Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Kemelut isu PM boleh dijawab lepas sidang Majlis Raja-raja

ULASAN | Malaysia mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan.

Justeru, kerajaan pilihan rakyat Malaysia dipilih melalui pilihan raya. Ahli-ahli parlimen yang dipilih oleh rakyat kesemuanya ada 222 orang dan mereka adalah penggubal undang undang di badan legaslatif yang dipanggil Dewan Rakyat.

Inilah yang dipanggil demokrasi berparlimen.

Di mana peranan raja berperlembagaan?

Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan memperuntukan kuasa Yang di-Pertuan Agong memilih perdana menteri dalam kalangan ahli Dewan Rakyat.

Dewan Rakyat - yang merupakan dewan rendah parlimen - tidak mempunyai kuasa memilih perdana menteri. Tidak ada peruntukan undang undang dalam Perlembagaan Persekutuan untuk itu.

Malah dalam Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat atau dipanggil standing order pun tiada aturan atau order untuk agenda memilih perdana menteri.

Jadi apa penyelesaian dari segi undang-undang setakat perkembangan krisis pemilihan seorang perdana menteri yang berlaku sekarang ini?

Jawabannya: Ada. Petang hari Jumaat ini, 28 Feb 2020, Majlis Raja-raja Malaysia akan bersidang bersama Yang di-Pertuan Agong. Semua pihak kena bersabar.

Memang benar Majlis Raja-raja tidak ada kuasa dan hak memilih perdana menteri kerana kuasa dan hak itu ada pada Agong, tetapi baginda ada kuasa budi bicaranya untuk mendengar padangan raja-raja dan sultan lain dalam isu pemilihan perdana menteri.


Baca Liputan secara langsung isu PM


Pada akhirnya Agong sendiri yang membuat keputusan. Antara lain kemungkinannya ialah seperti berikut:

1. Memilih seorang perdana menteri bagi sebuah kerajaan minoriti.

Perdana menteri kerajaan minoriti itu dipilih daripada kalangan calon perdana menteri yang paling banyak menerima sokongan dalam proses temuduga Agong dengan 220 ahli parlimen pada 25 dan 26hb Feb lalu.

2. Perdana menteri kerajaan minoriti itu diberi masa yang munasabah untuk mendapatkan sekurang-kurangnya majoriti mudah (112 orang ahli parlimen) yang menyokongnya.

3. Kerajaan minoriti yang akan dibentuk itu akan diuji di parlimen dengan usul undi percaya atau undi tidak percaya. Di situlah parlimen berperanan, iaitu melakukan semakan atau ujian sama ada perdana menteri terbabit mendapat sokongan majoriti atau tidak. Bukan menjadi tugas parlimen untuk mengambil alih kuasa Agong untuk memilih perdana menteri.

Apa akan jadi jika perdana menteri kerajaan minoriti itu gagal mendapat sokongan majoriti mudah, iaitu sekurang-kurangnya 112 ahli parlimen?

Perdana Menteri kerajaan minoriti hendaklah mengadap Agong untuk menasihatkan baginda membubarkan parlimen Malaysia bagi mengadakan pihan raya umum dalam masa 60 hari dari tarikh ia berkuat kuasa.


HASSAN KARIM ialah seorang peguam dan ahli parlimen PKR mewakili Pasir Gudang.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.