Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

MP bidas kerja-kerja pembinaan lebuh raya Bangsar-Damansara

Anggota Parlimen Segambut, Hannah Yeoh dan anggota parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil membidas kerja-kerja permulaan bagi pembinaan lebuh raya Bangsar-Damansara.

"Kami telah dimaklumkan bahawa kerja-kerja pembinaan telah bermula di tapak berkenaan walaupun bantahan kuat daripada penduduk dan kedua-dua anggota Parlimen.

"Kami juga telah dimaklumkan oleh DBKL bahawa projek RM211.5 jalan bertingkat ini adalah sebahagiannya dibiayai oleh DBKL (RM100 juta) dan Impian Ekspresi Sdn Bhd (RM111.5 juta)," kata kedua-duanya dalam satu kenyataan bersama pagi ini .

"Kami amat bimbang perbelanjaan besar dana awam oleh DBKL dalam keadaan yang begitu hampir dengan projek pembangunan swasta tidak dilakukan melalui tender terbuka," kata mereka.

Lebuh raya itu dicadangkan menghubungkan Jalan Semantan ke persimpangan Lebuhraya Sprint dengan Jalan Maarof, memendekkan perjalanan dari Bangsar ke Pusat Bandar Damansara.

Ia dilancarkan pada Mac 2018 oleh Menteri Wilayah Persekutuan ketika itu, Tengku Adnan Tengku Mansor yang berkata projek itu dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan itu.

Lima bulan lalu pada 19 Sept 2019, Persatuan Pemilik Rumah Bukit Damansara, Persatuan Penduduk Medan Damansara, Persatuan Penduduk Bukit Bandaraya, Gabungan Save KL dan kedua-dua anggota parlimen berkenaan membuat laporan kepada SPRM berhubung projek berkenaan.

Memandangkan perkembangan terkini, mereka meminta SPRM sekali lagi menyiasat perkara itu.

"Kami mengulangi gesaan supaya SPRM segera menyiasat dan menyediakan maklumat terkini mengenai penemuan mereka kepada penduduk," kata Yeoh dan Fahmi.