Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

2.5 juta dos vaksin polio untuk kanak-kanak di Sabah

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menerima 2.5 juta dos vaksin dari Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) bagi menangani wabak polio di Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Noor Hisham Abdullah berkata, waksin monovalent oral polio vaccine type 2 (mOPV2) akan diberikan kepada lebih sejuta kanak-kanak berusia bawah 13 tahun di negeri itu.

“Sebelum ini, kempen imunisasi bivalent Oral Polio Vaccine (bOPV) telah diberikan kepada kanak-kanak di seluruh negeri Sabah sejak 27 Disember 2019.

“mOPV2 adalah vaksin tambahan yang perlu sebagai usaha untuk memberikan perlindungan yang lengkap dalam mengawal wabak ini,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan di laman web rasmi KKM.

Menurut Hisham, kedua-dua vaksin itu akan memberi perlindungan dan menghalang penularan wabak polio kepada kanak-kanak lain.

“KKM juga ingin memberikan jaminan bahawa kedua-dua vaksin ini adalah selamat dan untuk kesan yang optima, ia perlu diberikan beberapa kali kepada kanak-kanak,” katanya lagi.

Sebelum ini, Kempen Imunisasi Polio Sabah yang dilancarkan Disember lalu telah memberi vaksin kepada 109,232 kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah di negeri itu.

Ia selepas seorang bayi lelaki berusia tiga bulan di Tuaran, Sabah disahkan dijangkitinya, selepas 27 tahun negara bebas daripada penyakit itu.

Dalam kenyataan hari ini, Noor Hisham memaklumkan setakat ini kes yang disahkan polio di Sabah kekal tiga.

"Seorang kanak-anak tiga tahun yang sihat tiada bergejala di Semporna turut dikesan positif virus polio....Manakala lima sampel persekitaran air kumbahan di Kota Kinabalu dan Semporna dikesan positif virus polio," katanya.

Sementara itu, Hisham mengatakan kempen imunisasi itu akan berjaya jika 95 peratus kanak-kanak di bawah 13 tahun diberikan kedua-dua vaksin.

Beliau turut berkata KKM akan terus bekerjsama dengan WHO dan Unicef sehingga wabak itu berjaya dibanteras.