Bangkai gajah betina ditemui di Lahad Datu
Sebanyak lima kes kematian gajah dilaporkan di Sabah sejak awal tahun ini dengan kes terbaru seekor gajah betina dewasa ditemukan mati di kawasan ladang di Bagahak, di Lahad Datu, semalam.
Timbalan Ketua Menteri, Christina Liew, berkata, bedah siasat untuk memastikan punca kematian gajah tersebut dijalankan pada hari yang sama.
“Empat lagi kes sebelum itu membabitkan dua ekor gajah betina dan seekor gajah jantan serta seekor anak gajah jantan berumur dua tahun di kawasan Kinabatangan dan Lahad Datu,” katanya dalam kenyataan di Lahad Datu, semalam.
Liew, yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, berkata walaupun kebanyakan kes dipercayai akibat keracunan sama ada disengajakan atau tidak, namun tiada keputusan konklusif dapat diperoleh daripada analisis toksikologi sebelum ini.
“Jabatan Hidupan Liar Sabah kini sedang berusaha gigih untuk menghantar sampel tisu bagi analisis toksikologi spektrum yang lebih mendalam dan luas di dalam negara dan luar negara bagi mengenal pasti sumber toksin tersebut,” katanya.
Beliau berkata walaupun usaha itu melibatkan kos yang tinggi kepada kerajaan negeri, namum pihaknya tidak akan membiarkan perkara itu tanpa mengetahui punca kematian gajah berkenaan.
Menyatakan bahawa konflik manusia dan gajah bukan hanya terbatas di Sabah sahaja tetapi konflik tersebut jauh lebih teruk di seluruh rantau Asia.
“Sebagai contoh, di Sri Lanka, tahun lepas sahaja sejumlah 361 kematian gajah dicatatkan dan lebih 100 orang terbunuh dalam insiden membabitkan konflik manusia dan gajah.
“Berbanding di Sabah, sebanyak 150 kematian gajah direkodkan dalam tempoh 2010 hingga 2019 dengan kematian empat orang.
”Ia hanya menunjukkan bahawa walaupun kita mengalami keadaan yang agak serius terhadap kematian gajah akibat konflik, keadaan di Sabah masih terkawal,” katanya.
Liew berkata pemuliharaan gajah merupakan salah satu keutamaan kerajaan Sabah dengan Kabniet negeri semalam meluluskan Pelan Tindakan Gajah Borneo (2020-2029) bagi meningkatkan usaha perlindungan dan pemuliharaan haiwan itu di Sabah.
”Oleh itu semua warganegara perlu bertanggungjawab memastikan kematian gajah atas apa jua alasan berada di tahap minimum sementara kerajaan negeri berusaha ke arah mencapai kematian sifar,” katanya.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai