Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Covid-19: Syarikat M’sia tawar sistem pemprofilan AI pelancong Cina

MyEG Sdn Bhd berkata mereka telah mencipta sistem pemprofilan risiko Covid-19 untuk pelancong China dan menawarkan program kecerdasan buatan (AI) itu kepada Malaysia dan Filipina.

Pembekal perkhidmatan kerajaan Malaysia itu, menurut kenyataan media berkata sistem itu mempunyai keupayaan mengesan lokasi geografi dan sejarah perjalanan pelancong China.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan darurat kesihatan awam global selepas wabak Covid-19 yang mula dikesan di Wuhan, China itu meragut ratusan nyawa.

Malaysia - antara negara yang terkesan - telah mengenakan sekatan sementara terhadap pelancong China.

Kerajaan juga berhenti memperbaharui visa untuk pelancong China yang sudah ada di negara ini.

Sementara itu, MyEG Sdn Bhd turut menambah, sistem itu boleh mengesan pelancong menerusi beberapa aspek dan data dengan lebih canggih.

Tambahnya, sistem itu turut menawarkan aspek seperti bacaan denyutan jantung dan tekanan darah pelawat, dan lokasi yang pernah dilawati pelawat yang dekat dengan kawasan jangkitan.

“Data tersebut termasuk penglibatan pelawat di dalam negara dan memastikan pihak kesihatan (Malaysia) peka jika terdapat sebarang simptom dan mengambil rawatan secepatnya, sama ada untuk kuarantin pelawat yang dijangkiti wabak tersebut,” kata kenyataan itu.

Syarikat itu juga mengatakan jika kerajaan hanya mengenakan sekatan kepada pelawat dari beberapa bandar seperti Wuhan dan Wenzhou dan bergantung kepada maklumat di pasport sahaja, ia boleh jadi rumit dan tidak tepat.

“Dengan sistem ini, maklumat berkenaan sejarah geolokasi dan beberapa aspek relevan lain dapat direkodkan dan ia malah memudahkan pegawai kesihatan mendapatkan maklumat terperinci bagi pelawat yang mempunyai risiko kesihatan tinggi.

“Data dalam sistem) turut berkembang lebih baik susulan pengetahuan berkenaan wabak itu lebih meluas,” katanya.