Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Menanti munculnya 'khalifah' Mahathir

ULASAN | Pada Isnin, 24 Feb 2020, secara tiba-tiba Malaysia kehilangan perdana menteri apabila Dr Mahathir Mohamad melepaskan jawatannya. Beliau ketika itu ialah perdana menteri ketujuh Malaysia.

Namun pada hari yang sama, Malaysia beroleh perdana menteri sementara (interim), dan orang itu ialah Mahathir sendiri, Kira-kira Mahathir meletak jawatan dan kemudian Mahathir menggantikan Mahathir.

Beliau juga bertemu wakil semua parti politik berkaitan dipercayai untuk melontarkan idea kerajaan perpaduan. Kerajaan yang dipimpin oleh Mahathir, dianggotai individu-individu pelbagai parti politik dan NGO.

Tidak lama kemudian, muncul ciapan lucu apabila ada orang mendakwa perdana menteri bagi sebuah kerajaan perpaduan hampir sama dengan seorang khalifah pada era khilafah Islam dahulu kala.

Tidak sedikit yang menentang kerajaan perpaduan kerana ia sebuah tubuh yang tiada mekanisme semak dan imbang, selain akan dikuasai sepenuhnya oleh seorang individu bergelar perdana menteri.

Justeru, di sinilah relevannya persoalan: Siapakah ‘khalifah’ Mahathir?

Bagi memahami maksud terma khalifah yang juga ada disebut oleh Allah dalam firman-Nya, elok kita merujuk perbahasan ilmuwan Islam yang mahir dengan seni ilmu tafsir al-Quran.

Empat definisi khalifah

Prof Dr Abdulmalik Abdulkarim Amrullah - atau Hamka - pernah mengupas secara rinci maksud perkataan khalifah dalam Tafsir al-Azhar beliau.

Menurut Hamka, khalifah didefinisikan oleh ilmuwan Islam dengan empat maksud berbeza. Pertama, pengganti kepada pemimpin sebelumnya, iaitu apabila Abu Bakar as-Siddiq dinamakan pengganti Rasulullah SAW.

Kedua, khalifah dengan maksud menjadi alat dan hamba kepada Allah bagi memerintah di bumi mengikut kehendak agama. Pemerintah itu melakukan kebaikan, memakmurkan bumi dan mengurus penduduknya.

Allahyarham Hamka

Ketiga, khalifah yang digunakan dalam beberapa ayat al-Quran pula bermaksud generasi manusia yang menggantikan generasi terdahulu. Kita adalah khalifah kepada generasi Melayu terdahulu yang menguasai Tanah Melayu yang tercinta ini.

Keempat, seluruh manusia di muka bumi ini dinamakan khalifah. Allah berfirman pada ayat ke-62 dalam surah an-Naml yang bermaksud: “Atau siapakah yang memperkenankan permohonan orang-orang yang ditimpa susah apabila menyeru kepada-Nya (Allah)? Dan yang menghilangkan kesusahan? Dan yang menjadikan kamu khalifah-khalifah di bumi? Adakah Tuhan lain beserta Allah? Sedikit kamu yang mengingatinya.”

Berbalik kepada soalan saya tadi, siapakah khalifah Mahathir bermaksud siapakah pengganti Mahathir? Itulah yang dipilih oleh Hamka tatkala membuat kesimpulan berdasarkan gelaran kepada Sayidina Abu Bakar sebagai pengganti kepada Muhammad SAW.

Siapakah pengganti Mahathir selepas ini? Ia adalah jawaban yang belum ada siapapun mengetahuinya setakat ini. Namun apa yang pasti, Mahathir sebagai perdana menteri interim telah mengganti Mahathir sebagai perdana menteri ketujuh.

Siapakah yang bakal menggantikan perdana menteri interim itu untuk menduduki kedudukan kelapan? Adakah masih lagi Mahathir?

Sukar ditandingi rekodnya

Saya teringat juga kepada tulisan Hamka tentang wujudnya teori Adam sebelum Adam pada tulisan Al-Alusi.

Ia berkisar kepada pandangan sesetengah ilmuwan Syiah bahawa telah wujud 30 Adam sebelum Nabi Adam AS. Cerita dongeng orang Parsi pula mengisahkan kewujudan makhluk bernama Hinn dan Binn di bumi. Mereka melakukan kerosakan sehingga terhapus semuanya.

Kemudian Allah wujudkan makhluk Jin di muka bumi ini sebelum turunnya Nabi Adam. Kesemua ini bagi sinonim dengan sifat kekhalifahan Adam iaitu pengganti kepada makhluk-makhluk lain sebelumnya.

Hari ini - di bumi tercinta ini - apakah Mahathir mahu lagi kekal sebagai perdana menteri bagi menggantikan perdana menteri interim? Jika itu berlaku, kita ada empat Mahathir yang pernah memerintah bumi Malaysia ini.

Ia sudah tentu suatu rekod yang sukar disaingi oleh sesiapa. Namun masih jauh untuk menandingi rekod Adam sebelum Adam.

Jika melihat kepada maksud kedua khalifah, maka soalan saya tadi berbunyi: Siapakah Mahathir sebagai seorang pemimpin negara yang melaksanakan kewajiban pemerintahan dan pengurusan pelbagai sumber di negara ini? Seorang negarawan? Pemimpin agung Malaysia? Sangat bijak dan berstrategi?

Gambar arkib

Rakyat pasti akan mengenang pentadbiran Mahathir dengan segala kebaikan yang dilakukannya dan kelemahan yang ada pada dirinya.

Mahathir - bagi pemerhatian - boleh merancang dengan baik siapakah penggantinya sebagai perdana menteri kelapan dan Mahathir boleh juga dikenang sebagai negarawan jika tindakannya pada semalam, hari ini dan akan datang sentiasa dalam kasih sayang majoriti rakyat dan kerahmatan Ilahi.

Manakala kepada Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu, kami rakyat marhaen mengharapkan keputusan paling bijaksana daripada tuanku demi negara tercinta.

Kenanglah kesusahan yang dirasai rakyat jelata dan ekonomi negara tatkala ada kelompok kecil pemimpin tidak sabar menanti waktu paling wajar bagi menukar kerajaan sedang memerintah.

Pedulilah sama ada mereka yang tidak sabar itu dalam kalangan politikus atau pendukung yang jauh dari medan politik sebenar.

Bumi Malaysia ini tidak boleh dibiarkan rosak seperti rosaknya bumi di tangan Hinn, Binn dan Jin suatu ketika dahulu.

Sebagaimana Allah mewujudkan kepelbagaian makhluk - dan dalam kalangan manusia itu ada pula kepelbagaian bangsa dan agama untuk diurus, bukan dibenci dengan sentimen salah - maka Malaysia ini tidak lari daripada diuruskan dengan landskap yang sama.

Pilihlah khalifah terbaik buat Malaysia, demi agama, bangsa dan negara.


OMAR ELBARITII ialah pemain politik di peringkat bawahan dan pembaca setia Malaysiakini.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.