Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Anak pemandu lori sampah terbaik STPM 2019

Anak kepada pemandu lori sampah dianugerahkan Pelajar Terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2019 bagi kategori bawah 40 (B40) dengan Purata Nilai Gred Keseluruhan Nasional (PNGK) 4.00 dan 5A.

Nuraini Jalaluddin, 20, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Saban, Pengkalan Hulu, Perak berkata, dia bersyukur dengan pengiktirafan itu selepas memperoleh keputusan cemerlang.

"Saya tidak pernah fikir usaha saya bersengkang mata sehingga tengah malam akhirnya akan menghasilkan keputusan sedemikian.

"Saya akan menjadikan pengiktirafan ini sebagai pemangkin bagi saya untuk mencapai kecemerlangan semasa melanjutkan pengajian saya pada masa hadapan," katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman keputusan STPM di Majlis Pemeriksaan Malaysia (MEC) di Kuala Lumpur hari ini, seperti yang dilaporkan oleh Harian Metro.

Tambahnya, bapanya yang merupakan pemandu lori sampah di Majlis Daerah Pengkalan Hulu manakala ibunya seorang suri rumah sangat bangga dengan pencapaiannya.

"Dengan mempunyai pelajaran saja dapat mengubah nasib keluarga ke arah yang lebih baik.

"Ayah saya telah memandu trak sampah selama 33 tahun dan akan bersara bulan depan, saya harap dia dapat berehat dan menikmati usia tua selepas ini," katanya.

Sementara itu, pelajar terbaik untuk STPM 2019 kategori Orang Asli, Aimi Mahad, 20, berharap cita-citanya menjadi seorang guru dapat direalisasikan.

"Saya mahu menjadi guru untuk membangunkan anak Orang Asli supaya mereka cemerlang dalam pelajaran.

"Saya harap pencapaian saya akan dijadikan contoh buat suku Semai yang lain dalam membaiki kehidupan keluarga mereka," katanya.

Aimi, yang berasal dari suku Semai di Kuala Lipis, Pahang, berjaya memperoleh PNGK 3.84 dan 5A.