Setiakawan Bani Tenang buat 'doktor ganja' di Dataran Merdeka
Panas terik di ibu kota hari ini tidak menghalang suatu perhimpunan bagi menyatakan setiakawan terhadap kes seorang lelaki yang dijatuhkan hukuman gantung kerana mendakwa menggunakan ganja bagi tujuan perubatan, Muhammad Lukman Mohamad.
Sekumpulan aktivis proganja perubatan yang menggelarkan diri mereka Bani Tenang mendesak kerajaan memansuhkan hukuman mati dan membenarkan penggunaan ganja bagi tujuan manfaat kesihatan.
Jurucakap kumpulan berkenaan, blogger Yob Tualang Sekah atau Mat Yob berkata mereka merayu kerajaan meminda Akta Dadah Berbahaya dan memansuhkan hukuman mati bagi kesalahan memiliki dan menggunakan ganja bagi tujuan perubatan.
“Kami ini NGO tidak berdaftar kerana kerajaan tidak benarkan kami guna perkataan kanabis, kami kadang-kadang bersolidariti di mana saja.
“Kami hadir hari ini dengan satu misi untuk kenangkan saudara kami Lukman yang sedang dipenjara dan dijatuhkan hukuman sampai mati dan kes sedang dibicarakan.
“Saya percaya tiada siapa yang patut digantung kerana memiliki tumbuh-tumbuhan,” kata Mat Yob (gambar, bawah) kepada pemberita.
Kira-kira 25 orang menyertai himpunan solidariti pada hari ini. Mereka memaparkan sepanduk bertulis "Ganja Bukan Dadah”, “Akta lebih mudarat dari Ganja” dan “Jangan hukum pesalah ganja, Akta lapuk itu yang bersalah.”
Pada awalnya, mereka merancang berhimpun di pusat beli-belah Sogo, sebelum beralih arah ke Dataran Merdeka, bagi menyertai satu lagi himpunan anjuran NGO Gabungan Kuasa Rakyat di sana bagi mendesak 10 tuntutan terhadap kerajaan.
Bagaimanapun, selepas mereka tiba dan mula menyusun plakad di lantai, keadaan sedikit tegang apabila berlaku kekecohan sedikit antara kedua pihak tersebut.
Difahamkan NGO berkenaan menggangap kumpulan proganja perubatan dan antihukuman mati itu mengganggu acara mereka dan bimbang pihak berkuasa yang akan mengambil tindakan.
Selang beberapa minit perbincangan antara kedua pihak dan membabitkan pegawai polis , akhirnya kumpulan itu beredar bagi menghormati NGO berkenaan yang turut sama sedang berhimpun.
Pengerusi Suruhanjaya Polisi Dadah Global, Ruth Dreifuss pada 3 Februari lalu melahirkan rasa kesal hukuman mati dikenakan terhadap orang yang mendakwa menggunakan ganja bagi tujuan perubatan.
Ini termasuklah kes Muhammad Lukman (gambar, atas) yang dijatuhi hukuman mati pada Ogos 2018 kerana memiliki 3,010 mililiter delta 9 tetrahydrocannabinol (ekstrak kanabis), 1,422 gram delta 9 tetrahydrocannabinol dan 279.81 gram kanabis.
Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada 27 November tahun lalu mengekalkan hukuman mati terhadap Lukman.
Lukman, 30 tahun bapa kepada seorang anak dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Bandar Mahkota, Banting pada 6.45 petang 7 Disember 2015.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada 18 September 2018 berpendapat kerajaan patut menyemak semula kes Lukman.
Satu lagi kes doktor ganja yang menjadi tumpuan ialah kes melibatkan pesara tentera Amiruddin @ Nadarajan Abdullah yang sedang berhadapan dakwaan mengedar ganja di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan perbicaraannya kini dibawa ke Mahkamah Tinggi.
Dreifuss (gambar, atas) yang juga bekas presiden Switzerland berada di ibu negara awal bulan ini bagi berbincang mengenai rancangan Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad untuk melaksanakan polisi pengurangan mudarat bagi menangani masalah penyalahgunaan dadah, termasuklah cadangan untuk menjadikan penagihan isu kesihatan dan penagih adalah pesakit yang perlu dirawat profesional perubatan.
Sekitar tiga per empat banduan menunggu hukuman mati di Malaysia disabitkan kesalahan berkaitan jenayah dadah.
Malaysia sedang memperkenalkan moratorium (penangguhan) untuk semua pelaksanaan hukuman gantung sementara kerajaan melakukan kajian mengenai pindaan terhadap undang-undang hukuman mati.
K'jaan mungkin pinda hukuman mati
Perdana menteri pada 18 Feb berkata, kerajaan akan menilai dan mengkaji semula dasar serta undang-undang berkaitan penyalahgunaan dadah di negara ini termasuk hukuman mati mandatori.
Jelas beliau, langkah tersebut diambil bagi mengambil pendekatan yang lebih rasional dalam usaha menangani masalah berkenaan mengikut trend semasa.
Mengulas lanjut perkara itu, Dr Mahathir berkata undang-undang tersebut perlu dikaji kerana ia dilihat terlalu keras.
Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata mereka yang menjadi penagih dadah akan dirawat sebagai pesakit.
Tambah Dr Mahathir, trend penyalahgunaan dadah kini sudah berubah daripada dadah konvensional berasaskan tumbuhan seperti ganja, morfin dan heroin kepada jenis sintetik yang lebih memudaratkan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai