Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Perjalanan hidup seorang anak pelarian Rohingya di Malaysia

Dilahirkan sebagai anak seorang imigran Myanmar di Kemaman, Terengganu, Hasnah Hussin berdepan isu identiti ketika membesar.

Apatah lagi wanita berusia 27 tahun itu sering merasakan dia adalah orang Malaysia.

Dia hanya menyedari sebaliknya apabila mendapati dia tidak dapat masuk ke sekolah kerana tidak berstatus warganegara.

Dia bagaimanapun dapat masuk ke sekolah kerajaan menerusi satu projek rintis untuk anak-anak pelarian pada masa itu.

Bagaimanapun, kata Hasnah, dia sering diingatkan tentang statusnya apabila digelar sebagai "budak Burma" di sekolah.

Di sebalik cabaran tersebut, Hasnah menamatkan pembelajarannya dan kini bekerja sebagai pengurus komuniti di Tenaganita, sebuah NGO hak asasi manusia.

"Saya ingat saya rakyat Malaysia kerana saya membesar bersama orang Malaysia. Apabila saya tidak dibenarkan belajar, baru saya tahu saya bukan warganegara.

"Saya tanya ibu, bolehkah kita pulang ke kampung halaman? Kita ada kampung halaman? Ibu saya jawab ada, tapi buat masa ini kita tak dapat pulang.

"Saya sudah tunggu selama 27 tahun. Sehingga kini saya tak mampu nyatakan mana satu dunia saya," katanya.

Hasnah salah seorang panelis dalam forum bertajuk Refugees and the Right to Dream di Kuala Lumpur hari ini.

Panelis lain ialah wakil Suruhanjaya Tinggi PBB untuk Pelarian (UNHCR) di Malaysia, Thomas Albrecht, Pemangku Pengerusi Alliance of Chin Refugees James Bawi Thang Bik dan Pengarasa Refuge for Refugees Heidy Quah.

Hasnah menceritakan saat dia pertama kali ke sekolah kerajaan, orang hanya memanggilnya sebagai "budak Burma".

Kalangan di sekolah hanya memanggilnya "Hasnah" selepas dia mula menyertai kegiatan kokurikulum, katanya lagi.

"(Selepas itu) tiada lagi 'budak Burma', saya tak lagi diasingkan. Kami di sini sedia untuk mengisi ruang. Kita akan bersama-sama mewujudkan peluang pekerjaan," katanya, menepis salah tanggapan bahawa rakyat Malaysia akan kehilangan peluang itu jika pelarian diberi hak untuk bekerja.

Katanya, ketika dilahirkan, ada jiran yang memberi cadangan kepada ibunya agar menjualnya kepada sindiket pemerdagangan manusia.

Cadangan itu mencetuskan kebimbangan dalam diri ibunya, dan justeru mereka berdua berpindah ke Kuala Lumpur, di mana ibunya bekerja sebagai pembantu rumah di empat hingga enam rumah untuk menyara kehidupan.

Di Kuala Lumpur

Mereka tinggal di rumah yang turut didiami migran dari Bangladesh dan Indonesia, katanya, sambil menambah dia berdepan pengalaman gangguan seksual pertama ketika berusia lima tahun.

Selepas kejadian itu, katanya lagi, ibunya akan menguncikannya dalam bilik ketika pergi bekerja.

Pada masa sama, Hasnah berkata ibunya tidak pernah berputus asa untuk mendaftarkannya di sekolah kerajaan.

Akhirnya, dengan bantuan beberapa pihak, Hasnah berkata dia berjaya didaftarkan di sekolah kerajaan - yang termasuk dalam projek rintis untuk anak-anak pelarian - ketika berusia 11 tahun.

"Ketika itu Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri dan ada projek rintis untuk komuniti pelarian.

Anak Rohingya di sebuah pusat perlindungan di Selayang

"Saya tidak tahu apa sebabnya tetapi projek telah ditamatkan, dengan sedikit saja diberi peluang untuk belajar. Sebab itu saya sering beritahu orang yang saya orang paling bertuah di dunia kerana dapat peluang itu.

"Bagi saya, pendidikan adalah alat paling penting untuk benar-benar mewujudkan masyarakat yang produktif dan baik," katanya ketika ditemui Malaysiakini selepas forum.

Hasnah berkata dia suka bekerja untuk Tenaganita kerana dapat berkhidmat untuk pelbagai komuniti, termasuk pekerja asing, pelarian dan rakyat Malaysia sendiri.

Tetapi Hasnah berkata sehingga kini dia tiada sebarang dokumen dan masih berstatus tanpa kerakyatan.

"(Saya) hanya ada kad UNHCR. (Saya dianggap) tanpa kewarganegaraan. Saya tak lahir di Myanmar jadi saya bukan rakyat negara itu. Walaupun ibu bapa saya dari sana, mereka juga tidak dianggap sebagai rakyat kerana orang Rohingya.

"Saya pula lahir di Malaysia, tetapi bukan warga Malaysia," kata Hasnah lagi.