‘Jangan sailang’
Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela) menolak penyertaan parti politik dalam perhimpunan mereka bagi menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong, Sabtu ini.
Bagaimanapun, kata pengerusinya, Aminuddin Yahya, Pembela tetap mengalu-alukan kehadiran mana-mana pemimpin parti politik yang datang atas kapasiti rakyat Malaysia.
“Ada permintaan tetapi kita tidak jemput mereka (parti politik) kerana bagi kita ini (melibatkan) rakyat marhaen.
“Tapi kalau dia nak datang sebagai rakyat Malaysia ahlan wa sahlan (selamat datang), tetapi bukan atas nama parti politik,” katanya pada sidang media penyerahan memo ke Istana Negara di Kuala Lumpur, hari ini.
Memorandum itu menurut mereka berkaitan dakwaan penghinaan terhadap institusi raja, Melayu dan Islam.
Aminuddin yang juga Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) berkata memorandum itu antaranya akan mengetengahkan isu Jawi dan dakwaan usaha menghidupkan kembali ideologi.
Badan itu mahu menyerahkannya di Istana Negara, Sabtu ini.
Hadir sama Presiden Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Zainul Rijal Abu Bakar dan beberapa lagi aktivis.
Terdahulu, Pembela memaklumkan mendapat kelulusan daripada ibu pejabat polis Sentul dan Brickfield, serta kebenaran istana.
Mengulas anggaran penyertaan, Aminuddin berkata, pihaknya tidak meletakkan jumlah spesifik.
“Kita tidak meletakkan anggaran spesifik tetapi ikut senarai yang kita serahkan kepada pihak berkenaan sebanyak 200 NGO akan terlibat.
“Tetapi, bagi kita nombor tidak penting, sebaliknya apa mesej yang kita nak sampaikan,” katanya.
Selain itu, Aminuddin turut memberi amaran kepada pihak berkentingan agar tidak cuba mengambil kesempatan daripada acara mereka.
“Benda-benda macam ini biasa berlaku dalam program yang lepas ada pihak yang cuba ‘sailang’ program kita untuk mengambil nama.
"Ini bukan masa untuk mengambil nama kerana ini ada kaitan dengan isu keselamatan dan kedaulatan,” katanya.
Sebelum ini Pembela menangguhkan himpunannya atas nasihat polis disebabkan tarikh yang dikemukakan jatuh pada hari sambutan Wilayah dan Thaipusam sebelum memberikan jaminan secara lisan kebenaran himpunan aman itu pada 15 Februari.
Program dijangka bermula jam 9 pagi akan diisi dengan intipati ucapan, perarakan dari Masjid Wilayah Persekutuan ke Istana Negara sebelum serahan memorandum dilakukan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai