Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Dzulkefly, Salahuddin beri 'kenyataan terakhir' sebagai menteri

Ketika negara sedang hangat dengan berita gerakan penjajaran baru politik, Dr Dzukefly Ahmad hari ini memberi bayangan seolah-olah beliau akan melepaskan jawatan sebagai menteri kesihatan.

Pemimpin Amanah itu memberi gambaran berkenaan dalam kemas kini berhubung Covid-19 di Twitter.

“Alhamdulillah! Dua lagi kes Covid-19 pulih sepenuhnya dan discaj hari ini. Tiada kes positif baru. Palms up together.

“Kes-14 & kes-19 sebelum ini dirawat di HKL. Jumlah yang telah pulih sepenuhnya dan discaj hingga hari ini 20 orang.

“Dua masih dirawat di wad dan stabil. Tweet saya terakhir sebagai YBMK. TK!,” tulisnya.

 

Setakat 23 Feb, Covid-19 telah menjangkiti 78,724 orang di seluruh dunia, kebanyakannya di China. Wabak itu sudah mengorbankan 2,462 nyawa, dengan 20 kematian berlaku di luar China.

Sementara itu, Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub, turut memberi gambaran sama.

Salahuddin dalam satu kenyataan meminta maaf kepada semua petani, penternak dan nelayan berikutan khidmat yang diberikannya selama kira-kira 20 bulan lalu.

"Setakat ini sahaja hayat saya di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) dan saya mendoakan semoga nasib anda semua akan terus berubah di bawah kepimpinan baru nanti.

"Saya telah menghabiskan sepanjang hayat saya di MOA untuk memperjuangkan nasib petani, penternak dan nelayan.

"Sekiranya saya masih gagal, saya sekali lagi memohon sepenuhnya kemaafan anda semua," katanya.

PH berdepan kemungkinan ditumbangkan selepas Bersatu mengumumkan keluar pakatan itu.

Pada masa sama, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali dan 10 ahli parlimen PKR lain mengumumkan keluar parti.

Dr Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan peletakan jawatannya sebagai perdana menteri dan disusuli dengan pengerusi Bersatu hari ini.