' oleh anggota parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.
Saksi berkenaan, Selvakumar Peace John Harris mendakwa Khairy pernah meminta Joshua meninggalkan negara ini susulan aktiviti pembaptisan yang dilakukan paderi itu kepada beberapa pasangan Melayu beragama Islam pada tahun 2015.
Selvakumar yang merupakan pemilik rumah yang didiami pasangan itu di Kampung Tunku memberitahu panel inkuiri bahawa Khairy menghantar beberapa emel kepada Joshua dan antaranya menyebut: “lebih baik kamu tinggalkan negara”.
Ditanya Pesuruhjaya Suhakam, Hishamuddin Yunus kepada Selvakumar adakah Khairy Jamaluddin yang dimaksudkan adalah bekas menteri belia dan sukan, Selvakumar menjawab 'Ya'.
Jelas Selvakumar yang merupakan seorang jurutera dan menetap di Sungai Bakap Butterworth, Joshua menelefonnya pada Disember 2015 sebelum menunjukkan bukti emel tersebut ketika paderi itu menziarahinya pada Mei 2016.
“Dia (Khairy) telah hantar emel kepada Joshua memberitahunya tinggalkan negara. Dia ada telefon sebelum ini bertanyakan isu ini kepada saya.
“Saya percaya ini disebabkan pasangan Melayu yang Joshua lakukan aktiviti pembaptisan pada Januari tahun 2015 tahun lalu,” katanya semasa memberi keterangan kepada panel inkuiri di Ibu Pejabat Surahanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) di Kuala Lumpur hari ini.
Selain itu, Selvakumar turut mendakwa bukan cuma satu emel, malah beberapa emel dihantar Khairy – yang pada ketika itu menteri belia dan sukan- kepada Joshua.
Namun dakwanya emel tersebut lebih bersifat amaran.
"Sebenarnya perbualan Khairy dengan Joshua bermula dengan mesra dan berakhir dengan amaran," dakwanya.
Bagaimanapun, Selvakumar turut menjelaskan bahawa Joshua tidak secara langsung menggunakan perkataan “amaran” namun itu adalah dakwaan dia sendiri, memandangkan Joshua pernah memberitahunya bahawa dia berasa tidak selamat.
Baca: Saya tak pernah kenal paderi Joshua - Khairy
Saksikan Joshua baptiskan 10 pasangan Melayu
Mengulas lanjut berkenaan aktiviti pembaptisan yang dilakukan Joshua terhadap kedua pasangan Melayu –yang dinamakan sebagai Mirza dan Alim, Selvakumar menjelaskan bahawa beliau turut menjadi saksi kejadian tersebut.
“Pada Januari 2015, pasangan Melayu itu dikenali sebagai Mirza dan Alim, keduanya telah dibaptiskan oleh Joshua dan dibawa ke bilik mandi untuk “menyucikan diri” membaca mantera.
“Kemudian Joshua muat naik gambar pasangan itu di akaun Facebook dan ramai orang tahu berkenaan isu tersebut.
"Saya berada di situ bersama isteri dan anak-anak bagi menyaksikan kejadian itu,” katanya lagi.
Tambah Selvakumar, beliau juga berkata Joshua telah melakukan aktiviti pembaptisan terhadap seramai 10 pasangan Melayu sebelum ini.
Susulan dakwaan Selvakumar, ramai panel inkuiri turut terkejut dan mula bertanyakan soalan.
HIshamuddin antaranya bertanyakan kepada Selvakumar adakah dia benar yakin Joshua melakukan pembaptisan kepada kesemua Melayu yang beragama Islam.
Selvakumar, turut berkata bahawa dia yakin bahawa kesemua pasangan Melayu itu adalah beragama Islam.
Selain itu, ditanya Hishamuddin kembali, apakah respons Joshua setelah mendapat emel tersebut dari Khairy, Selvakumar memberitahu bahawa Joshua meluahkan hasratnya untuk berpindah dari rumahnya di Kampung Tunku.
“Dia (Joshua) beritahu nak pindah dari rumah di Kampung Tunku, dia tahu pihak berkuasa akan carinya dan bila dia beritahu Khairy telah “mengugutnya”, dia tahu tidak selamat,” dakwa Selvakumar.
Untuk rekod, Selvakumar mengenali Joshua pada tahun 2014 di Gereja St Mark Butterworth.
Satu laporan polis dibuat
Terdahulu, saksi ketiga Josiahnan dan Emmanuel Peter menjelaskan bahawa pihaknya membuat laporan polis atas kehilangan dua individu tersebut kerana bimbang mempunyai kaitan dengan kehilangan Paderi Kristian Raymond Koh Keng Joo dan pekerja amal Amri Che Mat.
Tambah Josiahnandan, laporan polis itu dibuat pada tahun 2017 oleh ayahnya, Peter Pormannan Annamalai di Balai Polis Sungai Way, Petaling Jaya.
Malah, saksi keempat dari NGO Kumpulan Tindakan Masyarakat Mengenai Kehilangan Paksaan (Caged), Ramanthan Manickam Ramasamy turut mendakwa bahawa isu kehilangan pasangan itu sedikit sebanyak sama seperti Koh dan Amri.
Untuk rekod, Ruth memang merupakan seorang penganut Kristian manakala suaminya, Joshua, memilih agama berkenaan selepas keluar daripada Islam. Pasangan itu berkahwin pada 2004.
Menurut keluarga Ruth, wanita terbabit datang ke Malaysia pada 2000 untuk bekerja sebagai tukang jahit dan ketika itulah dia bertemu Joshua.
Tidak banyak yang diketahui mengenai kehilangan pasangan tersebut, melainkan kali pertama mereka dilihat adalah pada 30 Nov 2016, dan dilaporkan hilang pada 6 Mac 2017.
Inkuiri hari ini ditangguh pada 5 petang dan akan disambung semula esok.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai