Hukuman pemandu mabuk: PAS gesa Akta 333 dipinda
Susulan beberapa kes pemandu mabuk yang terbabit kemalangan sehingga mengakibatkan kematian pengguna jalan raya lain, anggota Parlimen PAS, Mohd Khairuddin Aman Razali menggesa Akta 333 Pengangkutan Jalan 1987 dipinda ketika persidangan sesi Dewan Rakyat pada Mac ini.
“Saya menyokong penuh kenyataan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, supaya pandangan yang lebih holistik termasuk daripada perspektif Islam perlu diperhalusi dalam usaha kerajaan mengemukakan pindaan ke atas Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mengatasi gejala pemandu mabuk sehingga menyebabkan banyak kematian orang awam.
“Saya juga menyokong saranan Tuan Ibrahim supaya pindaan akta ini mesti dilakukan dalam sidang Dewan Rakyat bulan Mac ini dan tidak ditangguhkan ke bulan Jun atau Julai kerana usaha mengkajinya telah diumumkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, sejak 2018 dan 2019 lagi, dan bagi mengelakkan lebih banyak nyawa manusia hilang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada 9 Feb lalu, seorang pekerja kilang maut manakala isterinya cedera parah selepas motosikal dinaiki mereka dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki dipercayai dalam keadaan mabuk, di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Dua hari selepas itu, seorang remaja dan rakannya juga maut dalam satu kemalangan selepas dipercayai dilanggar pemandu mabuk.
Pada 25 Oktober tahun lalu pula dilaporkan, seorang pekerja Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Mohaidin Gani Mohamad maut, juga akibat dilanggar pemandu mabuk.
'Kaji kesalahan bunuh tanpa niat atau dengan niat'
Sambil membandingkan negara lain yang telah mengetatkan undang-undang jalan raya mereka termasuk menghukum mati pemandu mabuk yang melanggar mati orang awam, Khairuddin berkata Malaysia juga perlu mempertimbangkan untuk meminda undang-undang jalan raya.
“Paling asas adalah untuk menarik selama-lamanya lesen memandu mereka yang didapati memandu di bawah pengaruh alkohol yang pernah dicadangkan oleh bekas Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Othman Talib, atau menarik selama-lamanya lesen memandu mereka yang mengakibatkan kemalangan maut.
“Malaysia adalah sebuah negara Islam, jadi amat wajar dipertimbangkan saranan Tuan Ibrahim iaitu adakah pemandu mabuk yang melanggar mati orang awam dianggap membunuh dengan niat atau tanpa niat dalam konteks perundangan Islam serta adakah wajar pesalah yang menyebabkan kematian orang awam dikenakan hukuman bunuh juga,” katanya.
Selain pemimpin PAS, Adun Seri Delima Syerleena Abdul Rashid sebelum ini turut menggesa hukuman terhadap pesalah yang menyebabkan kemalangan akibat memandu ketika mabuk ditingkatkan.
Exco Kesihatan Pulau Pinang, Dr Afif Bahardin pula mencadangkan kerajaan memperkenalkan had waktu untuk pengambilan minuman keras di beberapa kawasan terpilih, bagi mengurangkan kes seumpama itu.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai