Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Dr M tak wajar dahului titah Agong - PH

LANGSUNG | Kemelut penjajaran semula kuasa politik negara memasuki hari kelima. Ia bermula dengan cubaan mengalih kuasa yang gagal pada Ahad lalu.

Semalam perdana menteri interim, Dr Mahathir Mohamad, membayangkan apa akan berlaku dalam tempoh sehari dua ini, iaitu membentuk kerajaan yang melangkaui sempadan parti.

LANGSUNG

12.12 tengah malam: Ketua Pemuda Amanah, Shazni Munir Mohd Ithnin menyeru Bersatu agar kembali semula kepada Pakatan Harapan (PH).

Katanya, langkah Bersatu bekerjasama dengan PH di Kedah dan Perak, namun pada masa sama bekerjasama dengan Umno dan PAS di Johor bukan pendirian terhormat bagi sebuah parti yang dipimpin negarawan tersohor.

"Sikap politik ini amat bertentangan dengan semangat penubuhan Bersatu yang muncul di tengah-tengah kancah kleptokrasi rejim Barisan Nasional.

"Setelah bergulat panjang melawan penyamun dan penyangak negara, masakan hari ini Bersatu boleh tiada sebarang masalah bekerjasama dengan gerombolan dengan kes berprofil tinggi yang sedang dibicarakan di mahkamah?

"Pemuda Amanah suka untuk menyeru agar Bersatu secara keseluruhannya kembali bersetiakawan dalam saf Harapan," katanya.


10:55 malam: Eastin Hotel, Petaling Jaya - Perdana Menteri Interim, Dr Mahathir Mohamad tidak wajar mendahului titah Yang di-Pertuan Agong dengan mengumumkan sidang khas Dewan Rakyat, kata Majlis Presiden Harapan Pakatan (PH).

Dalam satu kenyataan susulan mesyuarat tergempar malam, PH berkata hak dan kuasa melantik seseorang perdana menteri terletak di tangan Seri Paduka Baginda, seperti yang termaktub di bawah Perkara 40(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

"Malah pengumuman Perdana Menteri interim (sementara) memanggil sidang parlimen untuk memilih Perdana Menteri adalah mencabar hak dan kuasa Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong.

"Umum sedia maklum bahawa Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dijadualkan bertemu dengan Raja-Raja Melayu untuk membincang perkara ini."

"Majlis Presiden menggesa semua pihak untuk menghormati budi bicara dan wewenang Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dalam hal ini," katanya.

Sementara itu ketika ditemui di luar mesyuarat, Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil memberitahu pemberita bahawa mesyuarat itu tidak membincangkan cadangan Mahathir untuk menubuhkan kerajaan perpaduan.

Beliau menambah anggota parlimen masih belum menerima sebarang notis sidang khas parlimen pada 2 Mac seperti diumumkan Dr Mahathir.


9 malam: Dalam sidang media di Johor malam ini, PH negeri itu berkata "gabungan baru" yang merangkumi Bersatu, Umno, MCA, MIC dan PAS gagal mendapat majoriti.

"PH Johor ingin menegaskan bahawa kami ada sokongan 28 adun - sembilan dari Amanah, 14 dari DAP dan lima dari PKR. Dan semua hadir malam ini.

"Jadi gabungan baru itu tiada majoriti untuk tubuh kerajaan negeri," kata Pengerusi Amanah Johor Aminolhuda Hassan.

Semua wakil rakyat PH, termasuk Adun Pemanis Chong Fat Full dari PKR, dilihat mengangkat kertas yang memaparkan kod kerusi dun mereka.

Terdahulu, Chong dilaporkan menyokong gabungan baru itu, walaupun hari ini mengisytiharkan sokongannya terhadap PH.

Hari ini, Istana Johor dan Menteri Besar Dr Sahruddin Jamal mengisytiharkan gabungan baru itu mempunyai majoriti di DUN.

Daripada jumlah 56 kerusi, gabungan baru itu kini memegang 27 kerusi manakala PH 28 kerusi.

Satu-satunya adun yang belum mengisytiharkan sokongannya ialah Mazlan Bujang (Bersatu-Puteri Wangsa). Menurut laman Johorkini, beliau berkata mengambil sikap berkecuali buat masa ini dan sedang menunggu arahan dari pimpinan pusat.

PH Johor berkata mereka akan mengadakan sidang media kedua dalam masa sejam.


7.45 malam: Anggota Parlimen Padang Rengas dari Umno, Nazri Abdul Aziz sudah kembali ke Malaysia dan akan hadir ke Parlimen pada 2 Mac ini, untuk mengundi siapa yang akan menjadi perdana menteri.

Ditanya berkenaan rancangan kerajaan perpaduan oleh Mahathir, Nazri berkata selaku anggota parti beliau akan menolaknya.

"Kerajaan perpaduan bukan pertimbangan, sama ada anda bekerja dengan kami semua atau tidak," katanya kepada Malaysiakini.

Nazri berkata beliau akan menyokong gesaan untuk pilihan raya diadakan.

"Sejak dari awal, saya sudah berkata bahawa presiden Umno pada 2018 berkata pendirian parti adalah kita akan menjadi pembangkang sehingga PRU ke-15, dan kita bekerjasama dengan PAS untuk PRU ke-15," katanya.


7.45 malam: Seorang anggota parlimen PH mempersoal sama ada perdana menteri sementara ada kuasa untuk memanggil sidang khas Dewan Rakyat.

Enggan namanya didedahkan, beliau memberitahu Malaysiakini bahawa Perkara 11(3) Aturan Mesyuarat Dewan Rakyat hanya membenarkan "perdana menteri" untuk berbuat demikian, bukan perdana menteri sementara.

Menurut Perkara 11(3), seorang perdana menteri boleh meminta yang dipertua untuk memanggil sidang demi kepentingan awam.

Sementara itu, Naib Presiden PKR Chang Lih Kang bertanya mengapa Mahathir perlu memanggil sidang itu untuk memilih calon perdana menteri sedangkan Yang di-Pertuan Agong telah membuat perkara sama sepanjang dua hari ini.

"Apa yang peling pelik ialah saya difahamkan Yang di-Pertuan Agong akan membincangkan perkara ini dengan Majlis Raja-raja Melayu esok. Jadi mengapa perlu buat keputusan hari ini?

"Saya tidak boleh fikir sebab lain kecuali keputusan itu mungkin tidak berpihak kepadanya (Mahathir)," katanya.


7.30 malam: Pimpinan tertinggi Umno telah mengarahkan jenter parti itu untuk bersiap sedia bagi menghadapi kemungkinan pilihan raya.

"Adalah wajar bagi kita untuk membuat perisapan ke arah itu walapun kita tidak tahu apakah keputusan nantinya dibuat oleh istana negara," kata Setiausaha Agong Umno Annuar Musa.


6.30 petang: Pengamal media tidak seharusnya mejadi "ejen publisiti murahan", katan Gerakan Media Merdeka (Geramm) yang menggesa organisasi media mengamalkan dasar menolak pemberian.

Ia selepas pelbagai entiti komersial dan swasta yang memberikan pelbagai barangan kepada wartawan yang berkampung di pintu masuk Istana Negara sejak beberapa hari ini.

"Amalan ini diterapkan bagi memastikan kebebasan media tetap terjaga daripada dipengaruhi unsur-unsur komersial.

"Kami percaya amalan serupa turut diterapkan oleh agensi media tempatan, sama ada di peringkat organisasi atau atas kesedaran peribadi masing-masing pengamal media," katanya dalam kenyataan di Facebook.

Geramm turut mengecam seorang personaliti Youtube yang cuba mengagihkan wang RM1 berjumlah RM10,000 kepada wartawan di Istana Negara semalam.

Ia menyifatkan tindakan itu hanyalah percubaan meraih populariti segera dan telah menghina kerjaya kewartawanan.

Tindakan personaliti itu semalam terhenti selepas dihalang polis.


5.50 petang: Perdana Menteri sementara Dr Mahathir Mohamad mengesahkan bahawa beliau mengadakan perbincangan dengan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin tengah hari tadi.

Bercakap dalam sidang media, Mahathir berkata perbincangan termasuklah kemungkinan Muhyiddin menjadi calon perdana menteri dari Bersatu.

"Jika semua orang pilih dia, saya okey," katanya.

Ditanya sama ada ia bermakna parti itu akan menamakan dua calon, termasuk dirinya, Mahathir berkata Bersatu masih belum membuat sebarang keputusan.

Beliau berkata mereka ada pandangan berbeza dalam soal kerjasama dengan Umno.

"Pendirian saya, tentunya, tidak menerima Umno sebagai parti komponen.

"Tetapi Muhyiddin lebih longgar (relaxed), agak sedia untuk menerima mereka en bloc (secara keseluruhan)," katanya lagi.

Beliau juga mengesahkan setuju untuk kembali menjadi pengerusi Bersatu.

Menurutnya, Bersatu memintanya untuk kembali pada tiga hari lalu, tetapi beliau meminta diberi masa untuk memikirkannya.

Ditanya sama ada beliau akan menimbang untuk Bersatu kembali menyertai PH, Mahathir berkata parti itu perlu membincangkannya dahulu.


5.40 petang: Beberapa anggota parlimen dan pemimpin Bersatu dilihat tiba di kediaman Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

Antara yang dilihat ialah Hamzah Zainuddin, Radzi Jidin, Maszlee Malik.

Turut kelihatan ialah bekas anggota parlimen PKR Kamaruddin Jaafar.

Mereka tidak memberi sebarang komen apabila ditanya tujuan kehadiran mereka di situ.

Difahamkan pertemuan itu diadakan selepas Muhyiddin berjumpa Mahathir di Putrajaya.


5.30 petang: Putrajaya - Yang di-Pertuan Agong tidak menemui mana-mana individu yang "memiliki majoriti jelas", kata Dr Mahathir Mohamad.

"Dan kerana tiada yang ada majoriti jelas, (Tuanku) kata ruang yang sesuai adalah Dewan Rakyat.

"Maka Parlimen akan bersidang pada Dua Mac...Siapa yang ada sokongan majoriti di Parlimen akan menjadi perdana menteri.

"Bagaimanapun jika Dewan Rakyat gagal mendapat seorang yang ada majoriti, kita perlu lalui pilihan raya," katanya lagi.


5.18 petang: Pilihan raya umum baru boleh menelan belanja antara RM700 juta hingga RM800 juta, kata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pengerusinya Azhar Azizan Harun memberitahu Malaysiakini kadar itu hanyalah anggaran, jika pilihan raya diadakan susulan krisis politik yang sedang berlaku.

Azhar diminta mejelaskan ciapan bekas pengerusi Bersih S Ambiga yang mendakwa beliau memberitahu bahawa belanja untuk perkara itu mungkin antara "RM750 hingga RM800 juta."


5.08 petang: PAS menegaskan parti itu kekal komited dengan kerjasama Muafakat Nasional dengan Umno, tanpa mengira siapa yang akan menjadi perdana menteri.

Perkara itu dinyatakan Mursyidul Am PAS Hashim Jasin seperti dilaporkan BH Online, hari ini.

Hashim berkata, PAS juga boleh bersetuju dengan cadangan oleh mana-mana pihak politik, selagi ia tidak membabitkan DAP.

"Pada mesyuarat Majlis Syura lalu, kita memutuskan Umno dan PAS perlu menepati perjanjian (kerjasama) dan setakat ini kedua parti tidak melanggar perjanjian, malah teguh dengan perjanjian itu.

"Apa jua cadangan yang dikemukakan antara kedua pihak kita boleh bersetuju, selagi tidak bercanggah dengan syariat serta tanpa perlu membabitkan DAP," katanya seperti dipetik.


5 petang: Putrajaya - Kereta yang membawa Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador dilihat memasuki banguna Perdana Putra, yang menempatkan Pejabat Perdana Menteri.

Abdul Hamid mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir Mohamad selama kira-kira sejam, iaitu pada 3.45 petang hingga 4.57 petang.

Beliau bagaimanapun tidak memberikan sebarang komen berhubung pertemuan itu kepada media yang berkampung di sini.


4.40 petang: Zuraida Kamaruddin mengelak soalan pemberita berkenaan kesanggupannya, serta sejumlah bekas anggota parlimen PKR, untuk bekerjasama dengan Umno.

Ketika dibangkitkan bahawa kumpulan itu dahulu sebahagian daripada PH yang berkata mahu menyelamatkan negara daripada Umno, anggota parlimen Ampang itu berkata: "Saya tak tahu hal itu."

"Saya tak ada jumpa mereka," katanya yang dahulunya naib presiden PKR.

Beliau tidak mengulas lanjut dan terus masuk ke keretanya.

Zuraida ditemui pemberita ketika ingin beredar dari Hotel Sofitel di Kuala Lumpur, hari ini.


4.25 petang: Walau siapa saja yang akan dilantik sebagai perdana menteri, beliau perlu memohon maaf kepada rakyat dan mengembalikan keyakinan awam, kata Bersih.

"Kerajaan dan perdana menteri baru perlu memulakan rekonsiliasi, bukan saja di kalangan parti dan ahli politik, tetapi juga rakyat," kata NGO itu dalam kenyataan.

Bersih juga menggesa perdana menteri sementara untuk meminta Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen dan "kembali kepada rakyat untuk mandat baru kerajaan pilihan mereka", jika tiada calon yang mempunyai majoriti yang jelas.

"Ini bukan waktu yang baik untuk pilihan raya umum selepas mengambil kira kelemahan struktur berkenaan persempadanan tidak sekata (malapportionment) dan manipulasi sempadan pilihan raya (gerrymandering) sejak PRU ke-14, yang bukan saja kekal tetapi bertambah buruk," katanya.


3.55 petang: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, mengenang semula bagaimana partinya, Amanah, menyerahkan kerusi parlimen Titiwangsa kepada Bersatu walaupun sudah bekerja di kawasan itu untuk PRU14.

Menerusi ciapan di Twitter, Khalid berkata, ketika itu Bersatu tidak memiliki jentera untuk menggerakkan parti itu di Titiwangsam sebaliknya yang berusaha ialah Amanah, PKR dan DAP.

Justeru, kata Khalid, wajar Ahli Parlimen Titiwangsa, Rina Harun, kembali bersama PH dan bertindak jujur terhadap pengundi yang memilihnya pada PRU lalu.

"Saya seru YB Rina, sila kembali bersama PH dan bertindak jujur terhadap pengundi dan warga Wilayah Persekutuan. Mandat (dulu) untuk PH," katanya.

Sebelum itu Khalid turut menciap bagaimana Amanah memberi laluan kepada Bersatu di Muar untuk mencalonkan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman walaupun mereka diyakini mempunyai peluang cerah di kawasan tersebut.

Asalnya, kata Khalid, Muar merupakan kubu kuat Umno namun keadaan berubah selepas digempur PH.

"Calon PKR ada, sokongan kuat, tetapi serah kepada Bersatu walaupun ada potensi untuk menang.

"Syed (Saddiq) menang dengan majoriti 6,000! Daripada 22,000 undi Syed Saddiq, hampir 80 peratus (undi) adalah daripada PKR, Amanah, DAP," ciapnya.


3.50 petang: Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, keluar dari bangunan Perdana Putra selepas berada di sana kira-kira 75 minit.

Beliau meninggalkan pekarangan bangunan yang menempatkan Pejabat Perdana Menteri itu pada jam 3.35 petang.

Malaysiakini difahamkan keberadaan Muhyiddin di Perdana Putra adalah atas permintaan Dr Mahathir.


3.30 petang: Di sebalik kedudukan yang agak rapuh di Melaka, Umno kelihatan masih belum mendapat jumlah yang diperlukan bagi menjatuhkan PH.

Pengerusi Umno Melaka, Ab Rauf Yusoh, berkata pihaknya sedang menunggu "sekiranya ada perubahan" dalam pendirian Adun di negeri tersebut.

Pada masa sama beliau juga membayangkan Umno masih berusaha mendapatkan sokongan melalui perakuan bersumpah (SD) dalam kalangan Adun Melaka.

"Kita kena buktikan semua SD berada di tangan kita untuk diserahkan kepada Yang di-Pertua Negeri.

"Kami (sedang) usahakan (tapi) kami tiada jangka masa. Sehingga mana-mana pihak dapat membuktikan kekuatan majoriti, maka pihak itulah akan membentuk kerajaan negeri.

"Umno juga sedang menunggu sekiranya ada perkembangan terbaru untuk menyerahkan SD membuktikan bahawa kami mempunyai jumlah majoriti yang munasabah bagi membentuk kerajaan negeri," katanya.

Beliau juga meminta orang ramai tunggu dan lihat.

"Insya-Allah kami akan buktikan kepada Yang di-Pertua Negeri dalam masa terdekat," katanya.

Pada masa sama Ab Rauf meminta PH membuktikan gabungan itu memiliki sokongan yang mencukupi bagi terus menjadi kerajaan dengan menyerahkan SD kepada Yang di-Pertua Negeri.


3.30 petang: Di Hotel Eastin, Petaling Jaya, Presiden PKR Anwar Ibrahim memberi gambaran pelbagai kemungkinan boleh berlaku mengenai hubungan PH dengan Bersatu.

"Kami berubah dari sehari ke sehari," katanya ketika ditanya mengenai kemungkinan untuk PH akan menerima Bersatu dalam gabungan itu semula.

Sebelum ini Anwar merujuk Bersatu sebagai "bekas rakan" ekoran cubaan mendapatkan kuasa - yang setakat ini gagal - dilakukan pada Ahad lalu.

Di sebalik keadaan itu, Anwar bagaimanapun berkata isu mengadakan perbincangan antara PH dan Dr Mahathir tidak berbangkit.


3.20 petang: Bekas timbalan menteri belia dan sukan, Steven Sim berkata beliau akan menggunakan wang sendiri untuk membayar gaji kakitangannya yang kehilangan kerja ekoran kejatuhan kerajaan PH.

"Bekerja dengan jawatan politik melibatkan risiko kerjaya dan kehidupan yang tak stabil.

"Seorang daripada mereka meletak jawatan sebagai wartawan untuk menyertai saya dua bulan lalu.

"Tarikh 24 Feb adalah hari pertama dia bekerja, dan juga menjadi hari terakhirnya bertugas.

"Saya beritahu dia, saya akan pastikan dia mendapat gaji untuk dua bulan akan datang, menggunakan wang poket saya," katanya.


