Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Warga Indonesia didakwa bunuh buruh

Seorang lelaki warga Indonesia hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membunuh seorang buruh pada 12 Feb lepas.

Junianto, 29, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Hazwanie Husain Bustari.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan diambil kerana tertuduh merupakan warga asing dan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan itu, tidak boleh ditawarkan sebarang jaminan.

Berdasarkan pertuduhan, Junianto didakwa membunuh Mohd Zukanain Abdul Aziz, 39, di dalam kawasan sebuah ladang sawit berhampiran pondok yang tidak bernombor di Kampung Beril dekat Paka, pada 2.45 pagi 12 Feb lepas.

Hazwanie menetapkan 19 April ini bagi sebutan semula kes, sementara menunggu laporan kimia dan asid deoksiribonukleik (DNA).

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Syafiq Aizat Nazri, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

-Bernama