Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Pakar puji cara Malaysia tangani Covid-19, saran rancang langkah awal

WAWANCARA | Pakar perubatan memuji Kementerian Kesihatan dalam mengendalikan Covid-19 tetapi mencadangkan kementerian itu merancang untuk menangani situasi luar jangka.

Dr Christopher Lee juga berharap kerajaan akan mendedahkan maklumat yang lebih terperinci tentang mereka yang diuji positif penyakit itu.

Kini sudah bersara, Lee pernah berkhidmat sebagai timbalan ketua pengarah dan penasihat kebangsaan untuk penyakit berjangkit.

Dalam satu wawancara dengan Malaysiakini dan Buletin Kini News semalam, Lee gembira kerana kerajaan mengambil langkah yang sesuai dengan status penyakit itu di negara ini.

"Banyak mereka lakukan, dan mereka kerap mengadakan sidang media.

"Saya percaya dengan apa yang mereka lakukan, mereka mempunyai pengalaman," katanya.

Lee berkongsi bahawa wabak yang lalu seperti virus Nipah, Sindrom Pernafasan Akut Teruk (Sars) dan Sindrom Pernafasan Timur Tengah (Mers) telah menyiapkan sistem penjagaan kesihatan awam bagi menangani Covid-19.

Sehingga hari ini, 22 individu diuji positif penyakit ini di Malaysia yang terdiri daripada enam rakyat Malaysia, 15 warganegara China dan satu warganegara AS. Sembilan daripada mereka, termasuk seorang rakyat Malaysia, telah pulih.

 

Awal bulan ini, kerajaan mengenakan sekatan sementara terhadap pelancong dari China. Kerajaan juga berhenti memperbaharui visa untuk pelancong China yang sudah ada di negara ini.

Malaysia dan Singapura telah membentuk pasukan petugas bersama untuk menangani wabak itu dan pengimbas haba dipasang di pintu masuk.

Rakyat Malaysia yang tinggal di Wuhan - wilayah di China yang menjadi pusat wabak itu - sebelum ini telah dibawa pulang dan dikuarantin. Mereka yang pulang dari China diberi alat untuk membuat pemeriksaan di rumah dan dinasihatkan untuk menghubungi pegawai kesihatan awam jika terdapat tanda-tanda Covid-19 dalam masa 14 hari.

Selain dari langkah-langkah ini, Kementerian Kesihatan sentiasa mengemas kini orang ramai mengenai status penyakit itu melalui sidang akhbar dan media sosial.

Lee berpuas hati dengan langkah-langkah ini dan berpendapat bahawa langkah-langkah lebih drastik seperti sekatan perjalanan dan perintah kuarantin rumah selama 14 hari - yang telah dilaksanakan Singapura - tidak diperlukan pada masa ini.

 

Situasi Covid-19 di Singapura jauh lebih serius dengan 77 kes yang disahkan, dengan 50 daripada jumlah itu merupakan warga Singapura. Sebanyak 53 kes merupakan jangkitan tempatan. Seramai 24 telah pulih.

"Di Beijing dan Shanghai sekali pun - bandar-bandar yang lebih besar - mereka mempunyai sekatan perjalanan hanya untuk kumpulan tertentu, tidak sepenuhnya [...] bahkan di China, mereka melakukan pelbagai perkara.

"Oleh itu, ia adalah perkara yang sama di Singapura dan Malaysia sekarang. Kita semua harap kita tidak perlu meningkatkan (langkah kita) lagi, kita harap ia akan reda," katanya.

Bagaimanapun, Lee memberi amaran bahawa sekiranya situasi di Singapura bertambah buruk, ia akan menjejaskan Malaysia

Justeru, beliau menegaskan bahawa Malaysia perlu terus "satu langkah di hadapan" penyakit ini.

"Saya rasa kita tahu apa yang perlu dilakukan, itu jelas. Kita hanya perlu merancang satu langkah di hadapan wabak tersebut.

"Pada masa ini, situasi terkawa [...] jika kita boleh merancang lebih awal dengan cepat, kita dapat melaksanakannya dengan lebih cepat.

"Apabila kita tingkatkan (langkah berjaga-jaga), setiap peringkat pelaksanaannya menjadi lebih rumit kerana ia melibatkan agensi lain, orang lain, dan sektor bukan kesihatan lain," katanya.

Lee yang merupakan pakar penyakit berjangkit, yang menghabiskan 34 tahun di kementerian itu, berkongsi bahawa Malaysia sudah mempunyai Pelan Kesiapsiagaan Pandemik Influenza Nasional sebagai panduan.

Sekiranya wabak Covid-19 semakin teruk di Lembah Klang, Lee berkata Hospital Sungai Buloh akan ditetapkan sebagai hospital untuk merawat penyakit itu dan semua kes akan dirujuk ke hospital itu.

Sementara kes-kes bukan melibatkan Covid-19 yang lain di hospital itu akan dipindahkan ke hospital awam berdekatan seperti Hospital Serdang dan Hospital Shah Alam.

Maklumat terperinci

Ketika ditanya, Lee bersetuju agar kementerian perlu mendedahkan lebih banyak maklumat khusus tentang setiap kes positif Covid-19.

Meskipun kementerian dilihat cekap dalam mengemas kini orang ramai mengenai kes-kes baru, maklumat itu tidak termasuk butiran terperinci seperti tempat yang pernah dikunjungi pesakit itu, klinik yang mereka dapatkan rawatan dan tempat tinggal mereka.

Sebaliknya, Singapura mendedahkan maklumat berkenaan.

"Saya rasa mereka (kementerian) cuba menjaga keseimbangan antara stigma dan diskriminasi orang ramai boleh kenakan terhadap tempat-tempat itu, dan mungkin benar. Singapura membincangkannya dengan mengatakan mereka menghantar satu pasukan untuk melakukan pembersihan yang mendalam. Itulah cara mereka cuba mengimbangi apa-apa perkara negatif yang dikaitkan dengan tempat kemudahan seperti itu [...]

"Orang ramai mungkin berasa tidak selesa kerana mereka tidak tahu (tempat-tempat itu), mereka (risau jika mereka) pergi ke tempat yang sama pada masa yang sama [...]

"Pandangan peribadi saya adalah ya, adalah baik bagi mereka (orang ramai) untuk mengetahui (tempat-tempat itu) tetapi kita juga mesti melakukan tanggungjawab kita untuk memastikan kita melindungi kemudahan atau tempat yang terlibat," katanya.


Wawancara ini dijalankan oleh Prasadh Michael, Tham Seen Hau, Vivian Yap & Annabelle Lee.