2.55 petang: Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang, berkata jika kerajaan perpaduan dicadangkan, ia mestilah dibina atas gabungan PH.

Kata ahli parlimen Iskandar Puteri itu, walaupun idea mengenainya menarik dan wajar dipertimbangan semua bangsa di negara ini, masih ada aspek yang perlu diberi perhatian.

"Ada satu perkara yang jelas: Tiada kerajaan perpaduan boleh diwujudkan atas pengkhianatan, penipuan, rasuah, pembelotan mandat rakyat atau mempromosikan perpecahan negara.

"Cara yang ideal untuk menubuhkan kerajaan perpaduan kebangsaan ialah membinanya atas gabungan PH dan meyakinkan semua parti politik dan entiti lain untuk bersama-sama demi kepentingan negara untuk membina Malaysia baru berdasarkan mandat pada PRU14," katanya dalam satu keyataan hari ini.


2.35 petang: Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Arifai Tarawe, menafikan pihaknya sedang mengadakan persiapan untuk menjelang pilihan raya umum.

Kenyataan itu dibuat ekoran tularnya gambar didakwa borang senarai kekuatan sumber manusia di semua bahagian dan balai di Gombak.

Kata Arifai, maklumat pada gambar itu adalah khilaf dan tidak tepat.

"Penugasan yang dimaksudkan adalah untuk menjaga keamanan bukannya PRU.

"Siasatan sedang dibuat terhadap pihak yang bertanggungjawab dan bagi mengenal pasti pihak-pihak yang menyebarkannya," katanya.

Orang ramai dinasihat agar berhenti menyebarkan gambar serta maklumat tersebut kerana siasatan mengenainya sedang dijalankan.


2.25 petang: Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, tiba di pintu masuk Perdana Putra yang menempatkan pejabat perdana menteri.


2.10 petang: Di Pulau Pinang dua Adun Bersatu - Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (Telok Bahang) menyatakan mereka komited menyokong kerajaan negeri yang ditadbir PH.

"Kami tidak keluar Bersatu (hanya) parti kami meninggalkan PH," kata Zolkifly.

Sementara itu Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata kedua-dua Adun terbabit bertemu dengan beliau kira-kira jam 1 petang tadi.

"Semasa pertemuan tersebut Adun terbabit menyatakan komitmen mereka menyokong kerajaan PH," katanya.

Chow berbual bersama Zolkifly (kiri) dan Khaliq Mehtab

Dalam perjumpaan tersebut, kedua-dua ADUN berkaitan terus komited menyatakan sokongan terhadap YAB Ketua Menteri dan Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang.

Chow juga berkata status quo Adun Bertam dan Telok Bahang itu kekal sehingga ada keputusan lanjut dari Putrajaya kelak.

Untuk rekod sejak 2012 Pulau Pinang memiliki undang-undang antilompat parti bagi mengekang tindakan wakil rakyat bertukar parti atau menjadi Adun bebas. 


2 petang: Istana Johor mengumumkan negeri itu kini ditadbir oleh kerajaan baru.

Menurut kenyataan Setiausaha Sulit Sultan Johor, Jaba Mohd Noah, kerajaan baru itu mendapat sokongan "majoriti" daripada Adun negeri terbabit.

Katanya, Menteri Besar, Dr Saharuddin Jamal dari Bersatu dan Pengerusi Umno Johor, Hasni Mohamad, mengadap sultan semalam ekoran penarikan Bersatu dari PH.

Untuk rekod, sebanyak 54 daripada 56 Adun mengadap sultan untuk membolehkan pihak istana mengetahui pendirian mereka sebelum pengumuman berkenaan dibuat. 


2 petang: Majlis Sukan Negara (MSN) berkata, wabak Covid-19 adalah ancaman lebih besar kepada sukan berbanding kemelut politik sekarang.

Ketua Pengarah MSN, Ahmad Shapawi Ismail, berkata krisis kepemimpinan ketika ini tidak mengganggu untuk sukan kerana peruntukan sudah disalurkan untuk pelbagai program.

"Ia termasuk RM22.5 juta untuk program Road To Tokyo," katanya seperti dipetik portal Twentytwo13 mengenai sukan Olimpik tidak lama lagi.

Menurut Ahmad Shapawi, Ketua Setiausaha Negara mengarahkan MSN untuk terus beroperasi seperti biasa di sebalik apa yang berlaku sekarang.

“Nampaknya Covid-19 lebih mengancam kepada kami buat masa ini.

"Pelbagai pertandingan terganggu dan ini menjejaskan persediaan atlet menjelang Olimpik," katanya.


1.50 tengah hari: Dr Mahathir Mohamad dilaporkan bakal kembali menjadi pengerusi Bersatu.

Beliau melepaskan jawatan itu pada Isnin lalu, tidak lama selepas meletakkan jawatan sebagai perdana menteri.

Menurut Bernama, Setiausaha Agung Bersatu Marzuki Yahya mengesahkan perkara itu.

Semalam, Mahathir dalam ucapannya berkata beliau kecewa dengan Bersatu kerana sanggup bekerjasama dengan Umno, dan itu menjadi sebab peletakan jawatannya.


1.20 petang: Pimpinan utama PH mengadakan mesyuarat di sebuah hotel di Petaling Jaya.

Sebelum itu difahamkan wakil rakyat PKR berkumpul lebih awal dan mengadakan mesyuarat dalaman.

Antara yang dilihat tiba di hotel itu ialah Presiden PKR, Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail; Chang Lih Kang (Naib Presiden PKR); Lim Guan Eng (Setiausaha Agung DAP) dan Lim Kit Siang.

Ahli Parlimen Mebok, Nor Azrina Surip antara yang dilihat hadir di hotel di PJ

Anwar yang ditemui media bagaimanapun tidak memberikan sebarang kenyataan sebelum memasuki lif.

"Saya ada mesyuarat," katanya.


1.16 petang: Seorang daripada ahli parlimen PKR yang dinamakan sebagai mengikut Azmin Ali meninggalkan parti itu hari ini mendakwa beliau tidak terlibat dalam langkah tersebut.

Ahli Parlimen Ranau, Jonathan Yasin, berkata beliau masih kekal sebagai ahli parlimen PKR.

Pengumuman itu dibuat hanya tiga hari selepas sekumpulan 11 ahli parlimen PKR mengumumkan keputusan mereka menjadi ahli parlimen bebas.

"Untuk rekod, saya masih dalam PKR. Saya juga menafikan memberi persetujuan meninggalkan PKR.

"Saya akan menjelaskan hal ini kepada jawatankuasa dan biro (parti) petang ini," katanya di Facebook.


1 petang: Sidang DUN Johor - yang dijadual berlangsung pada 5 Mac ini - ditangguhkan ke tarikh baru, kata Adun PH Mengkibol, Tan Hong Pin.

Kata Tan, perkembangan itu dimaklumkan oleh Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat, namun tiada tarikh ditetapkan setakat ini.

Katanya sidang itu akan diadakan apabila kemelut yang melanda sekarang dapat ditangani. 


12.55 tengah hari: Portal berita The Star Online melaporkan Yang di-Pertuan Agong akan mengadakan pertemuan dengan Majlis Raja-raja Melayu sebelum solat Jumaat, esok.

Sebentar tadi Dr Mahathir Mohamad - selaku perdana menteri interim - mengadap Agong di Istana Negara.

Hampir semua ahli parlimen mengadap Agong dalam usaha menyelesaikan kemelut politik yang berlaku sekarang.

Seorang pegawai Istana Negara pula memberitahu, mesyuarat esok belum lagi dapat disahkan.


12.50 tengah hari: Adun Pemanis di Johor, Dr Chong Fat Full, mengumumkan beliau menjadi penyokong PH.

"Saya mengekalkan sokongan kepada PH," katanya dalam satu kenyataan ringkas hari ini.

Sebelum ini Chong sering disebut-sebut sebagai Adun yang akan meninggalkan PKR dan dipercayai menyertai tujuh Adun Bersatu menurunkan tandatangan menyokong pembentukan gabungan kerajaan baru di Johor.

Dengan pengumuman terbaru Chong hari ini, kedudukan kerusi di DUN Johor adalah 28 untuk kerajaan negeri berbanding 26 pembangkang.

Dua Adun lagi - Salahuddin Ayub dari Amanah dan Mazlan Bujang (Bersatu) - tidak menandatangani akuan bersumpah.


12.25 tengah hari: Dr Mahathir Mohamad tiba semula di Perdana Putra dengan kenderaan rasminya.

Media sempat merakam air muka Dr Mahathir yang kelihatan suram. Beliau sebelum itu mengadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.


12.20 tengah hari: Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad, mengaitkan cadangan kerajaan perpaduan dibayangkan Mahathir Mohamad dengan pemerintahan diktator.

Membuat kenyatan di Twitter, ahli parlimen Shah Alam itu berkata, Mahathir meninggalkan PH apabila Bersatu keluar dari gabungan berkenaan.

"Beliau mahukan mandat untuk dirinya atas kapasiti peribadi, tiada ikatan, tiada komitmen kepada sesiapa.

"Kuasa penuh dan mutlak. Bagaimana kita bersetuju untuk suatu kediktatoran?" ciapnya.

Menurut beliau, langkah PH menyokong Anwar Ibrahim adalah tindakan yang betul diambil walaupun mempunyai risiko.


12 tengah hari: Di Alor Setar, Kedah, Mukhriz Mahathir berkata negeri itu kini ditadbir bersama oleh Bersatu dan PH.

Menurut menteri besar itu, bagaimanapun ia bukanlah kerajaan perpaduan seperti yang dibayangkan oleh bapanya merangkap perdana menteri interim, Dr Mahathir Mohamad.

"Semuanya kekal kecuali kami kini dikenali sebagai kerajaan Bersatu-PH," katanya.

Beliau juga memberitahu, pentadbiran kerajaan negeri berjalan seperti biasa.

Kata Mukhriz beliau mengadap pihak istana hari ini dan memaklumkan perkembangan politik semasa, selain menyerahkan 18 surat perakuan daripada semua Adun PH dan Bersatu yang menyokongnya kekal sebagai menteri besar.

"Baginda sultan memperkenankan surat sokongan itu, justeru kerajaan negeri berharap rakyat kekal tenang dan rasional," katanya.

Mukhriz menambah, Kedah tidak terjejas dengan perkembangan yang berlaku di peringkay pusat.

"Fokus kami ialah Kedah dan kami berharap krisis yang berlaku sekarang dapat diselesaikan segera," katanya.

Menemani Mukhriz membuat kenyataan itu ialah Adun dari Amanah, DAP dan PKR.


12 tengah hari: Selepas berada dalam Istana Negara kira-kira sejam, Dr Mahathir Mohamad dihat meninggalkan kawasan itu. Bagaimanapun tidak ada sebarang kenyataan dibuat.

Terdahulu perdana menteri interim itu menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.


11.30 pagi: Annuar Musa menafikan laporan akhbar The Star yang mendakwa Umno serta PAS bersetuju menamakan Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri.

Kata Setiausaha Agung Umno itu, laporan tersebut tidak benar.

"Pendirian kami tetap (iaitu) agar parlimen dibubarkan.

"Sebarang kenyataan rasmi hanya dikeluarkan oleh presiden dan setiausaha agung," ciapnya di Twitter.

Terdahulu The Star memetik Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, yang mendakwa semua ahli parlimen mereka serta Umno menandatangani akuan bersumpah (SD) untuk menyokong Muhyiddin.


10. 57 pagi: Dr Mahathir Mohamad memasuki Pintu 1 Istana Negara.


10.30 pagi: Kenderaan membawa Dr Mahathir bergerak meninggalkan pejabatnya untuk ke Istana Negara.


10.10 pagi: Menurut laporan, Dr Mahathir Mohamad akan mengadap Yang di-Pertuan Agong pada jam 11 pagi ini.

Hal itu disahkan kemudian oleh Pejabat Perdana Menteri kepada Malaysiakini.


10 pagi: Isteri perdana menteri interim, Dr Siti Hasmah Mohd Ali, memasuki pekarangan Jabatan Perdana Menteri.

Kenderaan membawa Siti Hasmah kemudian berhenti sejurus selepas melepas pintu masuk sebelum kelihatan beliau mengedarkan bar coklat kepada wartawan yang menunggu di situ.

"Ambil... mari ambil," katanya katanya sambil menghulurkan bekas coklat tersebut.

Ditanya mengenai kesihatan dirinya, Siti Hasmah - seperti biasa - tersenyum sambil berkata: "Alhamdulillah, sihat,"katanya.

Beliau turut menasihati petugas media yang membuat liputan di situ sejak Isnin supaya menjaga kesihatan masing-masing.

"Jaga diri ya," katanya tersenyum. 


9 pagi: Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Ming, berkata PH berpendapat cadangan Dr Mahathir untuk menubuhkan kerajaan melangkaui batas parti tidak dapat diterima kerana kerajaan sebegitu tidak terikat dengan sebarang manifesto PRU14.

Katanya ia juga bercanggah dengan mandat yang diperoleh daripada rakyat pada 9 Mei 2018.

Menciap di Twitter pagi ini, Ong bagaimanapun berkata PH berterima kasih kepada Mahathir kerana ketegasannya menolak kerjasama dengan Umno dan PAS atas dasar prinsip.

Dengan alasan sama juga, katanya, PH meminta Mahathir membentuk kerajaan baru bersama PH.

Melalui cadangan yang dibawa Mahathir, kata Ong, beliau boleh melantik sesiapa saja termasuk Azmin Ali yang menyebabkan PH tumbang daripada kerajaan baru-baru ini.

"Ini tidak boleh diterima PH dan kebanyakan pengundi," katanya.

Menurut Ong lagi, kegagalan Mahathir menghadiri mesyuarat Majlis Presiden PH juga membuatkan gabungan itu tidak ada pilihan lain kecuali menamakan Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri demi menunjukkan komitmen mereka terus melaksanakan manifesto.


8.55 pagi: Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyambut baik tindakan PH yang tegas dan jelas menamakan calon perdana menteri mereka, dan pada masa yang sama memberikan komitmen untuk meneruskan mandat yang diberikan oleh rakyat pada Mei 2018.

Timbalan Pengerusi PSM, S Arutchelvan, berkata masalah sebenar PH bukanlah pada dasar perjuangan mahupun manifesto sebaliknya tindakan mereka membelakangkan janji tersebut serta terlalu lemah dalam pelaksanaannya.

"PH juga terlalu kerap bergaduh dalam isu persoalan peralihan kuasa dan tidak mempunyai kata sepakat dalam isu-isu yang melibatkan isu perkauman," katanya.

S Arutchelvan

Pada masa sama PSM melihat Dr Mahathir Mohamad sudah hilang mandat untuk menubuhkan kerajaan perpaduan atau membentuk kerajaan campuran kerana tidak lagi mempunyai sokongan majoriti ahli parlimen.

"Dalam keadaan ini, langkah terbaik untuk beliau ialah berundur dan melepaskan masa depan politik negara kita kepada parti-parti lain.

"Tindakan Mahathir melepaskan kuasa dan membuat satu peralihan secara aman, akan dilihat sebagai tindakan bijak seorang negarawan kanan, sebaliknya jika kemelut ini terus dimain-mainkan berdasarkan sentimen perkauman, atau sentimen kroni dan sebagainya, maka beliau akan dituduh sebagai pihak yang mencetuskan harapan dan pada masa sama menghancurkan harapan tersebut," kata Arutchelvan. 


8.15 pagi: Umno mengarahkan semua ketua bahagiannya dari seluruh negara berkumpul di ibu pejabat parti itu hari ini.

Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa, berkata mereka dipanggil untuk menghadiri pertemuan khas bersama presiden parti serta anggota majlis tertinggi pada jam 3 petang. 

Dalam siri ciapannya di Twitter, Annuar juga mengulangi pandangan bekas peguam negara, Mohamed Apandi Ali, mengenai keabsahan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri interim.

"Dalam keadaan sekarang option (pilihan) hanya satu!!! Kembalikan kuasa kepada rakyat, bubar parlimen dan dalam masa 60 hari adakan pilihan raya umum," katanya.

Untuk rekod, selepas menjadi peguam negara, Apandi dilantik menjadi pengerusi Lembaga Disiplin Umno sebelum beliau meletak jawatan baru-baru ini.


7.30 pagi: Bekas menteri kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad, meminta maaf kepada rakyat Malaysia ekoran kemelut yang sedang melanda sekarang.

Katanya mungkin ada antara orang ramai yang menganggap semua ahli politik adalah "dua kali lima saja".

"Ini bukan 'politik rakyat' yang mencetuskan reformasi satu ketika dahulu. Tapi kali ini - dalam simpang-siur yang memeningkan - silap-silap hari bulan, mereka bosan, mual dan jelak," katanya.

Justeru, ahli parlimen Kuala Selangor itu berharap rakyat tidak terus dibebani dengan gelagat buruk serta kerakusan ahli politik, termasuk perbuatan mengkhianati perjuangan dan rakan.

"Apa yang dipaparkan itu mengganggu kesejahteraan bahkan menambahkan penyeksanaan hidup rakyat," katanya.

Beliau juga menyarankan semua pihak agar tidak menghangatkan lagi suasana dengan memainkan sentimen perkauman dan agama.


7 pagi: Bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali mempersoalkan keabsahan jawatan perdana menteri sementara.

Beliau yang sebelum ini berkhidmat sebagai pengerusi Lembaga Disiplin Umno berkata, perlembagaan negara tidak memperuntukkan jawatan tersebut.

"Perdana menteri interim tiada dalam perlembagaan.

"Dalam keadaan sekarang, mengikut konvensyen, Agong boleh membubarkan Dewan (Rakyat) atas budi bicara tuanku, jika pada hemat tuanku tiada ahli parlimen yang memperoleh kepercayaan ahli dewan untuk dilantik sebagai perdana menteri," katanya.

Ketika PH - yang dijatuhkan sebahagian pemimpin dalam PKR dan Bersatu - mahukan Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri, BN dan PAS pula mahu agar parlimen dibubarkan untuk membuka jalan kepada pilihan raya umum ke-15.

Dalam keadaan tiada mana-mana pihak memiliki majoriti di parlimen, erpulang kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membuat keputusan selepas baginda selesai menemui semua ahli parlimen di Istana negara pada kelmarin dan semalam.