Pelarian boleh sumbang RM3b KDNK menjelang 2024 - Penyelidik
Pelarian yang kini tinggal di Malaysia berpotensi menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan kutipan cukai jika diberi hak untuk bekerja dan peluang pendidikan, kata penyelidik dari Institut bagi Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Wan Ya Shin.
Menurutnya, menjelang 2024 jika pelarian diberi hak untuk bekerja, mereka akan menyumbang lebih RM3 bilion kepada KDNK.
Wan, salah seorang pengarang laporan "The Economic Impact of Granting Refugees in Malaysia the Right to Work," juga berkata jumlah ini boleh meningkat kepada RM6.5 bilion setiap tahun menjelang 2040 jika pelarian turut diberikan akses kepada pendidikan sama seperti rakyat negara ini.
“Dengan memberikan hak untuk bekerja kepada pelarian yang kini tinggal di Malaysia akan memberi kesan positif terhadap ekonomi dan kewangan.
"Kami menganggarkan jika pelarian diberi hak untuk bekerja, sumbangan mereka kepada KDNK tahunan akan meningkat lebih dari RM3 bilion pada tahun 2024 melalui perbelanjaan yang lebih tinggi.
"Dalam jangka masa panjang, pelaburan dalam pendidikan untuk pelarian dengan penduduk setempat akan menyaksikan manfaat (substantial dividends) yang besar untuk negara.
"Kami menganggarkan, apabila pelarian diberi akses kepada pendidikan setaraf dengan penduduk tempatan, sumbangan mereka kepada KDNK boleh meningkat kepada lebih RM6.5 bilion setiap tahun menjelang 2040," katanya.
Kutipan cukai RM250j menjelang 2040
Wan berkata demikian pada satu forum bertajuk "Pelarian serta hak terhadap pekerjaan dan pendidikan" di Kuala Lumpur hari ini.
Menjelaskan lanjut, kata Wan, jika pelarian diberi hak untuk bekerja, maka mereka boleh menyumbang lebih RM50 juta kutipan cukai setiap tahun menjelang 2024.
Jika mereka diberi akses kepada pendidikan, jumlah kutipan cukai ini akan meningkat kepada lebih daripada RM250 juta menjelang 2040, katanya.
Bagaimanapun, semua ini, katanya bergantung kepada keputusan dasar kerajaan yang perlu mengambil langkah-langkah praktikal melaksanakan janji manifestonya dengan menyediakan pelarian hak untuk bekerja supaya mencapai manfaat seperti yang disebutkan tadi.
"Dalam tempoh jangka panjang, kerajaan perlu mencari cara untuk meningkatkan akses pendidikan untuk pelarian bagi memaksimumkan sumbangan ekonomi yang boleh disumbangkan oleh pelarian untuk Malaysia," katanya.
Wan (gambar, atas) juga memberi jaminan bahawa dengan memberikan pelarian hak untuk bekerja tidak bermakna mereka akan merampas pekerjaan daripada rakyat tempatan.
Pelarian berpotensi mewujudkan antara 2,500 hingga 4,000 peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia di seluruh negara, jika mereka diberi hak untuk bekerja, jelasnya.
"Pekerja imigran melengkapi majoriti pekerja Malaysia. Mereka tidak menggantikan pekerja Malaysia," katanya.
Bagaimanapun, tambahnya, pekerja Malaysia berumur di antara umur 50 dan 64 tanpa pendidikan formal atau pendidikan asas (primary education) tidak akan mendapat faedah daripada kehadiran pekerja asing.
Kerajaan Pakatan Harapan telah berikrar dalam manifesto GE14 untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Pelarian 1951 supaya pelarian yang melarikan diri dari negara yang dilanda perang dan tiba di Malaysia diberikan bantuan yang sewajarnya.
Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran juga berkata beliau secara peribadi percaya pelarian harus diberikan hak untuk bekerja di Malaysia.
Pada November lalu, beliau berkata kabinet akan memutuskan soal pelarian dibenarkan untuk bekerja di negara ini.
Kumpulan hak asasi manusia, Tenaganita juga baru-baru ini mendesak Putrajaya supaya mencontohi Bangladesh yang membolehkan kanak-kanak pelarian menerima pendidikan formal.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai