Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Muhyiddin takkan dapat lari dari parlimen - Loke

DAP berkata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mungkin boleh melambat-lambatkan sidang parlimen, ketika sokongan padanya masih tidak kukuh.

Bagaimanapun ia hanya untuk beberapa bulan, kata setiausaha organisasi parti itu Anthony Loke.

Bekas menteri pengangkutan berkata, Perlembagaan Persekutuan menetapkan Yang Dipertuan Agong mesti memanggil sidang parlimen tidak lebih enam bulan daripada mesyuarat sebelumnya.

“Mereka boleh tangguh, ya, tetapi hanya sebentar.

“Perdana Menteri baru tidak boleh lari dari hakikat dia masih perlukan restu parlimen,” katanya.

"Sekiranya mereka mendapat majoriti, mereka tidak perlu takut. Mereka boleh segera mengadakan sesi persidangan Parlimen yang seterusnya sebaik sahaja kabinet ditubuhkan,” katanya kepada pemberita selepas majlis perpisahannya di Kementerian Pengangkutan di Putrajaya hari ini.

Loke, yang juga ahli parlimen Seremban, menegaskan bahawa gabungan Pakatan Harapan yang digulingkan oleh kerajaan oleh kerajaan baru Perikatan Nasional yang diketuai oleh Muhyiddin, akan bertindak berdasarkan perlembagaan dan undang-undang untuk membaiki keadaan.

"Kita perlu tenang dan sabar. Apa jua resolusi yang kita mahukan, ia akan tertakluk dalam rangka perlembagaan. Ia boleh dilaksanakan,” katanya.

Persidangan Dewan Rakyat yang lalu ditangguhkan pada 5 Dis, 2019, yang bermaksud Agong menitahkan persidangan pada awal bulan Jun.

Sidang Parlimen dijadualkan bersidang pada 9 Mac tetapi terdapat spekulasi bahawa Muhyiddin mungkin cuba menangguhkan sidang tersebut sehingga beliau dapat mengukuhkan kedudukannya dengan memastikan ia memiliki majoriti selesa di Dewan Rakyat.

PH mendakwa mempunyai sokongan 114 ahli parlimen, iaitu majoriti tipis dan keadaan masih dalam keadaan tidak menentu memandangkan anggota parlimen ketika ini masih beralih sokongan. Sokongan seramai 112 ahli parlimen diperlukan untuk meraih majoriti mudah.