Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

MP PKR: Kerajaan PH 2.0, bukan kerajaan perpaduan

Anggota Parlimen Subang dari PKR, Wong Chen berkata kerajaan baru yang ingin ditubuhkan Perdana Menteri Sementara, Dr Mahathir Mohamad akan menjadi kerajaan PH 2.0, bukannya kerajaan perpaduan.

"Prospek (kerajaan) Azmin/Umno/PAS sangat sukar dibayangkan, sehingga semua kembali cuba menyelamatkan kerajaan PH.

"Kerajaan Azmin/Umno/PAS akan mengundurkan langkah reformasi dan menyebabkan aliran keluar pelaburan domestik, dan menghentikan semua pelaburan langsung asing.

"Jadi apa yang kita ada sekarang bukanlah kerajaan perpaduan, tetapi kembalinya kerajaan PH 2.0," katanya di Facebook.

Pada masa ini, beliau berkata Bersatu sedang menangani hal dalamannya, sementara pendirian GPS masih belum jelas.

Mahathir bertikai dengan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang mahu menubuhkan kerajaan baru bersama Umno. Perkara itu ditolak sekeras-kerasnya oleh Mahathir.

Semalam, Muhyiddin hampir menubuhkan kerajaan setelah mendapat sokongan anggota parlimen kem Azmin, BN, PAS dan GPS.

Bagaimanapun Mahathir hari ini mencapai persetujuan dengan PH untuknya menubuhkan kerajaan. Sumber memberitahu Malaysiakini bahawa Warisan kemungkinan akan menyokong Mahathir.

"Orang dalam mengakui bahawa Presiden PKR Anwar Ibrahim secara sukarela tidak menyertai kabinet dan memberi laluan kepada Mahathir sebagai perdana menteri, agar PH 2.0 terus hidup.

"Akhirnya ada peluang yang besar untuk menubuhkan kerajaan, selepas seminggu huru-hara politik," katanya lagi.

Terdahulu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng juga memberitahu Malaysiakni yang kerajaan baru yang akan ditubuhkan ialah sebuah kerajaan PH, tetapi tidak mengulas lebih lanjut tentangnya.

Malaysia tidak memiliki kerajaan selama enam hari selepas cubaan menubuhkan kerajaan baru yang diketuai Muhyiddin, Azmin dan sekutu mereka pada Ahad lalu.

Mereka merancang menubuhkan gabungan Perikatan Nasional bersama Mahathir sebagai perdana menteri, tetapi ia ditolak Mahathir yang kemudiannya meletakkan jawatan.

Selasa lalu, PH menyuarakan sokongan kepada Mahathir untuk mengembalikan kerajaan PH tetapi kemudian mencalonkan Anwar sebagai perdana menteri, selepas Mahathir menolaknya dan mahu menubuhkan kerajaan perpaduan yang tidak berasaskan parti.

Dengan kebuntuan itu, pendokong Perikatan Nasional cuba melaksanakan rancangan asal, kali ini dengan Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Namun persetujuan yang dicapai PH dengan Mahathir menjadikannya calon utama untuk menjadi perdana menteri yang seterusnya.