Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Bersih tak mahu kerajaan perpaduan

Pembentukan kerajaan perpaduan yang menggabungkan wakil dari pelbagai parti bukanlah pilihan yang baik untuk negara ini, kata Bersih.

Dalam kenyataan medianya hari ini, pertubuhan pendesak pembaharuan pilihan raya itu berkata, jika sebuah kerajaan perpaduan dibentuk, maka tidak ada pembangkang untuk menjadi ejen semak dan imbang.

Katanya, rakyat juga tidak mempunyai sebarang pilihan untuk mewakili mereka.

"Risiko kerajaan perpaduan adalah, ianya boleh menjadi kleptokratik apabila semua parti (terdedah) bekerjasama untuk memperkayakan diri sendiri dengan (kesannya) ditanggung oleh rakyat.

"Senario ini tidak boleh dibiarkan untuk berlaku," kata Bersih.

Terdahulu, hari pertama Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri sementara diwarnai dengan laporan beliau bercadang membentuk kerajaan bersama wakil pelbagai parti.

Hal itu berlaku selepas kemelut melanda PH - yang mendapat mandat daripada rakyat pada pilihan raya umum lalu - menyaksikan gabungan tersebut runtuh sebagai kerajaan.

Ia bermula dengan cubaan menggabungkan sebahagian daripada pemimpin PKR bersama Bersatu serta dua parti pembangkang, iaitu Umno dan PAS.

Berusaha dapatkan undi

Bersatu mengumumkan menarik diri daripada PH, menyebabkan gabungan itu hanya dianggotai PKR, Amanah dan DAP.

Bagaimanapun politik Malaysia dikejutkan dengan peletakan jawatan Mahathir sebagai perdana menteri - di sebalik cadangan asalnya untuk berbuat demikian pada Nov nanti.

Beliau kemudian meletakkan jawatan sebagai pengerusi Bersatu sejurus selepas presiden parti itu, Muhyiddin Yassin, mengumumkan langkah mereka keluar dari PH.

Tindakan Mahathir itu dilihat sebagai protes beliau kepada langkah diambil Bersatu bersama Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali, yang sebelum itu menjadi timbalan presiden PKR.

Selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong, Mahathir kemudian diumum menjadi perdana menteri sementara sehinggalah pemimpin baru dilantik mengetuai kabinet.

PAS dan Umno asalnya menyediakan akuan bersumpah untuk menyokong Mahathir menjadi perdana menteri, namun menarik balik langkah itu petang tadi ekoran ahli parlimen Langkawi itu dipercayai mahu membentuk kabinet dengan menyertakan DAP yang sememangnya sebahagian daripada kerajaan sebelum ini.

Bersih berkata pembentukan kerajaan perpaduan bertentangan dengan semangat demokrasi.


Baca Umno dan PAS tarik balik sokongan pada Dr M


"Demokrasi adalah memberi peluang kepada parti politik berbeza ideolog untuk bertanding sesama sendiri bagi mendapat hak mentadbir serta melaksanakan polisi berdasarkan ideologi mereka.

"Untuk berbuat demikian mereka berusaha keras untuk memenangi undi dengan mengetahui sekiranya gagal mentadbir, mereka akan ditolak pada pilihan raya," katanya.

Menurut Bersih lagi, jika Agong belum dapat menentukan siapa yang mempunyai majoriti di parlimen dan gabungan mana yang boleh membentuk kerajaan, maka pilihan selanjutnya ialah mengadakan pilihan raya umum.

"[...] maka kami menggesa untuk Agong membubarkan parlimen dan membiarkan rakyat memilih parti atau gabungan yang mereka mahukan sebagai kerajaan selama lima tahun," katanya.