Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Proton lancar X70 CKD dengan lima naik taraf

Pengeluar kereta nasional Proton Holdings Bhd (Proton) hari ini secara rasmi melancarkan X70 CKD (pemasangan tempatan) dengan lima naik taraf utama.

Peningkatan itu membabitkan pemasangan enjin petrol yang lebih baik, 1.8-liter turbo dengan sistem suntikan terus (TGDi) serta klac berkembar.

Pengeluar kereta itu turut memperkenalkan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan (7-DCT) bagi menggantikan transmisi automatik (6AT) enam kelajuan yang dipasang ke atas model import sepenuhnya (CBU), sebelum ini.

Teknologi 7-DCT, merupakan produk proprietari Zhejiang Geely Holding Group (Geely), telah dibangunkan dengan kerjasama Volvo.

Enjin 1.8 L TGDi menjana pecutan 181 kuasa kuda (135 kilowatts) pada 5,500 putaran per minit (RPM) dan, apabila digabungkan dengan klac berkembar basah, ia meningkatkan tork sebanyak lima peratus kepada 300 Newton meter (NM) pada 1750-4000 RPM serta menurunkan penggunaan bahan api sebanyak 13 peratus kepada 7.6 liter setiap 100 km.

Tiga naik taraf lain adalah but belakang elektrik dengan sensor kaki, kerusi hadapan dengan sistem pengudaraan dan tempat duduk belakang yang boleh direbahkan.

Peningkatan ini telah diuji semasa sesi pemanduan media dari ibu negara ke Kuantan pada minggu lepas.

X70 ditawarkan dalam empat varian iaitu Standard 2WD (RM94,800 di atas jalan tanpa insurans), Eksekutif 2WD (RM106, 800), Premium 2WD (RM119,800) dan Premium X 2WD (RM122, 800), yang dilengkapi dengan bumbung panorama.

Semua varian telah dianugerahkan penarafan keselamatan lima bintang ASEAN NCAP, dan dilengkapi dengan unit hiburan pintar berdasarkan paparan 'Geely's Global Key User Interface' (GKUI), dengan arahan suara "Hi PROTON" melalui e-SIM yang membolehkan sambungan internet melalui pelan data mudah alih.

Ia didatangkan dalam snow white, armour silver, jet grey, ruby red, cinnamon brown dan warna terbaharu, space grey.

Eksekutif Program Kenderaan Proton (kejuruteraan dan teknikal) Shariffudin Mustaffa ketika ditemui semasa sesi ujian pemanduan memberitahu Bernama, transmisi baharu ini mampu meningkatkan lagi kecekapan X70.

"Sistem 7-DCT, dengan tindak balas pecutan dan tenaga yang dipertingkatkan, membolehkan model baharu ini kemampuan pemanduan yang lebih baik. Klac berkembar basah juga menawarkan respons yang lebih lancar serta penukaran gear yang cepat, licin dan cekap termasuk kemampuan tork pemanduan pendakian," kata Shariffudin, yang merupakan Ketua Projek Kenderaan Utiliti Sukan (SUV) X70.

Menurut Shariffudin, pengeluaran SUV X70 CKD sedang berjalan dengan lancar di kilang Tanjung Malim, Perak.

"Dengan kapasiti maksimum sebanyak 150,000 unit setahun melalui barisan pengeluaran berbilang model, fasiliti canggih ini tidak mempunyai masalah untuk memenuhi sebarang peningkatan mendadak dalam permintaan," kata Shariffudin.

Model SUV pertama jenama itu, yang dibuat berdasarkan Boyue Geely, telah dipasarkan di Malaysia sejak hujung 2018 sebagai kenderaan CBU.

Perkongsian Proton-Geely telah menjual hampir 29,000 unit CBU setakat ini.

X70, SUV mewah paling popular dalam segmen C di Malaysia pada tahun lepas, telah dinamakan sebagai Kereta Terbaik Keseluruhan 2019 dan diiktiraf sebagai Kenderaan Lima Tempat Duduk Terbaik SUV/Crossover Sederhana pada anugerah Kereta Terbaik Malaysia Ke-18 pada bulan lepas.

- Bernama