Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Azmin sifatkan Muhyiddin berwibawa, ada integriti

Anggota Parlimen Gombak, Azmin Ali menzahirkan raya syukur dan rasa terima kasih susulan pembentukan sebuah kerajaan baru hari ini.

“Saya bersyukur kepada Allah SWT kerana perjuangan kami selama satu minggu untuk membentuk sebuah kerajaan baru telah berjaya,” katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau berkata perjuangan yang dilalui sepanjang tempoh itu merupakan saat-saat getir namun pada akhirnya berjaya meraih sokongan yang cukup buat Muhyiddin Yassin untuk diangkat sebagai perdana menteri kelapan.

"Saya mengucapkan tahniah kepada YAB Tan Sri Datuk Muhyiddin atas mandat yang diberi kepada beliau sebagai perdana menteri dan membentuk sebuah kerajaan yang baru. Beliau adalah seorang pemimpin yang berwibawa, berpengalaman serta berintegriti," katanya.

Katanya, Perikatan Nasional akan membentuk sebuah kerajaan yang berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

“Kami komited terhadap agenda nasional demi memacu kebangkitan ekonomi, menjamin kemakmuran bersama, memelihara keselamatan dan kedaulatan negara, memperkukuh perpaduan rakyat serta menjayakan reformasi institusi,” kata Azmin.

Azmin merupakan antara individu penting yang menyebabkan kerajaan PH tumbang minggu lalu.

Beliau dan 10 ahli parlimen – yang merupakan sekutunya dari PKR- keluar parti dan bergabung bersama Bersatu yang turut sama meninggalkan PH.

Sementara itu, bekas ahli parlimen PH pula kini bergabung dengan wakil rakyat dari Umno, PAS, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan parti-parti lain yang lebih kecil untuk menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Azmin terdahulu merupakan timbalan presiden PKR sering dikaitkan sebagai pemimpin kegemaran Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, perselisihan Azmin bersama presidennya Anwar Ibrahim dilihat bertambah keruh sepanjang dua tahun lalu dan mencapai kemuncak apabila beberapa ahli parlimen parti itu sendiri menuntut pembelaan dalam gerakan yang dikenali sebagai “Langkah Sheraton”.