Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

LANGSUNG: 2 MP nafi sokong Dr M

LANGSUNG | Malaysiakini melaporkan perkembangan terkini keadaan politik semasa berikutan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang berusia 20 bulan.

Jika anda suka laporan kami, sokong media bebas dengan melanggan Malaysiakini dengan harga serendah RM0.55 sehari. Maklumat lanjut di sini.

LANGSUNG

11.59 malam: Ahli Parlimen Sri Aman Masir Kujat tampil sebagai ahli parlimen kedua dari senarai 115 ahli parlimen yang dikeluarkan Mahathir, menafikan sokongan terhadap perdana menteri sementara itu.

"Saya menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri," kata Masir.

Ini membawa jumlah ahli parlimen yang menyokong Mahathir, berdasarkan senarai itu, adalah 113.


11.50 malam: Pakatan Harapan mengemas kini senarai mereka untuk memasukkan nama Ahli Parlimen Hulu Selangor June Leow PKR yang sebelum ini tertinggal.

Ini bermakna walaupun dengan Ahli Parlimen Bukit Gantang Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal tidak lagi dalam senarai itu, senarai itu masih terdapat 114 nama anggota parlimen.


11.40 malam: Ahli Parlimen Bukit Gantang Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal menafikan menyokong Mahathir.

"Saya menafikannya," katanya kepada Malaysiakini, sambil menambah bahawa dia tidak pernah menandatangani akuan berkanun (SD) yang menyokong perdana menteri sementara itu.

Sebaliknya dia berkata, beliau telah menandatangani SD yang menyokong Muhyiddin Yassin.

Beliau turut memberikan gambarnya yang menyampaikan SD kepada Muhyiddin dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Difahamkan, gambar itu diambil pagi ini.

Bagaimanapun, penafian Syed Abu Husin tidak mengubah jumlah Ahli Parlimen yang menyokong Mahathir, yang masih kekal pada 114.

Ini kerana senarai asal tertinggal nama ahli Parlimen Hulu Selangor dari PKR, June Leow.

Senarai itu diperbetulkan pada jam 11.49 malam.


10.50 malam: Perdana menteri sementara Dr Mahathir Mohamad mendedahkan senarai 114 ahli parlimen yang menyokongnya.

Dalam kenyataan media malam ini, Mahathir turut berkata bahawa beliau sudah menyediakan surat untuk diserahkan kepada Agong bagi menjelaskan sokongan yang diterimanya.

Dalam kenyataan sama, Mahathir turut mendedahkan ahli Bersatu yang menurutnya tidak menyokong pelantikan Muhyiddin.

"Buat masa ini saya telah mendapat sejumlah 114 ahli parlimen yang menyokong saya sebagai perdana menteri kelapan.

"Saya telah menyediakan surat untuk dihantar kepada Agong yang menerangkan kedudukan perkara ini serta sokongan 114 ahli parlimen yang diberikan kepada saya.

"Saya berharap pihak Tuanku DYMM Yang di-Pertuan Agong akan menerima surat dan penjelasan saya," katanya dalam kenyataan media malam ini.

Selain ahli-ahli parlimen dari PKR, DAP, dan Amanah sedia ada yang memberi sokongan pada Mahathir, senarai itu juga menampilkan beberapa nama ahli parlimen lain.

Antara nama lain yang mencuri tumpuan ialah Jeffrey Kitingan (Keningau) dan Richard Riot (Serian) yang disenaraikan di bawah PKR.

Selain itu, turut disenaraikan ialah Maximus Ongkili (Kota Marudu) dari Gabungan Bersatu Sabah, calon bebas Baru Bian (Selangau), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang) dan Masir Kijat (Sri Aman).


10.30 malam: Kediaman Muhyiddin Yassin, Bukit Damansara - Ahli Majlis Tertinggi Bersatu Rais Yatim menegaskan dirinya tidak berpihak kepada mana-mana kumpulan.

Bagaimanapun, Rais menyatakan keyakinan landskap politik baru akan wujud selepas Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri kelapan esok.

“Saya tak ada main team (mana-mana), saya tidak mengambil apa-apa pandangan berat terhadap kumpulan-kumpulan ini, namun sudah tiba masanya bagi warga Malaysia berpolitik sihat dan tidak tikam belakang atau memainkan taktik yang merugikan demokrasi di Malaysia.

"Selepas jam 10.00 pagi esok saya yakin satu aura baru wujud di tanah air kita.

“Namun, kita berterima kasih kepada Tun Mahathir dan rakan-rakan juga yang telah memberi peluang kepada Tan Sri Muhyiddin dan rakan-rakan beliau dalam kerajaan nanti,” katanya kepada pemberita.

Sementara itu, mengulas dakwaan bahawa PH peroleh sokongan majoriti 114 ahli parlimen, Rais berkata ia tidak menjejaskan perjalanan Muhyiddin untuk diangkat sebagai perdana menteri kelapan, esok.

Tambahnya, ia berasaskan kepada Perkara 43 (2A) Perlembagaan Persekutuan.

“Sekiranya itu yang dipilih, maka Agong tidak memerlukan apa-apa angka yang muktamad tetapi jika ada apa-apa di Parlimen nanti usaha untuk mengambil undi (undi tak percaya) itu soal lain dan itu boleh dilakukan.

“Sekiranya ada pihak yang mengemukakan usul itu berjaya mestilah cukup bilangan hari untuk membuat usul dan membuat perkiraan dan frasanya yang betul dan mengikut angkanya,” katanya.

Terdahulu Rais tiba di kediaman Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara, Kuala Lumpur sekitar 9.00 malam dan keluar selepas lebih sejam.


10.20 malam: Demonstrasi bantahan berhubung kemelut politik negara di Dataran Merdeka berakhir dengan aman.

Terdahulu, Ainina Sofia, salah seorang penganjur, memberitahu peserta agar saling menjaga satu sama lain kerana menurutnya polis sedang mencari pihak penganjur.

"Jika polis mahu menangkap salah seorang daripada kami, lebih baik tangkap kami semua," kata Ainina Sofia, sambil menambah bantahan itu tidak dianjurkan oleh mana-mana parti politik atau organisasi.

Lebih daripada 100 orang menyertai protes itu.

Bekas Pengerusi Bersih Ambiga Sreenevasan, yang turut hadir untuk menunjukkan sokongan, berkata beliau akan terus menjadi suara rakyat.

"Saya kembali.

"Sudah tentu (saya akan kembali) jika keadaan menuntutnya, tetapi saya bukan satu-satunya," katanya.

Namun, dia mengatakan bahawa dia tidak akan memimpin Bersih tetapi akan menyokong pergerakan itu.Terdahulu, beliau memberitahu pemberita bahawa satu sidang khas parlimen harus diadakan.

"Usul undi tidak percaya perlu dibincangkan dan dibahaskan dan kemudian membiarkan ahli parlimen mengundi untuk memuktamadkannya, begitulah ia harus berakhir - secara demokratik.

"Sebab itulah saya katakan saya tidak berputus asa terhadap demokrasi, kita mempunyai Parlimen yang berfungsi dan kita perlu kembali kepada itu," katanya.


9.00 malam: Dataran Merdeka, Kuala Lumpur - Sekumpulan penunjuk perasaan yang terdiri daripada golongan muda berkumpul di Dataran Merdeka bagi menyatakan bantahan terhadap kemelut politik yang berlaku sejak tujuh hari yang lalu.

Jemputan untuk menghadiri bantahan itu dibuat pengguna media sosial petang tadi. Para penunjuk perasaan terdiri daripada aktivis pelajar, aktivis dan orang ramai.

Salah seorang penunjuk perasaan mengatakan golongan elit politik tidak pernah peduli terhadap rakyat dan kumpulan yang terpinggir.

Penunjuk perasaan lain membidas rampasan politik yang berlaku.

"Saya marah, siapa buat? Saya peduli, siapa yang buat semua ini? Saya turun mengundi, bukan untuk mengundi Muhyuddin (Yassin), siapa dia?" katanya.

Sekumpulan peserta bantahan turut melaungkan slogan "bangkit Malaysia", selain "demokrasi sudah mati, rakyat perlu bangun".

"Mereka mencuri undi kami, jangan biarkan mereka melakukannya lagi," kata seorang lagi penunjuk perasaan.

Cucu perdana menteri sementara, Ineza Roussille, yang membuat filem M for Malaysia, turut mengambil bahagian dalam bantahan itu. Namun, dia menolak untuk bercakap dengan media.

Aktivis Fahmi Reza juga muncul dengan plakad badut yang menyerupai Muhyiddin.


9.30 malam: Presiden PKR Anwar Ibrahim dalam kenyataan ringkas di twitter menyatakan keyakinan bahawa PH akan mendapat lebih banyak sokongan ahli parlimen.

Kenyataan itu disertakan dengan gambar Ahli Parlimen Selangau baru Bian selepas menandatangan akuan berkanun (SD) menyokong Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

"114 (sokongan ahli parlimen). Lebih ramai akan datang. InsyaAllah," katanya.

 


9.10 malam: Berdasarkan semakan, kenyataan Ahli Parlimen Simpang Renggam  Maszlee Malik berhubung pelantikan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri yang sebelum ini dimuat naik di Facebook beliau, sudah dipadam.

Sebelum ini, hanya tiga jam selepas menyatakan sokongannya kepada Dr Mahathir Mohamad, Maszlee dalam kenyataannya mengumumkan beliau bersyukur Muhyiddin dilantik sebagai perdana menteri.

Kenyataan Maszlee yang sudah dipadam itu antara lain berbunyi:

"Sebagai ahli parti yang bertanggungjawab dan warganegara yang inginkan terbaik untuk rakyat, saya menyambut baik dan menjunjung kasih atas titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang berkenan melantik Mahiaddin Md Yasin sebagai Perdana Menteri.

"Saya mendokan agar Malaysia kekal aman dan terus maju ke hadapan," katanya dalam satu kenyataan malam ini.


8:50 malam: Presiden PKR Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu dilihat tiba untuk mengadakan pertemuan dengan perdana menteri sementara Dr Mahathir Mohamad di Yayasan Albukhary, Kuala Lumpur.

Kenderaan yang dinaiki Anwar dilihat dikawal dengan ketat.

Ahli Parlimen Selangau Baru Bian dilihat tiba sekitar pukul 8:30 malam. Selepas menandatangani akuan berkanun (SD) menyokong Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri, beliau beredar 15 minit kemudian.

Turut dilihat tiba di lokasi itu, Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang dan bekas timbalan menteri pertahanan Liew Chin Tong.


8.40 malam: Ahli Parlimen Selangau Baru Bian pula menandatangani akuan berkanun (SD) untuk menyokong Mahathir.

Upacara menandatangani SD itu turut disiarkan secara langsung di Facebook Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Fahmi mendakwa PH kini mempunyai 114 sokongan ahli parlimen.

Untuk rekod, Baru Bian sebelum ini merupakan antara 10 pemimpin PKR yang  menyokong bekas timbalan presiden Mohamed Azmin Ali.

Azmin dan kumpulannya sebelum ini dilaporkan menyokong Muhyiddin.


8.00 malam: Timbalan Presiden Bersatu Mukhriz Mahathir mempersoalkan dakwaan yang mengatakan 36 ahli parlimen parti mereka menyokong Muhyiddin Yassin.

Sedangkan, katanya, enam ahli parlimen Bersatu menyokong Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata enam ahli parlimen itu adalah dirinya, Mahathir, Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Ahli Parlimen Simpang Renggam Dr Maszlee Malik, Ahli Parlimen Kuala Pilah Eddin Syazlee Shith, dan Ahli Parlimen Kubang Pasu Amirudin Hamzah.

"Bohong menjadi PM?" katanya dalam catatan di Facebook.

Kenyataan Mukhriz itu turut disertakan dengan satu kenyataan media semalam yang menyatakan bahawa Bersatu menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri dan keputusan itu dibuat dalam mesyuarat yang "dihadiri oleh 36 ahli parlimen".

Bersatu hanya mempunyai 26 ahli parlimen sebelum 10 ahli parlimen yang meninggalkan PKR yang diketuai Mohamed Azmin Ali menyertai parti itu.

Selepas pengumuman bahawa Muhyiddin dilantik sebagai perdana menteri, Eddin Syazlee yang dikatakan sedang menuju ke Yayasan Albukhary, tempat pemimpin PH berkumpul, sebaliknya dilihat hadir di kediaman Muhyiddin. Beliau bagaimanapun beredar tidak sampai setengah jam selepas tiba.

Hanya tiga jam selepas menyatakan sokongannya kepada Mahathir, Maszlee kemudian mengumumkan beliau bersyukur Muhyiddin dilantik sebagai perdana menteri.


7.50 malam: Polis memberi amaran kepada orang ramai agar tidak menyertai perhimpunan jam 8.30 malam di Dataran Merdeka.

"Ia adalah satu perhimpunan haram kerana ia akan dilakukan secara tiba-tiba, tidak ada notis dan ia tidak mengikut prosedur, saya nasihatkan orang ramai untuk tidak menyertaiperhimpunan ini.

"Pihak penganjur akan dikenakan dakwaan undang-undang jika mereka meneruskannya," kata ketua polis Kuala Lumpur Mazlan Lazim kepada Astro Awani.


7.40 malam: Hanya tiga jam selepas menyatakan sokongannya kepada Dr Mahathir Mohamad, Dr Maszlee Malik kini mengumumkan beliau bersyukur Muhyiddin Yassin dilantik sebagai perdana menteri.

Kata Ahli Parlimen Simpang Renggam itu, pelantikan perdana menteri memang tidak boleh dilengahkan kerana negara memerlukan kerajaan demi kesejahteraan rakyat dan negara yang kita cintai bersama.

"Sebagai ahli parti yang bertanggungjawab dan warganegara yang inginkan terbaik untuk rakyat, saya menyambut baik dan menjunjung kasih atas titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang berkenan melantik Mahiaddin Md Yasin sebagai Perdana Menteri.

"Saya mendokan agar Malaysia kekal aman dan terus maju ke hadapan," katanya dalam satu kenyataan malam ini.


7.25 malam: Ahli Parlimen Santubong, Wan Junaidi Tuanku Jaafar, memberitahu Gabungan Parti Sarawak (GPS) memberikan sokongan mereka kepada Muhyiddin Yassin.

Katanya, ahli parlimen GPS mengadakan mesyuarat dalam talian pada malam tadi untuk menentukan sikap mereka sebelum dimaklumkan kepada Agong.

"Disebabkan kekangan masa kerana Agong mahu menamatkan kebuntuan ini, maka kami mengadakan mesyuarat dalam talian dan kami memutuskan (menyokong) Muhyiddin," katanya seperti dipetik portal The Malaysian Insight.

Katanya, GPS tidak menyokong Mahathir kerana kedudukan DAP dalam PH.

Terdahulu portal FMT turut memetik Ketua Menteri Sarawak, Abang Johari Openg juga memberi alasan sama untuk tidak menyokong Mahathir.


7.10 malam: Ahli Parlimen Kuala Pilah, Eddin Syazlee Shith, yang sebelum ini dikatakan menuju ke Yayasan al-Bukhary tempat pemimpin PH berkumpul, sebaliknya dilihat di rumah Muhyiddin di Bukit Damansara.

Beliau tiba sekitar 6.50 malam, sebelum meninggalkan kediaman Muhyiddin sekitar 7.10 malam.


6.25 petang:

Satu protes dijangka akan diadakan di Dataran Merdeka pada pukul 8.30 malam ini.

"Mereka yang marah dengan pengkhianatan, berkumpul malam ini di Dataran Merdeka pada pukul 8.39 malam. Jumpa anda di sana," menurut pesanan teks yang disebarkan di Whatsapp.

Difahamkan himpunan itu dianjurkan pihak sama yang mengadakan protes di situ pada Selasa malam lalu, yang dihadiri kira-kira 80 orang.


5.30 petang: Ketua Wanita Bersatu Rina Harun tiba di rumah Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

Beliau ialah anggota parlimen Titiwangsa.


5.30 petang: Rumah Muhyiddin, Bukit Damansara - Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata 114 daripada 222 anggota parlimen menyokong Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

Beliau berkata, "tidak jelas" anggota parlimen itu daripada parti mana tetapi menyebut Bersatu, PAS dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

"Ini yang diberitahu, kita sudah melepasi garisan," katanya kepada pemberita.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong kerana melantik Muhyiddin "mengikut Perlembagaan Persekutuan".

"PAS ucap tahniah pada Muhyiddin kerana telah dipilih mengikut proses yang demokratik yang tidak sepatutnya dipersoalkan oleh mana-mana pihak," katanya.

Setiausaha gung Umno Annuar Musa juga mengucapkan syukur terhadap keputusan Agong.


5.30 petang: Eastin Hotel, Petaling Jaya - Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata PH akan mengemukakan perakuan bersumpah (SD) anggota parlimen yang menyokong Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri, kepada Yang di-Pertuan Agong.

Beliau berkata, surat daripada Istana Negara semalam tidak menyatakan secara khusus tempoh masa untuk kedua-dua pihak mendapatkan sokongan melalui SD.

"Kita yakin ada angka (sokongan MP) yang cukup, sebab itu kita usaha sampai saat ini.

"Tiba-tiba kita dengar pengumuman rasmi istana, sebab itu kita akan cari jalan...InsyaAllah kita akan buktikan (ada sokongan). Kita ada hujah yang cukup," katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan sama ada SD yang dihantar oleh ketua-ketua parti kepada Istana tengah hari tadi cukup untuk membolehkan PH menubuhkan kerajaan.

Beliau juga berkata PH akan meneliti aspek undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan sebelum menentukan langkah seterusnya.


5.15 petang: Ahli majlis tertinggi Bersatu Wan Saiful Wan Jan berharap pelantikan Muhyiddin sebagai perdana menteri menandakan berakhirnya krisis politik dan pembinaan semula negara.

"Para pemimpin yang menerima mandat baru ini harus memastikan jasa baik para pemimpin masa lalu akan terus dihargai," tambahnya.

Beliau juga meminta Bersatu untuk kembali bersama-sama dengan disiplin yang lebih baik.

Sementara itu, Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin yang ditemui di rumah Muhyiddin menyatakan rasa] syukur atas keputusan itu.

“Alhamdulillah. Kerja keras kita selama seminggu berjaya angkat Muhyiddin sebagai PM,” katanya.


4.55 petang: Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menyambut pengumuman istana tentang lantikannya sebagai perdana menteri dengan sujud syukur.

Dalam satu video berdurasi 51 saat yang dikongsikan di laman Facebook Rita Sarbanon Ismail, Muhyiddin dilihat sedang mengerjakan sujud syukur, sebelum kemudiannya menadah tangan dipercayai berdoa selama beberapa puluh saat.

Sebelum itu, pada jam 4.30 petang, Yang di-Pertuan Agong berkenan melantik Muhyiddin sebagai perdana menteri kelapan menggantikan Dr Mahathir Mohamad yang kini berkhidmat sebagai perdana menteri interim.

Ketika ditemui media di kediamannya di Bukit Damansara, Muhyiddin mengucapkan terima kasih kepada penyokongnya dan berharap semua rakyat Malaysia menerima keputusan Istana.

"Saya bersyukur kepada Allah dianugerahkan jawatan perdana menteri kelapan. Dengan izin dan perkenan Agong.

"Saya menjunjung kasih di atas perkenan Agong dan sebab itu saya ingin ucapkan terima kasih kepada semua yang memberi sokongan moral kepada saya.

"Dan kita telah pun beristiqamah untuk menyatakan syukur atas anugerah diberikan Allah kpd saya.

"Saya hanya menohon untuk seluruh rakyat Malaysia menerima baik keputusan diumumkan Istana Negara hari ini," katanya.

Muhyiddin juga menambah bahawa beliau dimaklumkan bahawa upacara angkat sumpah akan diadakan di hadapan Yang di-Pertuan Agong pada pukul 10.30 pagi esok.


4.30 petang: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa dilaporkan berkenan melantik Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri kelapan.


4.24 petang: Anggota Parlimen Simpang Renggam Maszlee Malik menyatakan sokongannya buat Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri.

Katanya, meskipun dia tidak boleh berkompromi dengan sebarang usaha untuk menjejaskan kepentingan agenda Melayu, Islam dan Bumiputera, dia juga sukar untuk bersekongkol dengan individu-individu yang terlibat rasuah dan korupsi dan sedang diadili di mahkamah.

“Kemelut ini perlu diselesaikan segera.

“Dengan ini, saya menyatakan sokongan saya kepada YAB Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri Malaysia.

“Saya juga ingin menyeru kepada semua Ahli Parlimen Bersatu untuk kembali bersatu dan meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan politik,” katanya dalam satu kenyataan.


Warisan kata kedudukan tak berubah, masih sokong Dr M

4.10 petang: Parti Warisan Sabah berkata ia kekal konsisten dalam sokongannya terhadap Anggota Parlimen Langkawi, Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

"Selepas mengadakan mesyuarat dengan pimpinan tertinggi parti, Warisan tetap dengan pendirian sebelum ini iaitu menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri," kata Setiausaha Agung Warisan Loretto Padua.

Keputusan itu disahkan semula berikutan mesyuarat kepimpinan.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata Anggota Parlimen Keningau, Jeffrey Kittingan, yang pagi ini dilihat di kediaman Presiden Bersatu Muhyidddin Yassin di Kuala Lumpur, tidak akan menyokong Mahathir.

Mahathir dan Muhyiddin, walaupun dari parti yang sama, kini berbalah dan bersaing untuk membentuk kerajaan baru. 


Istana Negara keluar kenyataan rasmi jam 5 petang ini

4.09 petang: Bernama melaporkan Istana Negara akan keluarkan kenyataan rasmi pada jam 5 petang ini.


Anwar dakwa tiga MP sertai PH

3.40 petang - Hotel Eastin, Petaling Jaya: Presiden PKR,  Anwar Ibrahim mendakwa tiga anggota parlimen menyertai Pakatan Harapan (PH) termasuk Anggota Parlimen Serian, Richard Riot dari GPS.

Ini menjadikan jumlah sokongan anggota parlimen kepada Dr Mahathir Mohamad adalah seramai 95 orang berbanding 92 sebelum ini.

Anwar, bagaimanapun tidak menamakan dua anggota parlimen lain yang beralih arah kepada PH.

"(Angka) jauh lebih tinggi sebab 95 itu (dari) PH, Tun M tentulah bawa beberapa (MP) lagi," katanya.

