Landskap politik semasa: Tumpuan kepada ekonomi, saham dijangka melantun semula
Tempoh 48 jam lepas tidak pernah berlaku sebelum ini bagi rakyat Malaysia, satu tempoh yang penuh dengan kejutan dan debaran serta berita-berita tergempar berkaitan kemelut terkini politik negara.
Namun apa juga kesudahannya bagi percaturan politik ini, keutamaan utama kerajaan sudah pastinya adalah untuk memastikan kemampanan ekonomi negara.
“Kerajaan perlu memulihkan semula dengan segera keyakinan dalam kalangan perniagaan dan pelabur, terutamanya ketika ekonomi global masih berdepan risiko penurunan pertumbuhan akibat penularan wabak COVID-19 dan ketidakpastian tentang dasar perdagangan global,” kata Ketua Ekonomi Affin Hwang Investment Bank Research, Alan Tan.
Kebimbangan terhadap kerajaan yang bakal dibentuk tidak lama lagi mungkin merumitkan pelaksanaan dasar-dasar kerajaan terdahulu, meskipun pengumuman pelantikan Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri interim oleh Yang di- Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.
Semalam, Yang di- Pertuan Agong berkenan melantik Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri interim selepas menerima peletakan jawatannya. Seri Paduka atas nasihat Dr Mahathir turut berkenaan menarik balik pelantikan semua menteri.
Dalam kenyataan tiga para semalam, Ketua Setiausaha Negara (KSN) Mohd Zuki Ali berkata semasa tempoh interim itu, Dr Mahathir akan menguruskan pentadbiran negara sehingga perdana menteri baharu dilantik dan kabinet baharu dibentuk.
Tan percaya kerajaan baharu perlu meneruskan kesinambungan dasar seperti dalam bahagian pembaharuan institusi, tadbir urus korporat, ketelusan dan konsolidasi fiskal, serta pembaharuan struktur untuk menambah baik produktiviti, pendapatan rakyat dan menjana bahagian pertumbuhan baharu.
“Kami percaya penting bagi kerajaan yang memerintah untuk menyediakan kejelasan tentang dasar-dasar ekonomi yang perlu termasuk strategi bagi pelaksanaan ke arah kemampanan jangka panjang ekonomi Malaysia,” katanya.
Dalam tempoh terdekat ini, ketidakpastian politik tempatan yang berlaku sekarang boleh menjejaskan lagi sentimen dan perbelanjaan pengguna serta perniagaan, tetapi ia tidak dijangka menjejaskan momentum pertumbuhan negara.
“Kami mengekalkan unjuran kami bagi pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebenar 2020 pada 4 peratus, lebih rendah berbanding unjuran rasmi 4.8 peratus, dengan jangkaan pakej rangsangan fiskal akan menyediakan sedikit sokongan dan kestabilan kepada pertumbuhan ekonomi,” katanya.
Kerajaan dijadual mengumumkan pakej rangsangan ekonomi pada Khamis ini bagi sektor penerbangan, peruncitan dan pelancongan untuk mengurangkan kesan daripada penularan COVID-19.
Tan berkata tumpuan segera kini adalah bagi melihat bagaimana kerajaan melaksanakan strategi untuk menyokong aktiviti pelaburan swasta yang mencatat pertumbuhan lebih perlahan dalam tempoh suku-suku sebelum ini.
Selain itu, pemerhati pasaran juga akan melihat usaha kerajaan untuk memperbaiki kedudukan defisit fiskal negara, meningkatkan asas makroekonomi dalam usaha mengekalkan prospek penarafan kredit Malaysia oleh agensi penarafan antarabangsa.
“Bagi kami, walaupun dalam keadaan politik semasa, risiko penurunan penarafan negara itu adalah sesuatu yang mampu diurus. Namun, pada masa sama, kerajaan perlu membuktikan komitmen terhadap aspek pengukuhan fiskal (seperti mengukuhkan kutipan hasil dan mengurangkan perbelanjaan operasi)," katanya.
Kerajaan Pakatan Harapan (PH) juga terbukti secara konsisten dapat mengurangkan defisit fiskal daripada 3.7 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada 2018 kepada 3.4 peratus pada 2019 dan dijangka dapat dikurangkan kepada 3.2 peratus pada 2020.
“Selain itu, walaupun perkembangan semasa menjejaskan agenda pembaharuan, namun dengan mengandaikan pembentukan semula kerajaan akan diterajui oleh PH, akan menyaksikan pentadbiran itu kekal komited melaksanakan tadbir urus bagi mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030," katanya.
Malah, sejurus kemelut politik ini selesai dan keadaan stabil kembali, pelaksanaan usaha pembaharuan institusi itu boleh menyuntik kemampanan jangka panjang terhadap pelaburan swasta yang sememangnya diperlukan ekonomi untuk memacu kesejahteraan negara.
Sementara itu, Public Investment Bank pula berkata, oleh kerana keseimbangan politik itu masih boleh berubah berikutan ketiadaan majoriti jelas atau selesa di Parlimen, para pelabur tempatan berkemungkinan besar lebih bersikap tunggu dan lihat sementara menunggu inisiatif-inisiatif penting untuk memacu ekonomi yang telah terkesan oleh perkembangan membabitkan penularan COVID-19.
Kalangan pelabur asing pula dijangka menjadi pihak awal meninggalkan pasaran kerana tidak melihat kepentingan mereka menjadi keutamaan untuk dipertimbangkan pada masa ini.
“Bagaimana pun, tempoh interim itu akan memberi peluang dagangan sehinggalah semua perkara dapat diselesaikan. Penyusutan prestasi pasaran akibat jualan ketara semalam, sebaliknya mungkin akan meningkat kembali dengan lebih pantas."
Pada 10.44 pagi, indeks FBM KLCI naik 10.86 mata kepada 1,500.92 yang disokong oleh pelabur institusi serta keyakinan bahawa kemelut politik negara ini dapat diselesaikan.
Saham-saham yang menjadi pemacu indeks utama seperti Maybank dan Sime Darby Plantation yang berkaitan dengan Permodalan Nasional Bhd, antara syarikat pengurusan dana terbesar di Malaysia manakala Tenaga Nasional, Sime Darby Plantation, CIMB, IHH serta Axiata yang berkaitan dengan dana strategik kekayaan negara, Khazanah Nasional, juga terbukti mencatat peningkatan dalam dagangan awal hari ini.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai