Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Projek kondo runtuh dihenti serta-merta - Zuraida

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin memaklumkan pemberhentian serta-merta projek pembinaan kondominium yang runtuh di Taman Desa, Kuala Lumpur petang semalam.

Bernama melaporkan menteri itu berkata arahan pemberhentian tersebut berkuatkuasa sehinggalah siasatan selesai oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Dosh).

Katanya, Dosh telah diarahkan untuk menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca runtuhan, dengan siasatan akan segera dilakukan esok dan punca kejadian dijangka diketahui dalam tempoh satu bulan.

"Pihak Dosh akan selesaikan secepat mungkin siasatan, dan sebarang kerja pembinaan di tempat ini akan dihentikan serta merta.

“Saya juga akan koordinasi dengan Menteri Wilayah Persekutuan (Khalid Abdul Samad) untuk lihat punca kejadian, serta adakah proses serta spesifikasi yang (digunakan) betul,” katanya kepada pemberita, tadi malam di tempat kejadian.

Menurut Zuraida, bukti awal berhubung insiden itu telah diambil oleh Dosh dan sebarang tindakan akan dilakukan berdasarkan hasil laporan.

Beliau juga dipetik Bernama berkata pihak pemaju amat kesal dengan insiden yang berlaku dan sedia untuk disiasat pihak berkuasa.

Malam tadi dua mangsa yang terperangkap dalam insiden runtuhan sebahagian struktur kondominium 37 tingkat yang dalam pembinaan kondominium itu telah berjaya diselamatkan.

Zuraida dipetik Bernama berkata mangsa kedua yang dibawa keluar pasukan penyelamat sekitar 9.30 malam tadi merupakan pekerja warga asing berusia 26 tahun.

“Mangsa hanya mengalami sesak nafas selepas terperangkap lama di bawah runtuhan, dan dia telah diberikan alat pernafasan.

“Kecederaan lain akan dikenal pasti ketika mangsa dirawat di Hospital Kuala Lumpur nanti dan saya berterima kasih dengan semua pihak yang terlibat dalam insiden ini,” katanya. 

Sementara itu, pihak pemaju pembinaan projek kondominium tersebut, Maxim Holdings Sdn Bhd dalam suatu kenyataan berkata akan mengambil tanggung jawab sepenuhnya "untuk memastikan dua pekerja berkenaan akan mendapat rawatan perubatan yang sewajarnya."

Maxim juga berkata pihaknya komited untuk memastikan piawaian terbaik dalam pembinaan dan mengutamakan kepentingan integriti dalam pembangunan.