Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

'Pengkhianat!' - Penyokong Azmin jadi sasaran di luar ibu pejabat PKR

PKR hari ini memanggil semua pemimpin dan wakil rakyatnya ke ibu pejabat parti di Petaling Jaya, susulan kemelut politik yang menyaksikan runtuhnya kerajaan PH dan penubuhan kerajaan Perikatan Nasional diketuai Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, yang mengangkat sumpah pagi tadi.

Muhyiddin, yang dahulunya sebahagian daripada kerajaan PH, membawa Bersatu dan bersama-sama bekas anggota parlimen PKR yang diketuai Azmin, BN, PAS dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk menubuhkan kerajaan baru.

Di luar ibu pejabat, para penyokong parti itu berhimpun dan kekecohan tercetus apabila mereka melaungkan "pengkhianat" apabila melihat pemimpin parti yang dianggap sebagai penyokong Azmin Ali.

Pertemuan pemimpin PKR dibuat di ibu pejabat sejak tengah hari. Ia selesai pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari dan para pemimpin mula beredar.

Ketika Adun Seberang Jaya Afif Bahardin, dikenali sebagai penyokong Azmin, meninggalkan ibu pejabat, penyokong mula menghampirinya dan melaungkan "pengkhianat! pengkhianat! pengkhianat!".

Afif Bahardin

Sejumlah anggota Wanita PKR pula mendesak ketua sayap itu, Haniza Talha dan timbalannya, Daroyah Alwi - kedua-duanya juga penyokong Azmin - untuk keluar dan bersemuka dengan mereka.

Keadaan semakin panas apabila naib presiden Tian Chua, seorang lagi penyokong Azmin, keluar dari ibu pejabat. Mereka melaungkan "pengkhianat" dan sejumlah perkataan lain terhadapnya.

Tian Chia kemudian dibawa untuk masuk ke keretanya, namun keluar semula untuk bersemuka dengan mereka.

Ada yang membaling botol minuman yang terkena mukanya. Seorang lagi menumbuk mukanya.

Bekas anggota parlimen Batu itu akhirnya masuk ke dalam kereta, selepas berulang kali diminta berbuat demikian oleh mereka yang mengawalnya.

Polis kemudian datang untuk mengawal keadaan. Sekurang-kurangnya seorang individu ditahan.

Tian Chua kemudian menyifatkan insiden itu sebagai "perkara kecil" dan berkata dia tetap setia kepada PKR.

Anwar kemudian keluar untuk menenangkan keadaan, dan berkata penyokong Azmin tidak sepatunya dipersalahkan atas tindakan bekas timbalannya itu.

"Mereka (pemimpin PKR yang menyokong Azmin) masih setia kepada parti...Mereka tidak tahu tentang perbincangan di belakang yang dibuat beberapa (bekas) pemimpin parti. Mereka sendiri rasa dikhianati.

"Mereka tidak tahu, jadi tak boleh salahkan penyokong. Bila mereka datang dan jelaskan, saya harus terima baik pandangan mereka," katanya.

PH membayangkan mereka menimbang untuk membuat usul tidak percaya terhadap Muhyiddin apabila Parlimen bersidang pada 9 Mac ini.

PH terdahulu mengisytiharkan sokongan terhadap Mahathir sebagai perdana menteri.

Mahathir bertegas bahawa Bersatu tidak sepatutnya bekerjsama dengan Umno kerana beberapa pemimpinnya kini berdepan dakwaan rasuah di mahkamah.

Hari ini beliau berkata dikhianati oleh Muhyiddin dan berkata presiden Bersatu itu merasakan parti itu perlu bekerjasama dengan Umno untuk terus bertahan di pentas politik.