Siasatan ambil kira motivasi politik juruterbang MH370, dedah Najib
Siasatan tidak pernah menolak kemungkinan wujudnya unsur jenayah dalam kehilangan pesawat MH370, kata bekas perdana menteri Najib Razak.
Beliau berkata siasatan juga mengambil kira kecondongan dan motivasi politik yang dikaitkan dengan juruterbang Zaharie Ahmad Shah tetapi tidak mendedahkannya kepada orang ramai.
“Ia akan dianggap tidak adil dan tidak bertanggungjawab dari segi undang-undang.
“(Ini) kerana kotak hitam dan perakam suara kokpit belum ditemui justeru tiada bukti yang tidak dapat dipertikaikan sama ada juruterbang itu dia semata-mata bertanggungjawab atau sama-sama,” kata Najib yang dipetik oleh portal berita FMT hari ini.
Beliau mengulas kenyataan bekas perdana menteri Australia Tony Abbot, yang mengatakan bahawa kerajaan Malaysia sejak awal percaya tragedi MH370 adalah plot bunuh diri.
“Sekali lagi saya mesti tegaskan kemungkinan itu tidak pernah ditolak dalam usaha pencarian dan siasatan ke atas senario MH370, yang dijalankan sehabis mungkin,” kata Najib.
Mengulas mengenai Zaharie, bekas perdana menteri itu berkata juruterbang tersebut diketahui sebagai “seorang ahli parti pembangkang yang pernah menghadiri pelbagai aktiviti politik dan pemimpin pembangkang.”
Walaupun Najib tidak menyebut sebarang nama, namun adalah jelas bahawa beliau membuat rujukan kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim yang mengakui bahawa Zaharie mempunyai kaitan denganya menerusi perkahwinan seorang anaknya.
Juruterbang itu juga adalah ahli PKR.
Sementara itu, Najib walau bagaimanapun berkata, beliau tidak percaya sesebuah parti politik boleh dipersalahkan sekiranya benar juruterbang itu melakukan pembunuhan beramai-ramai.
“Tetapi tidak boleh dipertikaikan jentera propaganda politik mereka dan mesejnya ketika itu sangat berkesan, hinggakan ramai rakyat terpedaya dan menjadi radikal sehingga taksub.
“Tunjuk perasaan besar-besaran yang dihadiri ratusan ribu orang selepas pilihan raya umum tahun sebelumnya sebelum pesawat itu hilang, yang percaya dakwaan tidak benar dan berniat jahat parti pembangkang ketika itu seperti terdapatnya 40,000 pengundi ragu dan bekalan elektrik terputus semasa hari pengundian pilihan raya, bukti ketaksuban itu.
“Dakwaan seperti itu sudah terbukti pembohongan oleh pembangkang ketika itu tetapi ramai ketika itu benar-benar percaya,” kata Najib.
Disoal mengenai alasan bagi pihak berkuasa mengesyaki penglibatan Zaharie, Najib berkata terdapat beberapa sebab, termasuk fakta bahawa transponder pesawat ditutup pada saat penting, ketika ia akan memasuki ruang udara Vietnam.
“Ini mencadangkan siapa pun yang bertanggungjawab memiliki pengetahuan tentang penerbangan komersial,” katanya.
Menurut Najib, penyiasat juga mengambil kira keadaan emosi Zaharie, serta simulator penerbangan di rumahnya yang menimbulkan rasa syak.
Pesawat jet penumpang Boeing 777 itu hilang dari skrin radar ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan 239 penumpang. Ini terus membingungkan pakar penerbangan, ahli keluarga, rakan dan orang ramai.
Operasi pencarian terakhir ditamatkan pada Mei 2018 apabila sebuah syarikat penerokaan yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Ocean Infinity gagal mengesan pesawat malang itu setelah mencari di kawasan lebih 112,000 km2 di dasar laut dalam operasi lebih tiga bulan.
Pada Julai 2018, Pasukan Siasatan Keselamatan MH370, dalam laporan 449 muka surat, membuat kesimpulan bahawa mereka tidak dapat menentukan punca sebenar kehilangan pesawat itu tetapi tidak menolak kemungkinan "gangguan tidak sah" oleh pihak ketiga.
"Selamat malam Malaysia tiga-tujuh-kosong," adalah kata-kata terakhir kapten itu kepada pusat kawalan lalu lintas udara sebelum pesawat berkenaan hilang di radar pada jam 1:21 pagi.
Data satelit menunjukkan pesawat itu kemudian menyimpang daripada laluannya dan membuat beberapa pusingan yang tidak dijadualkan di Selat Melaka sebelum kemudian menuju ke selatan Lautan Hindi .
Sehingga kini, hanya tiga serpihan sayap, yang dikenali sebagai flaperon, telah disahkan sebagai sebahagian daripada pesawat MH370.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai