Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Covid-19: Wanita warga AS jadi kes positif ke-22 di Malaysia

Seorang wanita warga Amerika Syarikat yang menaiki kapal Westerdam yang mengundang perhatian antarabangsa baru-baru ini, menjadi kes Covid-19 ke-22 di Malaysia.

Kapal pesiaran MS Westerdam, yang didaftarkan di Belanda, tidak dibenarkan berlabuh di Jepun, Taiwan, Guam, Filipinda dan Thailand, sebelum berlabuh di Kemboja semalam.

Pihak berkuasa kesihatan Kemboja melaporkan tiada penumpang kapal tersebut yang dijangkiti Covid-19 selepas melakukan ujian terhadap 20 orang. Kapal itu memiliki 1,544 penumpang dan 802 anak kapal.

Bagaimanapun, pihak berkuasa kesihatan Malaysia telah mengesan seorang penumpangnya, yang datang ke negara ini dari Kemboja, telah dijangkiti virus tersebut.

Wanita berusia 83 tahun itu antara 145 orang yang terbang dari Phnom Penh ke Malaysia semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, saringan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur mendapati dua orang - wanita itu dan suaminya - menunjukkan gejala novel koronavirus dan terus dirujuk ke Hospital Sungai Buloh.

"Ujian saringan pengesanan Covid-19 telah dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan Malaysia (IMR) dan (wanita itu) telah disahkan positif pada 15 Februari 2020.

"Dia kini berada dalam keadaan stabil dan dirawat di wad isolasi hospital berkenaan," katanya.

Beliau memaklumkan ujian pengesanan mendapati suami wanita itu, juga berusia 85 tahun, negatif Covid-19.

"Namun, suaminya masih menerima rawatan dan pemantauan di Hospital Sungai Buloh bagi gejala yang dialaminya," katanya lagi.

Terdahulu hari ini, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengucapkan terima kasih kepada Kemboja kerana membenarkan MS Westerdam berlabuh.

Kapal milik Holland america Line di Seattle, Kanada itu berlepas dari Hong Kong pada 1 Februari lalu.

Ia sepatutnya mengakhiri pelayaran selama 14 hari di Shanghai, tetapi menukar destinasi ke Yokohama, Jepun, susulan penularan wabak Covid-19.

Bagaimanapun kapal itu tidak dibenarkan berlabuh oleh pihak berkuasa di sana.

Ia cuba berlabuh di beberapa negara lagi tetapi gagal, sehinggalah kerajaan Kemboja memberi kebenaran untuknya berlabuh pada 14 Februari.

Virus yang mula dikesan di Wuhan, China itu setakat ini telah menjangkiti 67,904 orang dan meragut 1,527 nyawa.

Di Malaysia, sebanyak tujuh pesakit yang disahkan positif Covid-19 telah berjaya dirawat dan dibenarkan keluar hospital. Setakat ini belum ada kes kematian yang dilaporkan.

Dengan anggaran kadar kematian pada dua peratus, Covid-19 kurang membawa maut berbanding Sindrom Pernafasan Akut Teruk (Sars) yang menjangkiti 8,098 orang dan meragut 774 nyawa di 17 negara antara 2002 dan 2003 (mewakili kadar kematian sekitar 9.6 peratus).

Bagaimanapun ia lebih muda berjangkit dan angka kematian kini telah mengatasi wabak Sars.