Tanpa memberitahu angka yang tepat, beliau berkata PH kini sudah mempunyai jumlah anggota parlimen yang mencukupi di pihak mereka.

Ketika diminta mengesahkan Riot menyertai PKR, Anwar berkata, pemimpin berkenaan akan menyertai parti itu.

"Tadi dia call, dia mohon lama dah, tadi dia call , dia confirm he is on the way," katanya.


Pagi Jeffrey sokong Muhyiddin, petang didakwa sokong Mahathir

3.31 petang: Jika di sebelah pagi Jeffrey Kitingan menyatakan sokongan kepada Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri, di sebelah petangnya anggota parlimen Keningau itu dikatakan mengubah pendirian.

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil menerusi Twitternya mendakwa Jefrrey kini beralih sokongan kepada Dr Mahathir Mohamad.

"PKR dan PH mengucapkan terima kasih kepada YB Datuk Dr Jeffrey Kitingan, Ahli Parlimen Keningau (P.180) yang telah menyatakan sokongan terbuka buat @chedetofficial sebagai calon Perdana Menteri," katanya.

KEADILAN & amp; Pakatan Harapan mengucapkan terima kasih Kepada YB Datuk Dr Jeffrey Kitingan, Ahli Parlimen Keningau (P.180) Yang Telah menyatakan Sokongan Terbuka buat @chedetofficial . SEBAGAI calon Perdana Menteri & mdash; Fahmi Fadzil (@fahmi_fadzil) 29 Feb 2020

Awal pagi tadi Jeffery dari parti Star, merupakan salah seorang anggota parlimen yang berkumpul di kediaman Muhyiddin dalam rancangan untuk memaklumkan kepada istana bahawa mereka mempunyai majoriti membentuk kerajaan baru.

Setelah kira-kira 40 minit pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong, Muhyiddin dilihat meninggalkan istana, sementara Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, yang mengiringi beliau hanya berkata "Kami akan kembali esok".


Dr M pulang ke rumah lepas hadiri majlis kahwin anak

3:00 petang - Hotel Shangrila, Kuala Lumpur: Perdana Menteri Interim Dr Mahathir Mohamad yang ditemani isterinya, Dr Siti Hasmah Mohd Ali berangkat pulang selepas menghadiri majlis perkahwinan cucu mereka.

Seorang pembantu memberitahu Malaysiakini, pasangan itu dijadualkan pulang ke kediaman mereka di The Mines dan tidak mempunyai acara lain hari ini.

Dilihat memakai sut berwarna kelabu, Mahathir menolak untuk menjawab soalan daripada pemberita.


Anwar lihat kepentingan negara melebihi peribadi

2.30 petang: Kehadiran Presiden PKR Anwar Ibrahim di Istana Negara hari ini adalah untuk mencalonkan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

Menerusi catatan di Facebook, Anwar berkata, beliau melihat kepentingan negara kini lebih utama berbanding kepentingan peribadi.

"Hadir ke Istana Negara tengahari tadi bagi menyerahkan surat menyatakan perubahan pendirian Pakatan Harapan terkait calon PM dengan mengusulkan nama Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon PM mewakili PH.

"Saya terharu dukungan yang diberikan kepada saya, namun saya pilih untuk melihat kepentingan negara melebihi peribadi," katanya.


Hari ini lain, semalam lain, nak komen pun susah - Ismail Sabri

2.06 petang: Rumah Muhyiddin, Bukit Damansara - Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob dilihat keluar daripada kediaman Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Ditanya berkenaan kunjungan itu, dia hanya menjawab: "Borak-borak sahaja."

Bagaimanapun, ketika diminta mengulas tentang pendirian terbaru PH yang kembali menyokong Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri, Ismail berkata kredibiliti Mahathir benar-benar hilang susulan kemelut politik yang sedang berlaku.

“Hari ini lain, esok lain, lusa lain, semalam lain, jadi kita nak komen pun susah. Sebab kejap lagi mungkin tukar fikiran.

“Sebab itu payah nak komen, sebab kalau komen pagi ini, mungkin petang nanti dah berbeza balik. Jadi kamu (pemberita) kena tanya komen yang baru pula.

“Semua orang keliru dengan keadaan ini. Saya harap isu ini dapat diselesaikan dengan segera sebab negara kita pada hari ini tak berkerajaan...Ekonomi semakin tak menentu kerana masalah tak menentu hari ini," katanya.

Beliau berkata Mahathir perlu pentingkan soal rakyat dan negara berbanding dirinya sendiri.


'Doakan dalam sehari dua selesai'

2.00 petang: Hotel Eastin, Petaling Jaya - Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berharap kemelut politik ini akan berakhir dalam sehari dua lagi.

Beliau percaya sokongan akan dapat diperolehi daripada beberapa wakil rakyat yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan parti mereka dan sokongan daripada anggota parlimen dari Sabah dan Sarawak.

"Apa pun kita tunggu sehingga penumuman daripada istana, doa dalam sehari dua diselesaikan," katanya.


Dr M hadiri majlis kahwin cucu

2 petang - Hotel Shangrila, Kuala Lumpur: Perdana Menteri Interim Dr Mahathir Mohamad berehat sebentar di tengah-tengah kemelut politik, dengan menghadiri majlis resepsi perkahwinan cucunya, Meera Alyana Mukhriz.

Malaysiakini diberitahu Mahathir tiba di Hotel Shangrila sejam yang lalu.

Pengawal Unit Tindakan Khas (UTK) turut berada di hotel itu.

Ada laporan menyatakan Mahathir mungkin akan ke Istana Negara hari ini. Bagaimanapun pegawainya memberitahu Malaysiakini bahawa ia belum pasti.


Anwar beredar dari Istana Negara

1.50 tengah hari: Istana Negara - Presiden PKR Anwar Ibrahim meninggalkan istana selepas berada di sana selama kira-kira 20 minit.

Beliau diiringi Anggota Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil.

Kenderaannya tidak berhenti di pintu, di mana wartawan berkumpul, tetapi menurunkan sedikit tingkapnya untuk melambaikan tangan.

Bagaimanapun ketika wartawan cuba bertanya soalan kepadanya, pengawal Anwar cuba menjarakkan mereka daripada kenderaan tersebut.

Tolak-menolak tercetus dengan ada wartawan terjatuh, menyebabkan beberapa wartawan bersemuka dengan pengawal tersebut.


Umno kembali cadangkan pilihan raya umum tergempar

1.30 tengah hari: Setiausaha Agung Umno Annuar Musa kembali mencadangkan agar pilihan raya dibuat bagi menyelesaikan kebuntuan politik pada masa ini.

"Buat PRU (pilihan raya umum) sekarang dan kita lihat di mana kita," katanya di Twitter, membalas ciapan seorang individu yang berkata Umno sudah ditolak rakyat.

"Cukuplah perebutan ini. Siapa pun dapat, percayalah ia amat sementara. Mandat harus segera kembali kepada rakyat," katanya dalam ciapan sebelumnya.

Kenyataan Annuar itu beberapa jam selepas wakil Bersatu, Umno, PAS dan GPS mengadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, Kuala Lumpur pagi tadi.

Kumpulan itu merancang untuk memaklumkan kepada Istana bahawa mereka mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan baru.

Umno dan PAS sebelum ini telah menggesa agar pilihan raya diadakan, namun menukar pendirian semalam dengan mengisytiharkan sokongan kepada Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri.


Polis siasat akaun Facebook

1.30 tengah hari: Polis menyiasat seorang pengguna Facebok yang membuat hantaran berkenaan kemelut politik yang sedang berlaku.

Antaranya hantaran yang mendakwa Yang di-Pertuan Agong mengarahkan Dr Mahathir Mohamad agar meletakkan jawatan dan memberi laluan kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Menurut Jabatan Siasatan Jenayah PDRM, Huzir Mohamed, hantaran tersebut disiasat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam atau kepada mana-mana golongan awam.


Setiausaha agung sahkan Dr M masih pengerusi Bersatu

1 tengah hari: Setiausaha Agung Bersatu, Marzuki Yahya mengesahkan Dr Mahathir Mohamad masih merupakan pengerusi parti itu.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin cuba untuk merebut kawalan parti dengan mengisytiharkan dirinya sebagai pemangku pengerusi Bersatu.

"Maka selari dengan prinsip the rule of law dan perlembagaan parti, satu-satunya individu yang mempunyai kuasa mutlak memimpin parti adalah Pengerusi Bersatu, YAB Tun Dr Mahathir bin Mohamad.

"Oleh yang demikian, segala tindak tanduk dan arah parti adalah tertakluk kepada keputusan YAB Tun sebagai pengerusi Bersatu," jelasnya.


Muhyiddin isytihar dirinya pemangku pengerusi Bersatu

12.35 tengah hari: Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin mengisytiharkan dirinya sebagai pemangku pengerusi Bersatu dalam usahanya untuk mengambil alih dan mengawal parti itu.

Meskipun Bersatu merayu Mahathir menarik balik surat peletakan jawatan  dan mengumumkan secara rasmi perdana menteri sementara itu sebagai pengerusi Bersatu pada 27 Feb, Muhyiddin dalam kenyataan terbarunya mendakwa kerusi itu kosong, menjadikan beliau kini memangku jawatan berkenaan.

Menurut perlembagaan Bersatu, kedudukan pengerusi adalah kuasa tertinggi dalam parti.

Langkah Muhyiddin itu diambil selepas Mahathir mengumumkan dirinya mempunyai majoriti apabila Pakatan Harapan (PH) kembali mengisytiharkan sokongan kepadanya untuk menjadi perdana menteri.


PH serah dokumen seperti surat pada pihak istana

12.00 tengah hari - Istana Negara: Kenderaan dinaiki Mat Sabu dan Lim Guan Eng dipandu keluar dari pekarangan Istana Negara Kuala Lumpur sebentar tadi.

Mat Sabu yang dilaporkan keluar dari Istana Negara jam 11.30 pagi tadi dilihat masuk kembali bersama pemimpin lain, antaranya Mujahid Yusof Rawa, Dr Dzulkefly Ahmad dan Lim Guan Eng jam 11.50 pagi tadi.

Sebelum itu, dalam lingkungan jam 11.45 minit, kereta mereka dilihat diparkir di tepi jalan yang menuju ke Istana Negara. 

Dr Dzulkefly kemudian dilihat menandatangani dokumen yang kelihatan seperti sepucuk surat.

Ditanya mengenainya, beliau hanya menjawab “sudah serah” namun enggan mendedahkan intipati surat berkenaan. 


Anwar beri laluan pada Dr M bentuk kerajaan baru

12 tengah hari:  Presiden PKR Anwar Ibrahim dijangka tidak akan menyertai kerajaan baru yang mungkin dibentuk perdana menteri interim Tun Dr Mahathir Mohamad walaupun memberikan sokongan kepadanya sebagai perdana menteri.

"Orang dalam mengakui bahawa Presiden PKR Anwar Ibrahim menawarkan diri untuk tidak menyertai kabinet dan memberi laluan kepada Mahathir sebagai perdana menteri, untuk memastikan kelangsungan Harapan 2.0," kata Anggota Parlimen Subang PKR, Wong Chen.

Focus Malaysia melaporkan Anwar bersetuju untuk menangguhkan hasratnya sehingga Persidangan Ekonomi Asia Pasifik (Apec) pada November, yang merupakan rancangan asal bagi peralihan kuasa.

