Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Exco Selangor: Masih ada ahli majlis tak jelas peranan mereka

Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) hari ini mendedahkan masih terdapat ahli majlis yang tidak jelas akan peranan dan tugas yang perlu dimainkan mereka dalam bidang perancangan dan pembangunan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Sedangkan, kata Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han, garis panduan atau pun skop kerja untuk ahli majlis yang dilantik sudah diberikan sebaik sahaja lantikan dibuat.

Malah, Ng berkata kursus asas kepada ahli majlis juga sudah dijalankan.

“Dalam kursus ini telah diterangkan tentang pengetahuan yang mencukupi apa tugas dan tanggungjawab mereka (ahli majlis) dengan jelas.

“Jadi, saya agak terkejut ahli majlis tidak jelas tentang tugas dan peranan. Tanggungjawab sebagai ahli majlis telah jelas telah dinyatakan dalam Akta Tempatan 1971,” tegasnya ketika menjawab pertanyaan Pengerusi (Selcat) ketika menjadi saksi dalam Sesi pendengaran awam ‘Penilaian Prestasi PBT dan Ahli Majlis Negeri Selangor, di Shah Alam, hari ini.

Mengulas lanjut, Sze Han juga berkata ada kemungkinan untuk pihaknya mengadakan kursus sekali lagi kepada ahli majlis bagi mempertingkatkan lagi prestasi mereka.

“Maka kursus yang baru perlu dilakukan,” katanya.

Terdahulu Pengerusi Selcat, Ng Suee Lim memaklumkan jawatankuasa diberitahu bahawa tidak ada garis panduan bagi menilai prestasi ahli majlis.

Sementara itu, dalam sidang media selepas sesi pendengaran awam tersebut Suee Lim berkata, jawatankuasa telah bersetuju untuk membawa usul bagi kerajaan negeri melaksanakan indeks prestasi utama (KPI) bagi memantau gerak kerja ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Isu yang dibangkitkan oleh saksi yang terdiri daripada wakil dari persatuan penduduk, Adun, ahli majlis, datuk-datuk bandar dan exco ini akan dibawa ke mesyuarat dalam masa terdekat untuk merumuskan segala syor dalam bentuk penyata.

“Penyata itu kemudian akan dibentangkan dalam sidang DUN akan datang,” katanya.

Menurut Suee Lim, Selcat juga akan memastikan perbincangan lanjut berhubung syor terbabit diadakan bersama exco bertanggungjawab.

“Jawatankuasa akan pastikan kita akan bermesyuarat bagi pandangan kepada exco untuk pertimbangan, yang penting exco tahu yang garis panduan untuk ahli majlis tak ada atau tidak pasti, atau garis panduan ada tetapi tidak dipantau bagi tujuan mempertingkatkan peranan dan prestasi PBT sekali gus untuk kurangkan isu,” katanya.

Selain itu, diminta mengulas kenapa Selcat secara tiba-tiba mengadakan sesi pendengaran itu, Suee Lim menjelaskan sudah tiba masanya kerajaan Pakatan Harapan (PH) Selangor membuat penilaian mereka.

“Selepas 12 tahun, jawatankuasa Selcat berpandangan sudah sampai masa kerajaan PH menilai prestasi ahli majlis sama ada kini berada di kedudukan cemerlang atau sebaliknya.

"Bukan bertujuan untuk menghukum tetapi merungkai isu berbangkit. Hari ini kita nampak masalah tiada garis panduan dan penilaian khusus untuk ahli majlis perlu diberi perhatian untuk tambah baik peranan ahli majlis," katanya.

Tambah Suee Lim, melalu Selcat ini juga jawatankuasa mendapati pentingnya peranan ahli majlis di sesuatu kawasan.

"Soal kebajikan ahli majlis melalui elaun RM2,500 yang yang dianggap rendah dan tidak setimpal dengan kerja mereka turut dibangkitkan dan diperakui perlu disemak semula.

"Dahulu elaun murah hanya sekitar RM300 hingga RM500 kerana tugasnya tidak berat selain mempunyai kepentingan mendapat kuasa untuk mendapat projek.

"Tapi selepas 2008, kerajaan negeri titik berat ketelusan dan ahli majlis tidak terlibat dalam jawatankuasa tender, maka aspek elaun penting setimpal dengan kerja berat dilakukan," katanya.

Selcat hari ini mengadakan sesi pendengaran awam bagi menilai prestasi pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri Itu.

Pada sesi itu, seramai 17 saksi wakil persatuan penduduk di kawasan MPSJ, MDKL, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, datuk-datuk bandar, Anggota Dewan Selangor dan exco dipanggil.

Selcat dianggotai Adun Bukit Lanjan Elizabeth Wong, Adun Hulu Kelang Saari Sungib, Adun Banting Lau Weng San, Adun Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin, Adun Sungai Air Tawar Rizam Ismail dan Adun Sijangkang Dr Ahmad Yunus Hairi.