Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Bersih saran sidang khas parlimen untuk undi percaya

Bersih mencadangkan satu sidang khas parlimen bagi memuktamadkan persoalan sama ada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang baru mengangkat sumpah mempunyai sokongan majoriti di Parlimen.

“Sekiranya sidang khas parlimen tidak dipanggil, maka undi percaya perlu diusul sesegera mungkin apabila sidang seterusnya berlangsung pada 9 Mac,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri semalam dan sebagai ketua gabungan Perikatan Nasional yang terdiri daripada Bersatu, BN, dan PAS.

GPS Sarawak juga menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Walau bagaimanapun, sokongan Bersatu tidak mutlak, dengan Dr Mahathir Mohamad dan Pakatan Harapan mendakwa mereka juga mempunyai majoriti di Dewan Rakyat.

Bersih berkata undi percaya juga penting kerana rakyat yang meletakkan mereka di Dewan Rakyat dan mereka mempunyai hak untuk melihat sendiri di mana wakil rakyat mereka akan berpihak.

“Bagi rakyat, sidang khas Parlimen akan mendedahkan dengan jelas bagaimana pengundian ahli parlimen dan sama ada ia masih selari dengan harapan mereka semasa mereka mengundi di PRU14.

“Bersih 2.0 menggesa rakyat untuk berhubung dengan ahli parlimen mereka bagi mengetahui siapa yang akan mereka pilih dalam undi percaya di parlimen,” katanya.

Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa apabila perdana menteri kehilangan sokongan majoriti di Dewan Rakyat, beliau mesti melepaskan jawatannya kecuali jika Yang di-Pertuan Agong memutuskan untuk membubarkan Parlimen.

Parlimen dijangka akan bersidang pada Isnin depan.

Walau bagaimanapun, Muhyiddin boleh menangguhkan cabaran terhadap pelantikannya sebagai perdana menteri itu.

Perkara 55 (2) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Seri Paduka boleh menangguhkan sidang Parlimen. Sebagai perdana menteri, Muhyiddin boleh menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk berbuat demikian.

Perkara 55 (1) menyatakan bahawa persidangan Dewan Rakyat mesti diadakan dalam tempoh enam bulan dari tarikh sidang terakhir - dalam kes ini, 5 Dis, 2019, yang bermaksud bahawa sesi berikutnya mesti dipanggil pada minggu pertama bulan Jun.