M'sia tak benar masuk semua kapal persiaran transit, berlepas dari China
Semua kapal persiaran yang berlepas atau transit di mana-mana pelabuhan di China tidak dibenarkan memasuki negara ini buat sementara waktu, kata Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Timbalan perdana menteri berkata langkah sementara itu diputuskan bagi mengelak penularan Covid-19 susulan kes melibatkan seorang wanita warga Amerika Syarikat yang didapati positif bagi jangkitan kluster itu semalam.
Beliau berkata kerajaan mengambil maklum bahawa wanita berumur 83 tahun itu merupakan seorang daripada 1,455 penumpang kapal persiaran Westerdam yang pernah berlabuh di Hong Kong.
"Kami tahu kapal is singgah semalaman di Hong Kong sebelum memulakan pelayaran East Asia selama 14 hari pada 1 Feb.
"Jadi, ada kemungkinan berlaku kontak antara penumpang dengan penduduk Hong Kong yang memungkinkan ada antara mereka terdedah dengan virus itu," katanya pada sidang media mengenai perkembangan terkini Covid-19 di Putrajaya, hari ini.
Hadir sama Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad.
Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata wanita itu bersama suaminya merupakan antara145 penumpang kapal persiaran yang berlabuh di Kemboja pada 13 Feb lepas.
Menurut kenyataannya, syarikat kapal persiaran Holland America Line telah menyewa pesawat Malaysia Airlines bagi membawa sebahagian penumpang kapal persiaran tersebut daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Sihanoukville, Kemboja ke pelbagai destinasi akhir penumpang melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Menurut Dr Noor Hisham wanita itu dan suaminya telah dikesan bergejala sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum dirujuk ke Hospital Sungai Buloh di mana ujian saringan yang dilakukan mengesahkan hanya wanita itu positif Covid-19.
Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan juga memutuskan baki penumpang kapal persiaran Westerdam yang masih berada di Kemboja tidak dibenarkan memasuki Malaysia.
Dr Wan Azizah berkata langkah itu mengambil kira semua penumpang berkenaan adalah kontak rapat dengan kes wanita warga Amerika Syarikat yang disahkan positif itu.
Mengenai keluhan pihak kesihatan Kemboja mengapa penumpang terlibat didapati positif selepas ujian yang dilakukan di negara itu menunjukkan sebaliknya, timbalan perdana menteri berkata kerajaan tidak berniat mempertikai keputusan ujian yang dibuat Kemboja.
"Daripada segi Kemboja mungkin mereka sudah buat apa yang mereka rasa adalah cukup dan kita pula buat ikut cara kita. Apa yang kita buat, bila sampai di sini, kita periksa sebagaimana saringan yang kita buat pada individu lain, ini untuk kita jaga rakyat kita," katanya.
Dalam pada itu, timbalan perdana menteri berkata seorang lagi pesakit, iaitu kes ke-15 melibatkan wanita warga China yang dirawat di Hospital Permai, Johor Bharu telah sembuh sepenuhnya dan dibenarkan pulang semalam menjadikan jumlah keseluruhan sembuh adalah seramai lapan orang.
Dr Wan Azizah berkata kesemua mereka telah menjalani ujian pengesanan ulangan Covid-19 dan didapati negatif sebanyak dua kali berturut-turut.
Ini bermakna jumlah kes Covid-19 yang masih menerima rawatan di wad adalah seramai 14 orang, katanya dan menambah tiada kes baharu kluster itu dilaporkan hari ini.
Jumlah kes Covid-19 yang dilaporkan di Malaysia sehingga ini kekal 22 orang.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai