Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Kabinet bincang cadangan larang kemasukan pelancong China

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad mengakui cadangan melarang pelancong China melawat Malaysia buat sementara waktu ada dibincankan dalam mesyuarat kabinet semalam.

Bagaimanapun, beliau tidak memberikan butiran lanjut berhubung perkara itu.

Sebaliknya Dzulkefly memberitahu, Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) akan memberi penjelasan dan pengumuman selepas ini.

“Harap tunggu pengumuman dibuat timbalan perdana menteri dan Nadma.

“Kerajaan sentiasa menilai (situasi Civid-19) berdasarkan maklumat dan fakta,” katanya.

Ditanya jika benar ada cadangan untuk melarang kemasukan pelancong dari China ke negara ini selama sebulan, ahli parlimen Kuala Selangor itu enggan mengulas.

Malaysiakini difahamkan bahawa kabinet sudah membuat keputusan mengenai hal itu namun pengumuman rasmi mengenainya hanya akan dibuat oleh Nadma apabila tiba masanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) Universiti Malaya, Norsaadah Abdul Rahman, yang turut hadir pada majlis itu menafikan dakwaan bahawa sesetengah sukarelawan institusi pengajian tinggi itu dipaksa mengendalikan pelajar dari China.

Norsaadah Abdul Rahman

"Kami tidak ada bukti pelajar terbabit dipaksa, tak ada elemen paksaan. Malah mereka sudah diberi taklimat beberapa kali oleh pegawai perubatan.

"Kalau ada bukti, mereka boleh kemukakan,” katanya.

Pada 16 Feb lalu, media melaporkan seorang wakil sukarelawan UM menyatakan rasa tidak puas hati kerana diminta mengendalikan pelajar dari China yang ditempatkan di Kolej Ke-10 universiti terbabit.

Laporan itu menyatakan bahawa 550 pelajar dari China kembali ke kampus dan mendaftar diri pada 5 Feb.

Kata sukarelawan itu, mereka terlibat melakukan pemeriksaan suhu badan pelajar dari China itu.

Ditanya sama ada pemeriksaan suhu badan turut dilakukan terhadap sukarelawan itu, Norsaadah berkata, pegawai dari kementerian kesihatan ada datang dan membuat ujian.

"Kementerian Kesihatan telah datang dan periksa, tidak ada masalah dan pelajar-pelajar itu diuji negatif dan mereka berada di dalam pengawasan," katanya.