'Bubar parlimen'
Susulan perkembangan politik terkini, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tebing Tinggi Dr Abdul Aziz Bari mencadangkan supaya parlimen dibubarkan.
Jelasnya, merujuk kepada perlembagaan, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mempunyai hak untuk membubarkan parlimen tanpa nasihat kerajaan.
“[…] kalau kita rujuk kepada perlembagaan, ia ada peruntukkan Yang di-Pertuan Agong ada dua budi bicara boleh dilaksanakan tanpa nasihat kerajaan, yang pertamanya dalam melantik perdana menteri atau kerajaan dan yang keduanya bubarkan parlimen.
“Jadi untuk melihatkan Yang di-Pertuan Agong tidak memihak kepada sesiapa, dengan kerajaan yang kini banyak spekulasi, elok lah dibubarkan parlimen,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini malam ini.
Hari ini, Malaysiakini melaporkan beberapa kem politik telah bermesyuarat dan mencetuskan spekulasi berlakunya pensejajaran semula kekuasaan negara.
Ia melibatkan pemimpin Bersatu, Umno, PAS, PKR (kem Azmin Ali), Warisan dan GPS.
Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad masih mengunci mulut dan hanya melambaikan tangan kepada pemberita ketika beredar dari ibu pejabat parti di Petaling Jaya petang tadi.
Presiden PKR Anwar Ibrahim pula malam ini menyifatkan apa yang berlaku sebagai “satu pengkhianatan”.
Sementara itu, Dr Abdul Aziz yang juga merupakan naib pengerusi DAP Perak berkata seri paduka boleh membubarkan parlimen agar kuasa diserahkan kembali kepada rakyat untuk memilih pemimpin.
“Oleh kerana Yang di-Pertuan Agong ada kuasa untuk lantik perdana menteri dan bubarkan parlimen, baik dibubarkan dan serahkan kepada rakyat kuasa untuk memilih pemimpin.
“Jika proses itu dijalankan, ia tidak akan nampakkan Yang di-Pertuan Agong berat sebelah dan ia juga tidak akan jejaskan nama baik dan kredibiliti Yang Di-Pertuan Agong,” katanya lagi.
'Mereka atur perubahan di hotel mewah'
Sementara itu Parti Sosials Malaysia (PSM) menolak pembentukan sebarang pembentukan kerajaan baru selain daripada melalui mandat baru menerusi pilihan raya.
Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvan berkata, ia agar membolehkan rakyat memilih sendiri apatah lagi setelah "melihat wajah sebenar wakil rakyat mereka".
"PSM juga menyeru pakatan baru parti politik berdasarkan politik prinsip, integriti dan pencapaian untuk melawan politik berdasarkan kronisme, rasuah dan elitisme," katanya dalam satu kenyataan.
Katanya lagi, motivasi terbesar atas langkah yang dijalankan hari ini adalah kuasa dan ia perlu dikecam.
"Mereka yang berkomplot dalam hal ini perlu ditolak dan dibuang ke dalam tong sampah sejarah. Mereka mengaturkan perubahan bukan melalui peti undi atau jalan raya, tetapi hanya berjumpa di hotel mewah dan tempat elit," katanya.
Selain itu, Arutchelvan juga menyuarakan kekecewannya melihat sejumlah pemimpin kerajaan yang menurutnya lebih sibut dengan politik dan bukannya menumpukan isu-isu melibatkan rakyat.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai