Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Covid-19: Ahli Parlimen Subang kuarantin diri sendiri

Ahli Parlimen Subang Wong Chen pagi ini mengumumkan bahawa beliau mengkuarantin dirinya sendiri.

Ini susulan laporan Malaysiakini bahawa seorang bekas menteri dan bekas timbalan menteri berada dalam kontak rapat dengan pesakit Covid-19.

Beliau mendapati bahawa bekas menteri dan timbalan menteri, yang juga ahli parlimen, berada dalam beberapa mesyuarat politik sewaktu berlakunya krisis politik sekitar seminggu selepas keruntuhan kerajaan Pakatan Harapan, Isnin lalu.

"Ujian sedang dijalankan terhadap bekas menteri dan bekas timbalan menteri. Mereka menghadiri banyak mesyuarat politik semasa krisis tersebut.

"Kedua-duanya tidak dijangkiti tetapi ujian akan dijalankan. Pihak kesihatan menasihatkan supaya kuarantin diri sendiri jika anda telah bertemu dengan seseorang yang pernah mempunyai kontak rapat dengan pesakit Covid 19.

“Berdasarkan apa yang dinyatakan, tindakan yang bertanggungjawab adalah untuk kuarantin diri sendiri untuk hari ini dan esok, sehingga kita mendapat keputusan ujian bekas menteri dan bekas timbalan menteri itu,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Wong Chen berkata tidak perlu panik dan langkah berjaga-jaga sedang diambil untuk mengekang sebarang kemungkinan bagi penyebaran virus itu.

"Mereka yang mempunyai kontak secara langsung dengan mangsa Covid-19 perlu kuarantin diri sendiri secara disiplin, dan jika berasa tidak sihat, hubungi hospital untuk ujian. Saya rasa amat sihat pagi ini.

"Saya akan bekerja dari rumah dan akan berhubung dengan pegawai saya melalui conference call," katanya.

Semalam, Malaysiakini melaporkan bahawa bekas menteri dan bekas timbalan menteri itu merupakan dari Perikatan Nasional dan seorang lagi dari PH. Mereka mempunyai kontak rapat dengan pesakit kes ke-26, Covid-19 di negara ini.

Pesakit ke-26 merupakan pegawai kanan kepimpinan Khazanah dan ketua syarikat berkaitan kerajaan.

Beliau telah menghadiri majlis kerajaan di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 27 Feb, bersama kedua-dua mereka.

Menurut Kementerian Kesihatan, pesakit ke-26 itu telah pergi ke Shanghai pada pertengahan bulan Januari.

Beliau demam dan mempunyai sakit tekak pada 27 Feb, iaitu pada hari yang sama dalam acara itu, dan telah disahkan positif Covid-19 pada 29 Feb.

Beliau telah dimasukkan ke wad pengasingan di Hospital Sungai Buloh.

[Baca berita asal]