Memetik sumber, ia berkata pemimpin PKR yang diketuai Anggota Parlimen Gombak, Azmin Ali dan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, yang merancang rampasan kuasa baru-baru ini, tidak akan diterima dalam kerajaan baru.

Ia menambah GPS dan Warisan juga mungkin akan menjadi sebahagian daripada kerajaan baru berkenaan.


11.30 pagi- Istana Negara: Presiden Amanah Mohamad Sabu yang dipercayai tiba di Istana Negara, Kuala Lumpur pukul 11.00 pagi tadi dilihat keluar menerusi pintu masuk 2.

Ditanya pemberita berkenaan pertemuan bersama Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu enggan mengulas lanjut.

Malah, beliau - dengan wajah sedikit serius- cuma mengucapkan terima kasih.

“Terima kasih, terima kasih,” katanya ringkas. 


Peguam cadang undi tak percaya terhadap Dr M

11 pagi: Peguam New Sin Yew mencadangkan krisis politik sekarang diselesaikan melalui undi tidak percaya terhadap perdana menteri sementara Dr Mahathir Mohamad di Dewan Rakyat.

Ini kerana undi sedemikian adalah cara yang lebih terjamin untuk merekodkan sokongan anggota parlimen terhadap calon perdana menteri pilihan mereka.

Beliau berkata Yang Di-Pertuan Agong harus menolak semua bukti luaran seperti Akuan Berkanun, temubual dan kumpulan yang mengadap dalam menentukan sama ada seorang calon perdana menteri mempunyai majoriti kerana bukti itu tidak boleh dipercayai.

"Agong harus bersungguh-sungguh menguji keyakinan di Dewan Rakyat dengan cara undi tidak percaya di mana anggota parlimen tidak boleh tarik balik atau berubah," tulisnya di halaman Facebook.

Ini selepas Mahathir dan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin masing-masing mendakwa mempunyai cukup sokongan anggota parlimen di belakang mereka.


10.50 pagi: Istana Negara - Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin meninggalkan Istana Negara selepas hampir 40 minit mengadap Yang di-Pertuan Agong.

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, yang mengiringi beliau berkata "Kami akan kembali esok".

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dan pemimpin GPS, Fadillah Yusof juga dilihat meninggalkan pekarangan istana.

Awal pagi ini, para pemimpin berkenaan berkumpul di kediaman Muhyiddin. Turut hadir ialah Anggota Parlimen Keningau dari Star, Jeffrey Kittingan dan Anggota Parlimen Pensiangan dari PBS, Arthur Joseph Kurup.

 

Kumpulan itu merancang untuk memaklumkan istana bahawa mereka mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan baru.

Bagaimanapun Pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad, kini mengatakan beliau mempunyai majoriti.

Ini selepas Pakatan Harapan menyatakan kembali sokongan kepada Mahathir.


PM baru dicadangkan dari Malaysia Timur

10.45 pagi: Sekumpulan pemimpin masyarakat sivil mencadangkan pemimpin dari Malaysia Timur diberi peluang untuk mengetuai kerajaan baru.

Mereka berkata ini kerana pemimpin politik dari Semenanjung berterusan bertelagah demi kepentingan mereka sendiri.

"Sudah sampai masanya kita rakyat Malaysia memberi peluang kepada pemimpin di Malaysia Timur yang telah menunjukkan toleransi agama dan kaum sejak pembentukan Malaysia, dan yang telah menunjukkan contoh perpaduan dalam kepelbagaian untuk memimpin negara keluar dari kebuntuan semasa.

"Jika Malaysia mahu kerajaan perpaduan, mari kita mulakan dari Malaysia Timur. Apabila kita menandatangani perjanjian Malaysia, kami berharap untuk masyarakat yang adil dan saksama dan pemimpin yang prihatin yang meletakkan negara berbanding diri sendiri.

"Ia kini mengesahkan bahawa pemimpin parti semenanjung hanya berfikir tentang diri mereka.

"Sudah sampai masanya pemimpin Malaysia Timur diberi peluang untuk menerajui negara sebagai perdana menteri," kata mereka.

Antara yang menandatangani kenyataan itu termasuk Lim Teck Ghee, Tajuddin Rasdi, Peter John Jaban dan Faridah Mohd Fuad Stephens. 


DAP sedia berbincang dengan GPS

10.15 pagi: DAP Sarawak bersedia berbincang dengan GPS berhubung pilihan raya negeri yang akan datang, atas nama kepentingan negara.

"Atas nama kepentingan negara, apa pun boleh," kata ketua DAP Sarawak Chong Chien Jen kepada Malaysiakini.

Ditanya sama ada mereka bersedia bekerjasama dengan GPS, beliau menjawab mereka terbuka untuk bekerja dengan pihak lain selain daripada Umno dan PAS.

Chong berkata negara ini berada di persimpangan jalan sekarang dan GPS harus memilih antara bekerja dengan "perkauman" dan "pelampau agama" dalam Umno dan PAS, atau dengan Pakatan Harapan.


Muhyiddin dan kumpulannya mula tiba di Istana Negara

10:10: Istana Negara - Pemimpin politik mula tiba di Istana Negara untuk mengadap Yang di-Pertuan  Agong.

Antara mereka ialah Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan bekas timbalan presiden PKR, Azmin Ali, Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa, Presiden PAS Abdul Hadi Awang, dan pemimpin GPS, Fadilah Yusoff.


Dr M umum ada majoriti lepas disokong PH

9.30 pagi: Perdana Menteri Interim, Dr Mahathir Mohamad mengumumkan bahawa beliau kini mempunyai angka mencukupi untuk membentuk kerajaan baru.

Ini selepas beliau bertemu dengan pemimpin Pakatan Harapan pagi ini.

"Saya yakin bahawa saya mempunyai bilangan yang diperlukan untuk mendapatkan sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

"Oleh itu, saya bersedia untuk menjadi calon perdana menteri," katanya.

Pakatan Harapan, dalam kenyataan yang berasingan, mengesahkan bahawa gabungan itu akan menyokong Mahathir.


Syed Saddiq nafi sokong Muhyiddin jadi PM

9.12 pagi: Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menafikan pernah menandatangani apa-apa sokongan terhadap presiden parti, Muhyiddin Yassin untuk menjadi perdana menteri.

“Saya tak pernah tandatangan,” katanya apabila ditanya tentang sokongan Bersatu terhadap Muhyiddin sebagai calon perdana menteri kelapan.

Ini ekoran kenyataan Setiausaha Agung Bersatu semalam, Marzuki Yahya yang menyatakan Mesyuarat Ahli-ahli Dewan Rakyat Bersatu (termasuk sekumpulan blok Azmin dari PKR) memutuskan untuk mencalonkan Muhyiddin.

Katanya, “mesyuarat itu dihadiri oleh seramai 36 ahli Dewan Rakyat Bersatu”. 


MP luah perasaan melalui puisi

8.30 pagi: Bekas timbalan menteri Belia dan Sukan, Steven Sim menghantar puisinya kepada Malaysiakini untuk mengingatkan tentang perpaduan dan kepelbagaian kaum di negara ini. Demikian puisi itu berbunyi:

Watan ini ada warisan,

Dari azali tersohor namanya,

Angin yang merentas lautan,

Membawa siasah dan budaya.

Dari kerajaan purba Tanah Merah,

Sang pelayar Buddhagupta

Menjelajah dunia Nusantara,

Dibawa angin yang sama.

Dari Gunung Valavati sana,

Dinaung Raja Dewa Cudamani,

Dharmakirti mengarang kitabnya,

Mencerah minda menyuluh rohani.

Dari Rom, angin membahtera,

Merong Mahawangsa dilanggar Garuda,

Lalu mendiri tahkta Langkasuka,

Kerajaan adil kebaikan bertambah-tambah.

Angin yang sama membawa,

Dari benua jauh Sang Pencerah,

Agama Dewata Mulia Raya,

Memahat syariah mentadbir ummah.

Dari Seguntang Mahameru,

Termaktub bai'ah pusaka,

Menjunjung daulat ke anak cucu,

Zuriat Yamtuan Tiga Dunia.

Watan ini hebat

Bukan sebab kudrat semata,

Hebat kita kerana muafakat

Kerana angin takdir mengikat kita.

Bagai ditempa kursani dan baja

Dibakar bahang api bara

Disepuh air tiga kuala

Menjadi keris Laksamana.

Ku sambut tangan-mu sahabatku,

Oleh takdir dikimpal kita,

Oleh angin ketemu kita,

Sejak bahari kita bersama,

Dalam Bahasa, Budaya, Cara dan Warna

Sebenarnya, kita berjumpa.

Menurut Steven, puisi itu ditulis untuk mengingatkan rakyat Rakyat Malaysia asal usul, sejarah yang panjang dan silaturahim yang bagaikan "besi pelbagai ditempa menjadi keris sakti".

"Kita kuat bukan sebab kebolehan sesorang atau sesuatu kaum tapi kerana perpaduan pemimpin dan rakyat pelbagai kaum negara ini," katanya.


Agong panggil pemimpin parti politik

8 pagi: Istana Negara - Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijangka memanggil semua pemimpin parti politik ke Istana Negara pada jam 10.30 pagi.

Agong pada Selasa dan Rabu lalu mewawancarai semua anggota parlimen bagi mengetahui calon perdana menteri pilihan mereka, namun mendapati tiada mana-mana pihak memiliki majoriti yang jelas.

Anggota Parlimen BN dan PAS memaklumkan kepada Yang Di-Pertuan Agong bahawa mereka mahukan Dewan Rakyat dibubarkan manakala pemimpin Pakatan Harapan memutuskan untuk mencalonkan Anggota Parlimen Port Dickson, Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri selepas bekas pemimpin mereka, Dr Mahathir Mohamad enggan memulihkan kerajaan PH.

GPS, Warisan dan Bersatu dipercayai menamakan Mahathir, yang merupakan pengerusi Bersatu, sebagai perdana menteri.

Bagaimanapun, pendirian parti-parti politik ini berubah lagi dalam masa beberapa hari.

Sehingga malam tadi, BN, PAS dan Bersatu kini menyokong Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri. Pendirian PH tetap tidak berubah buat masa sekarang dan siapa yang akan disokong GPS dan Warisan masih samar.

Peralihan sokongan kepada Muhyiddin adalah kerana Mahathir berkeras untuk tidak akan bekerjasama dengan Umno.

Ini bermakna Muhyiddin mendapat sokongan daripada 96 anggota Parlimen sementara Presiden PKR Anwar Ibrahim memperoleh 93 sokongan.

Tidak jelas sama ada Agong boleh menentukan siapa yang paling mendapat sokongan dengan menemui ketua-ketua parti hari ini kerana tidak semua anggota parlimen menyokong keputusan parti masing-masing.

Sebagai contoh, sokongan anggota parlimen Bersatu kelihatan terpecah dua antara Muhyiddin dan Mahathir.

Anwar menyatakan bahawa beliau berharap anggota parlimen menyebelahi PH, dengan mendakwa gabungan itu mempunyai bilangan mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Ini merupakan usaha berterusan untuk membuktikan sokongan majoriti bagi menentukan perdana menteri selepas beberapa siri temuduga dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong terhadap anggota parlimen.