Berita palsu isu Covid-19 kurang lepas tindakan KKMM
Tindakan pantas Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya mengurangkan penularan berita palsu berkaitan Covid-19.
Timbalan Menteri KKMM Eddin Syazlee Shith berkata sehingga kini, sekurang-kurangnya 12 individu telah didakwa atas kesalahan itu di seluruh negara.
"Pada mulanya, ketika amaran diberikan kita lihat masih ada pihak yang menganggap amaran itu tiada sebarang kesan, tetapi selepas 12 individu didakwa, barulah mereka sedar apakah kesan dan akibat daripada perbuatan itu (menyebarkan berita palsu).
"Ketika ini, jumlahnya (berita palsu) sudah semakin berkurangan dan semua pihak semakin berhati-hati, ini adalah satu petanda yang positif," katanya kepada pemberita ketika melawat Pasar Binjai Rendah di Marang, Terengganu sempena program ‘Info On Wheels’ hari ini.
Kes penyebaran berita palsu boleh disiasat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998.
Beliau berkata pelaksanaan program IOW oleh Jabatan Penerangan di seluruh negara mendapat maklum balas yang sangat positif daripada rakyat kerana mereka dapat memahami semua inisiatif disediakan kerajaan dengan baik.
"Setakat ini memang ramai yang mengatakan program ini bagus dan berharap ia terus dilaksanakan pada masa akan datang kerana mereka dapat bersua muka secara terus dengan agensi pelaksana.
"Antara maklum balas yang kita terima ialah rakyat mahu e-tunai diperhebatkan lagi dan ada yang mencadangkan agar syarat untuk I-Suri dilonggarkan supaya lebih ramai yang dapat menikmati manfaatnya," katanya.
Program IOW yang dimulakan sejak 23 Jan lepas sehingga kini telah diadakan di 4,162 lokasi tumpuan ramai di seluruh negara dengan memberi penerangan lengkap mengenai beberapa inisiatif kerajaan untuk rakyat seperti Bantuan Sara Hidup, I-Suri, Peka B40, MySalam, Covid-19 dan e-tunai.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai