Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Kumpulan masyarakat sivil kutuk siasatan terhadap aktivis

Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) dan organisasi-organisasi masyarakat sivil (CSO) mengutuk siasatan polis terhadap aktivis, Fadiah Nadwa Fikri dan beberapa individu lain.

Ini selepas Fadiah dan beberapa individu disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan kerana kecenderungan menghasut dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu "penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian".

Dalam kenyataan media hari ini, gabungan tersebut berkata tindakan pihak berkuasa dilihat sebagai satu bentuk intimidasi dan tindakan balas terhadap aktivis.

"Dalam kes ini (individu-individu yang disiasat) menjalankan hak perlembagaan mereka iaitu kebebasan bersuara dan berhimpun melalui perhimpunan aman dalam mengecam perjanjian 'pintu belakang' yang mengakibatkan penggulingan kerajaan Pakatan Harapan yang jelas tidak sehaluan dengan kehendak rakyat yang telah menggunakan hak mereka pada 2018 untuk menentukan kerajaan pilihan mereka," katanya.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Huzir Mohamed berkata, Fadiah dikesan memuatnaik kenyataan dengan sengaja berunsur hasutan di media sosial yang boleh mendatangkan suasana tidak harmoni, perpecahan, perasaan permusuhan dan boleh mengganggu gugat ketenteraman serta keselamatan awam.

Selain itu tiga pengguna Facebook yang menggunakan nama Aaron Yee, Gavin Lee dan Haizad Azhar dikesan memuat naik hantaran berunsur penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong.

CSO turut mendakwa tindakan pihak berkuasa terhadap aktivis berkenaan sebaik sahaja Muhyiddin Yassin dilantik sebagai perdana menteri, jelas menunjukkan kembalinya rejim regresif yang baru sejak Mei 2018.

"Tindakan ini menjadi lebih teruk lagi oleh kenyataan media yang menggambarkan, terutamanya Fadiah, sebagai "dikehendaki" oleh pihak polis.

"CSO berulang kali menegaskan bahawa undang-undang yang menindas dan kejam, seperti yang disebutkan di atas, harus dimansuhkan kerana jelas merupakan pelanggaran hak kebebasan dan bersuara yang dijamin dalam Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan," tambahnya lagi.

CSO merupakan gabungan merangkumi beberapa NGO terkemuka seperti Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ), Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Sisters In Islam (SIS) dan Empower Malaysia.

NGO yang lain adalah Freedom Film Network, KRYSS Network, Pusat Komas, The Society for the Promotion of Human Rights (Proham), Persatuan Sahabat Wanita Selangor, Sinar Projek, Justice for Sisters, Engage dan Amateur.