Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

SPRM panggil Najib, Rosmah berhubung rakaman audio

Bekas perdana menteri, Najib Razak dan isterinya, Rosmah Mansor akan dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini berkaitan beberapa rakaman audio yang didedahkan suruhanjaya itu.

Sumber SPRM memberitahu Malaysiakini bahawa kedua-duanya dipanggil untuk hadir ke Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (Maca) di Kuala Lumpur pada jam 2.30 petang.

"SPRM akan merakamkan kenyataan mereka mengenai rakaman audio," kata sumber berkenaan.

Sebelum itu, polis menetapkan temujanji dengan kedua-dua mereka untuk merakamkan kenyataan bagi membantu siasatan berhubung perkara yang sama hari ini.

Malaysiakini difahamkan mereka dijangka tiba di Bukit Aman sekitar jam 10.30 pagi.

Perkara ini disahkan oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) Bukit Aman, Mior Faridalathrash Wahid semalam.

Sebelum ini, polis telah merekodkan kenyataan daripada 12 saksi berhubung sembilan rakaman audio yang didedahkan oleh SPRM, yang mana suruhanjaya itu mendakwa sebagai bukti konspirasi jenayah peringkat tinggi.

Mereka termasuk Anggota Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim, bekas ketua setiausaha sulit Najib, Shukry Mohd Salleh dan Amhari Efendi Nazaruddin yang merupakan bekas pegawai kepada bekas perdana menteri berkenaan.

Rekod yang dikeluarkan oleh SPRM pada 8 Januari termasuk antara lain dakwaan mengenai maklumat sulit daripada Pejabat Peguam Negara kepada Najib.

Beberapa perbualan telefon lain juga didengar membincangkan siasatan terhadap skandal 1MDB.

Antara yang didengar dalam perbualan itu termasuk Najib, Rosmah, bekas ketua pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad, kerabat diraja Abu Dhabi, dan beberapa individu lain.