Ketua Menteri bertemu Yang Dipertua Negeri Melaka
Ketua Menteri, Adly Zahari hari ini mengadakan pertemuan dengan Yang Dipertua Negeri Tun Dr Mohd Khalil Yaakob di pejabat Yang Dipertua Negeri Melaka di Ayer Keroh di Melaka.
Adly berkata pertemuan itu bagi memberitahu Mohd Khalil mengenai situasi politik semasa bagi memastikan pentadbiran kerajaan negeri dapat dilaksanakan dengan baik demi tugas dan tanggungjawab terhadap rakyat.
“Intipati perbincangan bersama Yang Dipertua Negeri kebanyakannya adalah mengenai pembangunan negeri dan isu yang berbangkit di peringkat negeri dan maklumkan tentang perkembangan situasi semasa negeri.
“Memang sebelum mesyuarat Exco biasanya kita akan memaklumkan kepadanya mengenai perkembangan di peringkat negeri,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di perkarangan pintu masuk Seri Negeri, Ayer Keroh.
Yang turut hadir beberapa exco kerajaan negeri iaitu Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Industri Asas Tani Datuk Norhizam Hassan Baktee; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Ginie Lim Siew Lin dan Exco Kesihatan dan Antidadah Negeri Low Chee Leong.
Lebih 20 petugas media berkumpul di kawasan itu sejak pukul 8.00 pagi dan Adly serta Norhizam turut memberikan minuman serta sarapan pagi nasi lemak kepada petugas media itu.
Semalam, Adly dilaporkan berkata pentadbiran dan jentera kerajaan negeri Melaka masih berfungsi seperti biasa di sebalik perkembangan politik yang berlaku di peringkat kerajaan Persekutuan pada masa ini.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai