Covid-19: Pusat beli-belah perlu tingkat langkah pencegahan - Khalid
Pengurusan pusat membeli-belah di Wilayah Persekutuan diingatkan supaya meningkatkan langkah pencegahan COVID-19 dengan mengikut saranan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kata Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abd Samad.
"Keadaan masih terkawal. Setakat ini tidak ada keperluan untuk menutup mana-mana pusat membeli-belah di Wilayah Persekutuan dan tidak ada permintaan dari KKM untuk pihaknya berbuat demikian.
"Apa yang penting semua pihak termasuk pengurusan pusat membeli-belah dan pengunjung mengamalkan langkah pencegahan seperti yang disarankan oleh KKM," katanya ketika ditemui pemberita selepas Pertandingan Memancing Putrajaya 2020 sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan pada 1 Feb di Putrajaya, hari ini.
Baru-baru ini, KKM mengeluarkan panduan langkah pencegahan COVID-19 di pusat membeli-belah di mana pemilik premis perlu kerap melakukan disinfeksi di eskalator dan susur tangan, troli, tombol pintu dan butang lif.
Pengunjung pusat membeli-belah pula perlu kerap membasuh tangan dengan sabun dan air serta menggunakan cecair pembasmi kuman tangan selain memakai penutup mulut dan hidung.
Sehingga kini, Malaysia mencatatkan 21 kes positif COVID-19 dengan 15 kes melibatkan warganegara China dan enam merupakan warganegara Malaysia. Daripada 21 kes positif ini, tujuh individu sudah sembuh dan dibenarkan pulang.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai