Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Kerajaan datang dan pergi, perkhidmatan awam kekal

ULASAN | Tugas merancang pembangunan ekonomi khususnya bagi sesebuah negara - terutamanya yang baru merdeka - biasanya dipertanggungjawab ke atas jentera perkhidmatan awam.

Intipati sejarah Tanah Melayu bertunjangkan kepada hubungan bersifat kesalingan antara institusi raja/kesultanan dengan rakyat. Ini termasuklah kepentingan institusi kepenghuluan dan pembesar-pembesar daerah sebagai institusi yang membawa misi perkhidmatan daripada raja atau sultan kepada rakyat secara keseluruhan.

Ini merupakan peranan strategik perkhidmatan awam, hingga ke hari ini. Menyusuri sejarah Malaysia, daripada sebuah jentera yang khusus menangani soal-soal kutipan cukai dan pengurusan kemudahan asas, perkhidmatan awam kemudiannya ditransformasi menjadi mekanisme pentadbiran yang penting terutamanya dalam menyokong kelancaran dasar pentadbiran negara.

Dengan tumpuan utama yang diberikan terhadap keberkesanan pelaksanaan dasar awam serta rancangan pembangunan negara itu, struktur jentera perkhidmatan awam yang menggerakkan pentadbiran negara ini pada zaman pentadbiran Inggeris dahulu dibentuk pada peringkat awalnya berdasarkan dua komponen iaitu Perkhidmatan Tadbir Melayu (Malay Administrative Services) dan Perkhidmatan Awam Tanah Melayu (Malayan Civil Services).

Perkhidmatan Tadbir Melayu menempatkan pegawai tadbir yang terdiri daripada anak tempatan yang berlatarbelakangkan pendidikan, sosialisasi dan latihan pendidikan berfahaman dan beraliran Inggeris.

Secara khusus, jentera pentadbiran ini menumpukan kepada pembekalan modal manusia yang terdiri daripada anak-anak tempatan – khususnya golongan aristokrat - Melayu untuk membantu kerja pentadbiran utama yang dilaksanakan secara menyeluruh oleh pegawai Inggeris yang berada dalam skim perkhidmatan dan pentadbiran yang berasingan, iaitu Perkhidmatan Awam Tanah Melayu (MCS).

Sebagai satu strategi untuk menjaga dan mengambil hati golongan Melayu ketika itu khususnya dalam kalangan raja-raja Melayu, British menubuhkan Perkhidmatan Tadbir Melayu (MAS) yang menyediakan ruang kepada anak tempatan untuk berkhidmat dalam pentadbiran kolonial. Satu daripada alasan langkah ini diambil oleh pihak British adalah berasaskan kepercayaan bahawa Inggeris meragui kebolehan dan keupayaan orang Melayu dalam mengendalikan soal perkhidmatan dan pentadbiran yang kompleks.

Senario yang berbeza ditunjukkan oleh Perkhidmatan Awam Tanah Melayu (MCS). Secara umum, perkhidmatan ini diisi oleh pegawai British dan lebih mengkhusus kepada tugas pentadbiran yang lebih penting dan strategik. Hal ini termasuklah umpamanya berkaitan soal penggubalan dasar utama dalam pentadbiran kerajaan.

Perkhidmatan awam negara ini sentiasa bersekutu dengan rakyat dan ahli politik. Secara sedar, mereka bersama-sama bertanggungjawab dalam membantu membangunkan negara.

Secara tersirat, paduan antara perkhidmatan awam dan kepemimpinan politik telah dibuktikan berkesan memperbaiki kualiti hidup rakyat. Atas pertimbangan itulah dapat lihat dengan jelas bagaimana perkhidmatan awam – yang diperkukuh dengan etos, kepercayaan dan sentimen mengutamakan kesejahteraan tempatan (bangsa, agama, tanah air) berupaya mengharungi arus perubahan sosiopolitik dengan cermat dan berterusan.

Di satu sisi, ahli-ahli politik dimandatkan dengan tanggungjawab membantu rakyat yang daif di luar manakala pada suatu sisi lain, perkhidmatan awam merangka dan melaksanakan impian dan tujuan negara ini membangunkan kehidupan rakyat secara holistik sejak mencapai kemerdekaan secara berterusan.

Pilihan raya dilaksanakan berulang-kali; kerajaan datang dan pergi bersilih ganti; namun perkhidmatan awam kekal setia dalam neutraliti meneruskan khidmat menjaga kesejahteraan negara secara menyeluruh di bawah payung institusi raja.


DR NASRUDIN MOHAMMED ialah rektor Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Rembau dan pakar dalam bidang pentadbiran awam.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.