Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Pan Borneo Sarawak: K'jaan jimat RM2.86 bilion, kos muktamad selepas penilaian

Anggaran penjimatan bagi projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) di Sarawak berdasarkan perbezaan keseluruhan kos pembangunan di antara model Rakan Pelaksana Projek (PDP) dengan kaedah konvensional adalah sebanyak RM2.865 bilion.

Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata namun begitu, kos muktamad hanya akan diperolehi selepas penilaian penuh dilakukan di masa akan datang.

Pada masa ini, anggaran penjimatan tersebut adalah selepas mengambil kira kos pembangunan model PDP sebanyak RM21.857 bilion termasuk kos pembinaan yang ditandatangani.

“Melalui kaedah konvensional yang merupakan hala tuju baharu projek ini, anggaran kos pembangunan keseluruhan adalah RM18.992 bilion dengan mengambil kira kos-kos PDP sehingga penamatan PDP pada 20 Feb, 2020,” katanya di Kuching, Sarawak hari ini.

Dari segi penjimatan yang diperolehi dengan tiada lagi pembayaran yuran PDP untuk projek LPB di Sarawak dan di Sabah, anggaran penjimatan adalah sebanyak RM1.2 bilion (yuran PDP bagi LPB di Sabah sebanyak RM0.640 bilion manakala yuran LPB di Sarawak pula RM0.559 bilion).

Beliau berkata LPB di Sarawak merangkumi 11 pakej sepanjang 786.41 kilometer (km) dan telah bermula pada Oktober 2015. Satu kontrak pakej kerja iaitu WPC01 (jajaran Telok Melano ke Semantan sepanjang 33 km) telah siap mengikut jadual pada 6 Jan, 2019.

LPB di Sarawak adalah sebahagian Lebuhraya Trans Borneo yang akan bersambung dengan LPB di Sabah 786.41 km, Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) 425 km dan lebuh raya sepanjang 40 km dari Kalabakan ke Serundong di Sabah.

LPB ini juga akan disambungkan ke Simanggaris di Kalimantan, Indonesia menerusi Laluan Selatan Lebuhraya Trans-Kalimantan sepanjang 3,901 km dan akhirnya mengelilingi seluruh Borneo, menghubungkan hampir setiap pekan dan bandar persisiran pantai di Malaysia (Sabah dan Sarawak), Indonesia serta Brunei.

-Bernama